" Apakah pelajaran yang paling bernilai yang diperolehi semasa kamu menjadi Reserve Officer Training Unit (ROTU) ?"
Itulah salah satu soalan temuduga yang saya ingat sewaktu temuduga PTD enam tahun yang lepas... bermacam-macam jawapan yang diberikan namun bukanlah jawapan yang panel temuduga berkenaan kehendaki... buntu....
Akhirnya panel berkenaan memberi jawapan yang beliau kehendaki. Ringkas sahaja, iaitu
KEPIMPINAN...
Kata beliau lagi, kamu beruntung mempunyai pengalaman berbeza dari rakan-rakan kamu yang lain, tidak ramai yang sanggup korbankan hari minggu mereka untuk ROTU. Aspek
KEPIMPINAN yang telah kamu pelajari ini kamu gunakanlah dengan sebaik mungkin andai kamu terpilih nanti... Alhamdulillah........
Hari ini kata-kata itu masih menjadi sebahagian jiwa saya.
Apa yang saya ingin kongsikan bersama teman-teman adalah
KEPIMPINAN yang saya perolehi ketika bersama ROTU.
1. Saya diajar untuk menjadi pemimpin yang pada masa yang sama dipimpin. Itulah keutuhan bagi sesebuah platun.
2. Seorang Platun Komander seharusnya berani. Andai Platun Komander itu takut, platun akan lemah dan misi yang ditugaskan pasti gagal.
3.Seorang Platun Komander mesti mempunyai kefahaman yang tajam serta mampu memberi arahan yang jelas.
4. Seorang Platun Komander tidak mudah menunding jari dan sanggup menerima tanggungjawab.
5. Seorang Platun Komander harus bijak mewujudkan kerjasama berpasukan.
6. Sebagai Ketua Platun, jangan sesekali meninggalkan anggota platun di belakang walaupun seorang. Harus bergerak bersama-sama dan bersatu.
Apa yang saya pelajari ini telah saya cuba adaptasikan dalam kerja saya seharian. Kadang-kadang ianya tersasar, itulah lumrahnya manusia. Namun peluang untuk terus mencuba belum tertutup, yang penting terus mencuba.
Foto kenangan sewaktu Fasa Berundur Khemah Tahunan ROTU UM pada tahun 2003 di Bentong..
Mungkin kegilaan saya pada Ketenteraan bukanlah satu perkara yang saya ingin banggakan. Anda semua ada impian, begitu juga saya. Namun jodoh saya bukan dengan Tentera. Apapun saya sedar hikmahNYA terlalu agung untuk saya pertikaikan.
Berbalik kepada
KEPIMPINAN yang saya perkatakan tadi. Sebenarnya filem-filem ketenteraan yang ada dipasaran baik dulu mahupun sekarang boleh dilihat aspek kempimpinan yang saya sebutkan.
Filem terbitan Kerajaan Malaysia seperti Left. Adnan contohnya, lihat sahaja keberanian seorang perwira yang rela darahnya tumpah memipin Rejimen Askar Melayu Diraja menentang kerakusan matahari timur.
Begitu juga filem perang terbitan negara Uncle Sam. Tidak dinafikan ianya sebahagian dari propaganda negara syok sendiri ini. Apa yang saya nak perkatakan adalah aspek KEPIMPINAN yang ada.
Filem Band Of Brothers : Kisah benar tentang Easy Company yang dipimpin oleh Left. Dick Winter semasa WW II. Keberanian dan kepimpinan Left. Dick Winter diakui oleh anggota pasukannya. Semasa di medan pertempuran, beliau telah dinaikkan pangkat hingga ke Mejar. Kepimpinan Left. Dick Winter membawa kepada kejayaan pasukannya menumpaskan musuh dan kejayaan paling bermakna adalah ketika menawan Istana Hitler.
Filem We Were Soldier : Satu lagi kisah benar yang difilemkan. Tapi kali ini berlatar belakangkan Perang Vietnam. Sekali lagi lupakan propaganda US yang memang kalah dalam kempen di Vietnam ini. Filem ini mengisahkan tentang seorang pegawai tentera Left. Kol. Hal Moore yang memimpin satu pasukan 7th Cavalry regimen bertempur di Zon Xray (La Drong Valley).
Kata-kata beliau di bawah nyata menyerlahkan
KEPIMPINAN seorang pegawai tentera yang hebat.
"I can't promise you that I will bring you all home alive. But this I swear, before you and before Almighty God, that when we go into battle, I will be the first to set foot on the field, and I will be the last to step off, and I will leave no one behind. Dead or alive, we will all come home together. So help me, God. "
Maaf kerana terlalu mengagungkan
KEPIMPINAN yang ada dalam tentera. Cuma mahu berkongsi aspek positif yang wujud dalam tentera sambil mengenang saat-saat indah ketika berendam di sungai jam 4 pagi dan juga kegagalan saat membuat Serang Hendap Musuh.
Saya sangat-sangat menghargai pengalaman saat membuat Serang Hendap Musuh yang mana saya lalui pada 2 zaman yang berbeza. Malangnya kedua-dua misi ini GAGAL kerana saya tertidur.
Serang Hendap Musuh 1 (UM) : Sungai Tong Tahun 2001. Pada ketika itu saya sebagai Platun Komander telah tertidur dan misi pasukan telah gagal. Pagi itu, saya menjadi habuan Mejar Aziz Ghimau.......
Serang Hendap Musuh 2 ( Kursus DPA) : PULADA Tahun 2007. Pada ketika itu saya bertindak sebagai Sarjan Platun. Semasa misi saya gagal mengkoordinasikan serangan dengan Ketua Platun gara-gara tertidur. Akibatnya, satu platun dilanyak oleh Kapten Mazlan Israel....
Sebelum berundur, kita semua adalah pemimpin, tidak kira terhadap diri sendiri, keluarga mahupun organisasi. Dan dari situlah daya kepimpinan amat diperlukan untuk berjaya. Walau bagaimanapun.... daya
KEPIMPINAN bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi... Ianya adalah proses yang berterusan melalui pengalaman mahupun dipelajari.
m@tmin
Jln. Klang Lama
13.12.11