Wednesday, February 11, 2015

Aku Hanya Nak Ke Seberang - Never Quit

Beberapa tahun lepas ambo beli sebuah buku puisi tulisan Hashim Yaakob (Prof Datuk Dr.). Semasa ambo belajar di UM beliau menjadi VC dan beliau sering membacakan puisi dalam majlis-majlis rasmi ketika itu. Ada satu puisi yang menarik minat ambo dan puisi itu sering ambo baca pada saat ber'perang' dengan pelbagai perkara. Hari ini sekali lagi ambo renung sedalam-dalamnya puisi ini. Harap-harap dapatlah menyuntik semangat dalam perjuangan.


Aku Hanya Nak Ke Seberang

Aku pahat kayu cengal 
Harap harap jadi perahu
Dayung hebat dayung sebenar
Keras kuat teras tembesu

Layar Bertingkat serupa kapas gulung
Tiang nya tegak dari batang nibong
Panji kain suluk achemar
Tenunan kekasih wajah di kamar

Esok perahu nak turun ke air
Harung nak lalu samudera bertabir
Esok perahu nak turun ke air
Harung nak lalu samudera bertabir

Tinggal patat awal terakhir
Lawan badai, ribut dan petir

Ombak jangan gila melandung
Harap tenang laut kuala
Dayung jangan patah tak kuasa
Layar tiang jangan binasa

Gantung jiwa seluruh harapan
Nekad rasa arah tujuan
Seroh segala pada mu Tuhan
Aku Hanya nak ke seberang  





m@tmin
BCS
11.2.2015

Monday, January 5, 2015

2015 & MISI

Sudah hari ke 6 tahun 2015. Seperti tahun-tahun sebelumnya, terlalu banyak yang ingin dicapai dan dibuat. Kadangkala ianya seolah-olah syok sendiri. Takut juga tidak sepadan dengan kemampuan. Kata guru ambo, "Bila kamu YAKIN, semuanya bukan lagi mustahil". Mungkin kata-kata ini sedikit sebanyak mampu menyuntik semangat dalam diri.  InsyaAllah.... semoga dipermudahkan perjalanan. 


m@tmin _soulJAR
6.1.2015
BCS

Monday, November 24, 2014

The Secret Life of Walter Mitty

Saya mungkin terlepas berkenaan filem The Secret Life of Walter Mitty pada tahun 2013. Saya hanya sedar tentang kewujudan filem ini selepas terbaca status FB seorang penulis yang saya kagumi beberapa bulan lepas. Sedikit bingung, macamana filem ini terlepas dari pengetahuan sedangkan saya sering mengikuti perkembangan filem-filem baru di pawagam. Saya menyusuri dunia maya dan mulai sedar filem ini adalah sebuah filem yang bagus. Ramai yang mengesyorkan filem ini kerana sarat dengan motivasi dan kekeluargaan. 

Oktober lepas saya berpeluang mendapatkan CD filem ini. Sukar untuk dimengertikan, saya melihat filem ini sebanyak 3 kali dalam masa 2 hari. Mungkin kerana jalan cerita yang disajikan sangat menarik lebih-lebih lagi berlatarkan Greenand dan Iceland . Jalan cerita mungkin ringkas dan tidak membebankan penonton untuk berfikir. Namun kelebihan filem ini pada saya adalah kemampuannya untuk membangkitkan semangat seseorang. Cuba tonton filem ini dan saya yakin rakan-rakan akan setuju.

Filem ini tentang Walter Mitty, seorang pengurus aset negatif di majalah Life. Seorang yang suka berangan dan meminati seorang kakitangan perempuan (Cheryl) di tempat kerjanya. Konflik timbul apabila perubahan berlaku dalam syarikat yang mana Majalah Life akan diterbitkan secara online dan tidak lagi seperti biasa. Majalah Life yang terakhir akan diterbitkan dengan menggunakan cover foto yang dihantar oleh seorang jurugambar profesional Sean O Connell dan malangnya negatif 25 berkenaan tidak diterima oleh Walter Mitty.

Bermula dari situ, Walter telah keluar dari zon yang selesa dan mengembara untuk menjejaki Sean O Connell dari Greenland, Iceland hinggalah ke Himalaya. Akhirnya Sean O Connell berjaya dijejaki dan walter mendapat negatif 25 yang dikehendaki. Dipendekkan cerita, Walter juga berjaya memikat Cheryl. Sepanjang filem ini berputar saya ternanti-nanti apakah sebenarnya imej yang ada pada negatif 25 dan saya benar-benar terkejut. Penamat yang baik, cuma filem ini dirasakan terlalu pendek hehehe.
 

