Friday, December 31, 2010

2011


Selamat Menyambut Tahun Baru 2011...
Semoga hidup lebih bermakna dan diberkati....



m@tmin
1-1-2011

Sunday, October 31, 2010

Better Late Then Never

Tertarik dengan ulasan Mamat Khalid tentang Subjek Sejarah dalam ruangan Bersama Selebriti di Berita Minggu.

"Beritahu mereka sejarah yang sebenar! Bagaimana asimilasi pembentukan sosiobudaya dari Srivijaya hingga ke alaf baru. Sekarang tiada siapa pun ketahui akan sejarah betapa besarnya institusi Raja-raja Melayu yang mula-mula mendakap agama Islam lalu menurunkan nikmat itu ke seluruh rumpun bangsa. Tiada kesedaran akan peristiwa itu.

Kebesaran kerajaan Melaka yang menjadi tumpuan hingga ke benua Eropah. Terapkan pengetahuan pedih bagaimana anak bangsa disembelih dan dirobek dada oleh kuasa luar yang menapak atas kelemahan perpaduan yang terjadi.


Kita jeritkan semula bagaimana kezaliman Bintang Tiga bermaharajalela ingin menukar perlembagaan negara ke arah komunisme. Mereka bukan ‘cool’ seperti mana yang cuba diceritakan oleh sesetengah golongan.

Pelajar dan masyarakat harus disedarkan dengan kegagahan perjuangan pahlawan-pahlawan dulu." 


#  Masih terkenangkan tentang peristiwa di pejabat tidak lama dulu, seorang anak muda dari Johor tidak kenal siapa itu Si Bongkok Tanjung Puteri. Juga kecewa dengan remaja sekarang ini yang lebih mengingati tarikh lahir artis berbanding tarikh penubuhan Malaysia..

# Tahniah kepada kerajaan kerana sedar dan bertindak walaupun sedikit terlewat.. apa2 pun Better Late Then Never..

Jumpa lagi...

Friday, October 29, 2010

Erti Kemerdekaan...

Sedang asyik mengemas ruang kerja tiba2 terlihat sebuah puisi Tun Mahatihr. masih terbayang pengalaman pertama kali mempersembahkan puisi di hadapan khalayak sempena Forum Kemerdekaan Sidang D semasa di INTAN Bukit Kiara....

Masih terbayang saat itu...

Dan jatuhnya hanya beberapa hari
lalu terbelenggu 400 tahun
suatu tempoh yang amat payah dan panjang
pengabdian dan kehilangan yakin diri
50 tahun kita berdiri menebus maruah
merdeka mentafsir diri sendiri dan bangga pada apa yang ada
masih mahukan harga itu diperjudikan?
Kita tidak akan mempertaruhkan nasib itu
di tangan kita masih panas
keringat, tulang belulang dan tenaga fikir
menghayun langkah membina wawasan
waspada harimau di matahari terbenam
tidak akan hilang belangnya
mengisytiharkan dirinya yam tuan tunggal sejagat
yang lemah longlai
yang gagah gergasi
akan meruntuhkan segala sempadan rimba
atas nama membina perkampungan dunia
mahukah kita biarkan
mereka menginjak-injak dan menghancurkan taman kecil permai ini?
Rimba tanpa sempadan
atas nama “kebaikan” menyelinap menusuk matafikir
hidupan dunia ketiga terpaku takjub dengan slogan
‘kasih alam
ketelusan hukum
keadilan timbangan
kesatuan warga dunia
kebebasan mutlak’
lalu beraraklah anak-anak bumi ini meraikan kesatuan alam
dengan sorak sorai
‘runtuhkan sempadan!
runtuhkan sempadan!
runtuhkan korupsi
runtuhkan kolisi’
dan di belakang mereka tidak melihat
bayang-bayang belenggu halimunan
yang lebih ganas daripada segala yang ganas
kita pun akan kehilangan harga dan erti diri
mengapa diundang mereka
dan mereka tiba-tiba berada di depan pintu rumah kita?
Kita telah bangun dengan segala kepayahan
membuka belantara dan mempertahankan warisan
kita tafsir merdeka mengikut acuan sendiri
merdeka kita dengan fikiran
dan kita pertahankannya dengan fikiran
dunia sudah melihat kita
dunia sudah menghormati kita
Timur dan Selatan mengharapkan kita
mereka datang berbondong-bondong mencari bumi ini
perlindungan dan erti hidup
mengapa kita sendiri masih belum mahu melihat
dengan tangan masih terbelenggu ke belakang
dan hanya sesekali menjulangnya
mengikut rentak genderang dunia matahari terbenam?
Bijak pandai pernah berpesan
‘mereka yang tidak belajar dari sejarah mereka didera
dengan mengulangi kesalahan-kesalahan mereka berkali-kali’
sejarah mengajar kita betapa kukuh sesuatu bangsa
akan tetap kecundang bila ditikam dari belakang
mengapa kita mula halalkan sejarah hitam berulang?
Nasib kita genggam
dengan tangan sendiri dan segala kudrat kurniaan
kita jalin kekuatan sulaman kasih bangsa
kita didihkan dia dengan tradisi semangat juang
maruah bangsa kita julang ke mercu alam
kita bangunkan suatu tamadun cinta damai
di sini kita ajar anak-anak kita erti sayang
di sini kita tawarkan dunia menaja kemanusiaan
dan bukan alat peperangan
dunia belajar erti merdeka sejati
mempelajari dan menerima segala perbezaan
merdeka menafsir hidup tanpa paksaan kuasa
Di sini kita yakin segalanya boleh
Di sini kita yakin segalanya boleh
Itulah erti kemerdekaan
Perjuangan ini mesti diteruskan.
DR. MAHATHIR MOHAMAD