Sisi positif dari filem ini yang saya dapat kongsikan adalah :

1. Stop dreaming, start living.
2. Jangan takut untuk cuba keluar dari zon selesa.
3. Jangan berangan malampau-lampau.
4. Jangan rasa rendah diri.
5. Selalu percaya pada diri sendiri.
6. Kadang-kadang sesuatu benda itu ada dekat dengan kita, malangnya tidak disedari.
7. Dengar arahan dengan teliti. 
8. Keluarga adalah orang yang paling rapat dengan kita, hargailah mereka.
9. Anda akan kenal diri sendiri apabila berhadapan dengan cabaran.
10. Hidup adalah berkenaan dengan keberanian.

Saya tertarik dengan kata-kata Cheryl pada Walter Mitty. Sangat mendalam dan memberi kesan. InsyaAllah saya bercadang untuk buat satu tshirt printing menggunakan kata-kata ini.

"Life is about courage and going into unknown"

Saya bukan seorang yang cerewat dan jika ditanya berapa bintang boleh diberikan pada filem ini maka saya akan katakan 5 bintang. 







24.11.2014
m@tmin SOLJAR
Battle Control Station



Sunday, September 14, 2014

Tentang Buku : Travelog Ulu Yam Di Liverpool (UYDL) 2

Saya tidak kenal atau pernah bersua dengan Nazali Noor. Tetapi buku beliau Ulu Yam Di Liverpool (UYDL) 1 yang diterbitkan sebelum ini telah memberikan saya gambaran siapa itu Nazali Noor. Seorang anak melayu yang berjaya di negara asing bagi saya.

Jika dibandingkan kejayaan beliau dengan saya, ternyata begitu ketara perbezaannya. Cuma satu persamaan antara kami iaitu kami adalah 'KOPITES'.....mmmmmm.... pendek kata kami adalah penyokong LIVERPOOL....





Travelog UYDL yang pertama memberi ruang untuk saya kenal siapa beliau. Travelog UYDL 2 pula telah membawa saya untuk mendalami erti sebuah pengHIJRAHan.  

Dalam kita mengejar cita-cita, kita tidak boleh lari dari meredah halangan yang terbentang. Mungkin ianya pahit, tetapi itulah lumrah sebuah perjuangan. Dan.... itulah yang dicoretkan oleh Nazali Noor, anak Ulu Yam yang kini menjawat jawatan pensyarah kanan di sebuah universiti di Liverpool dalam UYDL 2. 

Beliau menceritakan masam-manis di peringkat awal penghijrahan beliau dan keluarga. Beliau juga begitu berani mendedahkan nama-nama yang banyak menjadi duri kepada beliau dan keluarga. Tapi saya tidak pasti sama ada nama-nama itu adalah nama sebenar atau adalah nama samaran semata-mata. 

UYDL 2 mampu menyuntik emosi dan dan motivasi. Cuba baca dan anda akan percaya apa yang saya katakan. Banyak kata-kata yang mampu membangkitkan jiwa dari Onn ini. Kisah-kisah beliau yang dipaparkan sarat dengan makna dan sedikit sebanyak mencuit emosi terutamanya kisah beliau bersama ibu dan keluarga.

Saya tertarik apabila beliau menceritakan tentang Bos di Malaysia vs Bos di Liverpool serta  perangai 'biasa' orang melayu walaupun jauh di perantauan. Itulah bangsaku..... 

Saya juga kagum dengan perhatian/reaksi masyarakat di Liverpool tentang buku UYDL ini. Bos dan rakan sekerja beliau  benar-benar menunjukkan sokongan yang tinggi serta meraikan kejayaan beliau yang berhasil menulis sebuah buku walaupun buku berkenaan bukanlah berkaitan dengan bidang pengajaran beliau.

Kisah beliau bersama Dr. Emma Kate (Bergelar Dr. ketika berumur 25 tahun) membandingkan tesis phd yang dihasilkan oleh Dr. Emma dengan UYDL  beliau telah menyedarkan saya supaya tidak melihat sesuatu itu dari satu sudut sahaja. Tesis  Dr. Emma mungkin melayakkan beliau mendapat gelaran Dr., tetapi berapa ramai yang akan membaca tesis ini kecuali oleh mereka-mereka dalam bidang tertentu sahaja berbanding UYDL yang boleh dibaca oleh segenap peringkat umur dan lapisan masyarakat dan mampu memberi kesan yang lebih besar. Begitulah cara Dr. Emma memberi dorongan pada Onn....