(Puisi : The best word in the best order) Samuel Taylor

Friday, October 8, 2010

MENCARI PERSAMAAN DALAM PERBEZAAN...

Rumah Terbuka Apartmen Mutiara 3 Sept. 2010
(Bukannya susah mencari persamaan dalam perbezaan)

Akhir-akhir ini, banyak pihak yang berbicara tentang Hak Sama Rata tanpa mengambil kira di mana sebenarnya bumi yang dipijak. Tanpa sedar rupa-rupanya ramai yang buta sejarah dan tidak pernah mengambil iktibar dari peristiwa yang pernah berlaku.

Entah sama ada tidak tahu atau sengaja melupakan usaha pemimpin-pemimpin terdahulu dalam membentuk sebuah negara merdeka, PERLEMBAGAAN yang telah dirangka adalah untuk menjaga Hak Bumiputera Tanpa Mengabaikan Kaum-Kaum Lain. Bukannya susah untuk memahami apa yang terkandung dalam PERLEMBAGAAN ini, namun disebabkan adanya agenda tersendiri oleh pihak-pihak tertentu maka kebenaran seolah-olah ditutup.

Ada yang menuntut hak sama rata sedangkan dalam masa yang sama turut perjuangkan perkara yang sebaliknya. Contoh yang jelas adalah BAHASA. Masing-masing menuntut untuk menggunakan Bahasa Sendiri sedangkan Bahasa Rasmi di Malaysia adalah BAHASA MELAYU. Akibatnya ramai yang mengaku warganegara Malaysia tetapi langsung tidak faham dan bertutur dalam Bahasa Melayu.

Sebenarnya bukanlah susah mencari persamaan dalam  perbezaan yang wujud, yang penting sikap bertolak ansur, memahami sejarah, saling menghormati dan semangat patriotik yang tinggi  menjadi asas dalam mewujudkan kerukunan antara kaum yang wujud.

Sekadar berkongsi dengan semua. Jumpa lagi.....

m@tmin
9 Sept 2010





Saturday, September 25, 2010

SELAMAT BERJUANG ADINDA

Selamat berjuang kepada adinda tercinta Mohammad B. Abd wahab yang telah berangkat ke Mesir untuk  melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Kaherah. Semoga pulang dengan kejayaan dan menunaikan hasrat Bonda tercinta, Aminn....

Monday, September 20, 2010

"Moral Down"...

Hari ini hari kedua di pejabat selepas lama bercuti di kampung. Arggh...kenapa 'selimut' malas masih membalut diri?
Mungkin situasi kebelakangan ini mengusutkan minda lantas merembeskan cecair malas dalam jiwa...
Namun demikian begitulah kehidupan, apa yang penting moral yang 'down' ini perlu dibangkitkan semula.

RAJIN itu adalah punca segala kejayaan dan MALAS pula punca segala kegagalan. (Dr. Shukri Abdullah)
Bangkitlah Pheonix....

Sunday, September 5, 2010

Idea 10 minit...


Kata orang idea datang dalam pelbagai cara dan saat aku membenci sikap seseorang lantas keluar idea untuk menulis sajak. Dalam masa 10 minit inilah hasilnya.

Manusia apakah itu?

Mahukan penghormatan
Dari mereka yang dihina

Mahukan harta
Dari mereka yang kedana

Manusia apakah itu?


2 Sept 2010
Putrajaya

Sebenarnya aku masih baru mengenal sajak dan puisi dan masih mencari ruang untuk mendampingi bidang ini dengan mendalam lagi. Insyallah akan cuba dan mencuba lagi...


Monday, August 30, 2010

SALAM KEMERDEKAAN

Alhamdulillah, hari ini adalah Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53 dan aku masih dapat menghirup udara kemerdekaan di bumi bertuah ini. Semoga kemerdekaan ini akan dapat dikekalkan, Insyaallah...

Namun demikian, setakat mana penghayatan kita terhadap kemerdekaan yang kita miliki. Aku tertanya-tanya apakah hanya pada kibaran bendera yang akhirnya terbiar lusuh dan rabak? Atau hanya pada kibaran bendera di kereta yang akhirnya bertaburan di jalan raya? Atau pun juga penghayatan kemerdekaan hanya ketika letupan bunga api yang akhirnya lenyap bersama kelam asap...

Malam semalam aku kecewa apabila kebanyakan siaran TV lebih banyak menyiarkan cerita-cerita hiburan yang  kosong. TV2 nampaknya prihatin dengan menyiarkan filem Sarjan Hassan. Malangnya TV3 pula menyiarkan filem Fong Sai Yuk, arrghhh benci betul..

Pada pemerhatian aku, kita hanya berbangga dengan program-program mengibarkan bendera semata-mata menggambarkan semangat patriotik tapi kita lupa untuk menanam semangat patriotik ini dalam diri kita dengan lebih berkesan. Kita lebih pentingkan luaran sahaja dengan mengabaikan aspek dalaman yang lebih penting.. Akibatnya, ramai anak-anak kita yang tidak memahami makna kemerdekaan yang sebenar.

Sempena kemerdekaan ini semoga kita semua dapat meningkatkan lagi kesetiaan kepada negara dan berusaha memeliharanya tidak kira apa yang berlaku... Semoga semangat Tuk janggut, Tok bahaman, Abdul Rahman Limbung dan pejuang-pejuang bangsa meresap ke dalam jiwa kita semua. Semoga keberanian Mat Kilau, Leff. Adnan dan Dol Said terpahat kukuh pada hati kita.



NEGERI INI, ANAK
Negeri ini, anak adalah tanah hijau penuh mahsul
terlalu pemurah dan saksama pada tiap warga yang berjasa
yang rela memberikan keringat serta setia untuk bumi tercintanya.
Usah kau persoalkan tentang derita milik siapa di negeri kaya
dan kesuraman sekejap siapa pula menjadi dalang
kalau tiba-tiba terdengar laungan dari bukit penuh gelap
itu hanyalah lolongan sang pertapa yang lemas ditikam bayang!
Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan
yang telah melahirkan ribuan pahlawan.
Rela memilih terbuang dari berputih mata,
kerana baginya, mati itu cuma sekali dan
tidak harus sia-sia.
Mereka tidak rela ini negeri tercinta
jadi kuda tunggangan atau dipekosa warga tidak bernama.
Meski darah dan tulang jadi gantian.
Kerana baginya:
negeri adalah tanah
adalah air,
adalah api,
adalah angin.
Adalah maruah,
adalah permai,
adalah berani,
adalah susila.
Adalah segala-galanya.
Dan hari ini, kata keramat itu dilaungkan.
Tanpa mengira kulit atau warna,
tampuk atau asal, percaya atau agama:
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Di negeri ini anak,
mari kita hidup tanpa curiga atau rasa berbeza.
Siapa di sini adalah warganya,
kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah.
Darahnya tetap merah.
Usah dilebarkan jurang atau mencipta kelam.
Mari kita dirikan harapan dan teguhkan kesetiaan.
Marsli N.O
17 Jun – Julai 1988
Dari antologi: Di Atas Mimbar Merdeka, terbitan DBP 1989

 SALAM MERDEKA............