Saya yakin Nazali Noor mampu menjadi idola kepada anak-anak kita yang berjiwa besar. Mampu memimpin anak-anak kita membentuk impian. Mampu mendorong anak-anak kita menggantung impian setinggi langit.... saya doakan semoga  beliau berjaya.

Liverpool........Salah satu impian saya dalam hidup adalah untuk menonton Liverpool beraksi di Stadium Anfield. Pendek kata Liverpool adalah destinasi impian saya yang ke-4 selepas Mekah, Madinah dan Istanbul. InsyaAllah....



m@tmin
Opis ambo
15.9.2014


 







 

Tuesday, September 9, 2014

Tentang Buku : Maharaja Wang

Awal tahun 2006 saya berpeluang mendapatkan Buku Jutawan Di Planet Jupiter hasil air tangan dan idea Azizi Ali. Seorang jutawan dan tidak salah saya katakan beliau juga adalah seorang pakar kewangan di Malaysia. Maklumat yang disampaikan sangat menarik dan penuh dengan tips yang berguna.

Penghujung Ogos 2014 yang lepas, saya tergerak mendapatkan pula Buku Maharaja Wang. Buku yang kedua dari Azizi Ali selepas  8 tahun. Sebuah buku yang sangat berguna dan sarat dengan pandangan serta idea yang bernas dari Azizi Ali. Tetapi untuk membaca buku ini seseorang perlu berlapang dada. Terdapat beberapa saranan dan pandangan beliau mungkin tidak begitu baik buat seorang penasihat kewangan atau ejen insurans. 

Masih sama seperti Buku Jutawan Di Planet Jupiter, Buku Maharaja Wang juga menekankan kepada KONSEP MENYIMPAN atau MEWUJUDKAN DANA SIMPANAN sekurang-kurangnya 3 BULAN GAJI. Sesetengah pandangan atau cadangan beliau dalam buku ini seolah-olah dilihat begitu ekstrem. Sejujurnya  saya kurang bersetuju dengan pendapat beliau berkaitan insurans. Namun terpulang kepada kita untuk menilai dan mengikutnya.  

Pada saya Azizi Ali telah berjaya menyampaikan input dengan berkesan dan tidak sukar untuk difahami bagi pembaca di pelbagai peringkat. Bukan sekadar berdasarkan pengalaman tetapi juga fakta-fakta yang tidak kita ketahui sebelum ini.

Maaf jika ada yang berpendapat membaca buku ini adalah untuk menjadi kaya semata-mata. Membaca buku ini tidak semestinya untuk menjadi kaya, tapi sangat bermakna untuk meningkatkan pengetahuan dalam pengurusan kewangan. Kaya pun tiada guna jika gagal untuk menguruskan kewangan. Sampai masa kaya boleh jadi kayap.....  

4 hari membelek buku ini saya dapat simpulkan sedikit tips untuk dikongsikan dengan rakan-rakan pembaca. 

1. Menyimpan dahulu sebelum melabur.
2. Wujudkan dana simpanan 3 bulan gaji @ lebih.
3. Pendapatan tambahan - Sumber Pendapatan Pelbagai.
4. Jangan terlalu bergantung/percayakan penasihat kewangan 100%.
5. Belajar dan belajar lagi ilmu berkenaan kewangan.

Saya paling terkesan apabila beliau menyatakan  untuk bahagia NIKMATILAH SETIAP SAAT DALAM HIDUP.

Jika rakan-rakan ingin menambah ilmu tentang pengurusan kewangan, dapatkanlah buku ini. Ianya berbaloi. Benar wang bukanlah segala-galanya dalam hidup dan wang tidak boleh membeli bahagia. Tetapi tanpa wang adakah kita boleh hidup? Adakah kita boleh bahagia? Rakan-rakan tahu jawapannya.....

Antara kaya wang dan kebebasan kewangan saya memilih KEBEBASAN KEWANGAN....
InsyaAllah.... fasa 1 akan berjalan lancar.....


Foto dari FB BookPlanet


m@tmin
Opis Ambo
10.9.2014

Tuesday, June 17, 2014

Haiku buat Dia.....


Gugur Kemboja
Memadam Mimpi Indah
Terlerai Duka

Al-Fatihah...

(Damailah..... 13.6.2014)


m@tmin
Sandakan
17.6.2014

Thursday, May 8, 2014

Tentang Buku : Melayu Hilang Di Dunia

Semasa di Pesta Buku Antarabangsa 2014 di PWTC, saya telah berkesempatan bertemu seorang 'lejen' dalam dunia perfileman dan sastera iaitu Abang Khalid Salleh. Tidak mengenali beliau secara dekat, tetapi cukup untuk saya simpulkan yang beliau mudah mesra dan boleh buat lawak. Tiba-tiba terlintas di fikiran antara adegan-adegan lakonan beliau yang saya masih ingat dalam filem JOGHO.Teringat saat bersesak-sesak menonton VCD ini dalam bilik seorang rakan semasa di UM.

Alhamdulillah dapat sedikit waktu bersembang dengan beliau dan hasilnya 2 buku tulisan beliau saya beli siap bertandatangan. Boleh diketegorikan antara koleksi buku saya yang paling berharga. Saya ingin ceritakan sedikit tentang buku beliau yang pada saya amat sensitif bagi sesetengah pihak iaitu MELAYU HILANG DI DUNIA. Sepengetahuan saya,  karya yang diterbitkan pada 2011 ini tidaklah pula diharamkan oleh pihak berkuasa. Bagi saya tidak salah untuk beliau meluahkan rasa dan pendapat beliau.

Sejujurnya saya juga sama seperti beliau, bimbang dengan masa depan MELAYU. Sejak akhir-akhir ini banyak pihak yang mempertikaikan tentang MELAYU tanpa pertimbangan yang sewajarnya. Abang Khalid Salleh nyata begitu marahkan pemimpin negara dan ahli-ahli politik di atas kegagalan mempertahankan MELAYU dalam tulisannya ini. Ada benarnya bagi saya. Namun begitu, kegagalan mempertahankan MELAYU tidak boleh diletakkan 100% keatas pemimpin negara dan ahli-ahli politik berkenaan. Sebahagiannya adalah kerana SIKAP ORANG MELAYU itu sendiri.

Cubalah  orang MELAYU selami balik sejarah lampau. InsyaALLAH di situ akan adanya petunjuk. Rujuk balik pepatah-pepatah lama. Ada sindiran yang perlu kita rungkaikan. Berbalik pada buku MELAYU HILANG DI DUNIA. Ada antara isinya yang dilihat berulang-ulang contohnya Waadat antara Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana.

Saya amat percaya, anak-anak MELAYU ramai yang tidak tahu apa itu Waadat antara Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana malah mungkin juga tidak pernah mendengar nama Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana. Seperti saya sarankan tadi, selamilah balik sejarah lampau. Sejarah Waadat antara Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana. Di sini adanya ikatan yang mampu dileraikan dalam meneruskan kelangsungan MELAYU. Pentingnya peranan pemimpin dan juga peranan rakyat. Jika kedua-duanya (pemimpin dan rakyat) gagal dalam memainkan peranannya, selama itulah MELAYU akan terhakis sedikit demi sedikit.

Buku beliau mungkin dilihat RASIS. Tapi itulah hakikatnya apabila berada di MALAYSIA yang mempunyai kepelbagaian kaum. Apabila anda bercakap tentang sesuatu kaum/bangsa, anda akan dilihat RASIS. Kita tidak boleh lari dari hakikat ini. Kepelbagaian kaum boleh menjadi bom jangka kepada negara jika kita pilih untuk bersengketa tetapi akan menjadi indah apabila kita cuba mencari titik persamaan.

Buku ini boleh dijadikan bacaan semua pihak lebih-lebih lagi ahli politik untuk memahami perkara pokok yang ingin diketengahkan iaitu kelangsungan MELAYU. Ianya satu luahan yang tidak boleh dipandang ringan oleh kepimpinan negara. 

Sebelum saya berundur, hidup dalam masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai kaum sebenarnya MEMERLUKAN SATU PERSEFAHAMAN dan TOLAK ANSUR. Rakyat MALAYSIA bukanlah bodoh untuk memahami perkara ini. Peranan pemimpin negara dan parti politik mampu merealisasikan sebuah negara yang aman damai. Tapi dengan syarat, fahami terlebih dahulu konsep ADIL dan HAK KESAMARATAAN dalam konteks negara MALAYSIA. 

Ada boleh bersetuju dan anda boleh saja menolak pendapat penulis buku MELAYU HILANG DI DUNIA ini. Terpulang pada kita semua untuk menilai. 





m@tmin
Jalan Klang Lama
8.5.2014