SELAMAT HARI LAHIR PUAN AZLINA....

Selamat Hari Lahir Puan Azlina...

Semoga hidup akan lebih bermakna di bawah rahmat ilahi dan kebahagian sentiasa milikmu. Terima kasih kerana sanggup berkongsi asam garam kehidupan bersama-sama...

"Aku ingin mencintaimu dengan sederhana… seperti kata yang tak sempat diucapkan kayu kepada api yang menjadikannya abu… Aku ingin mencintaimu dengan sederhana… seperti isyarat yang tak sempat dikirimkan awan kepada hujan yang menjadikannya tiada"

                                                                                                                                         (Khalil Gibran)

Saturday, August 28, 2010

Tahun Ke-10

Alhamdulillah, diri masih berkesempatan untuk mengharungi Ramadhan yang mulia ini. Sepanjang berada di KL bermula tahun 2000 hingga 2009, hati selalu rindukan kemeriahan di kampung semasa berbuka dan ketika menunaikan Solat Terawih. Namun tahun ini nyata berbeza, kerinduan kepada suasana kampung terubat sama sekali.

Seronok berbuka bersama-sama kariah di surau kawasan kediaman yang baru 8 bulan diduduki. Kanak-kanak riang berlari selepas Solat Terawih, jemaah yang mudah mesra bertanya khabar dan berkongsi cerita. Terasa ikatan yang harmoni dikalangan penduduk di sini sekaligus menghilangkan rasa ragu-ragu yang wujud ketika membeli apartmen disini. Ini juga bermakna, perasaaan ini hanya wujud selepas 9 tahun mengharungi kehidupan di bandaraya KL.

Namun demikian, hati merasa kecewa dengan kehidupan di kota yang  serba moden dan gaya hidup yang mengejar kemajuan. Akibatnya ikatan ukhuwah antara insan (lebih-lebih lagi orang melayu & muslim) telah terurai dan semakin menjauh. Menjalani kehidupan yang tidak mengenal nama jiran sebelah dan tidak bertegur sapa begitu meresahkan seolah-olah hidup bermasyarakat tidak wujud.

Apakah ini harga yang perlu dibayar untuk hidup di kotaraya yang moden dan cuba berlari seiring arus kemajuan?

Friday, August 20, 2010

BILA BUTA SEJARAH

Akhir-akhir ini kecewa dengan kenyataan sesetengah pihak terutamanya ahli politik. Kenyataan melulu dan membabi-buta membelakangi sejarah lampau. Sejarah yang sepatutnya dijadikan iktibar untuk kelangsungan perpaduan, malangnya diketepikan kerana kepentingan politik.

Sedar atau tidak, tahap intelektual CSL ternyata berada pada tahap yang paling rendah dan buta sejarah. "Adil" bukan hanya setakat "sama rata" maksudnya, tetapi juga "meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul" menurut kamus Dewan Edisi Keempat.

Kenapa masih lagi mahu menanam rasa prejudis terhadap Bangsa Melayu yang sanggup melepaskan haknya untuk berkongsi dengan bangsa lain? Kenapa masih lagi mahu mencabar kesabaran bangsa Melayu?

Ingin juga bertanya pada CSL, bintang mana yang tersemat dihati beliau yang menjadi falsafah perjuangan. Bintang Berlima atau Bintang pecah 14? Jika Bintang Berlima, nyah kamu dari bumi Malaysia ini...

Berikut luahan sejarawan negara yang kecewa dengan sikap segelintir bangsanya yang buta sejarah BERITA HARIAN (20 OGOS 2010). Terima kasih Tan Sri.


 Kenapa perlu bertelagah sedangkan kita boleh hidup bersama? Gambar kredit kepada blog ini..

Tuesday, August 10, 2010

SALAM RAMADHAN AL- MUBARAK...

Selamat Berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat...

Semoga bulan yang penuh berkat ini akan menjadi medan buat kita semua untuk membersihkan hati, mensucikan jiwa, mempertingkatkan amal ibadat dan memohon keampunan kepadaNya...


Jika ada salah dan silap harap sahabat-sahabat semua maafkan....

Jumpa lagi...

Friday, July 9, 2010

Gara-Gara 'Paul'

Berkas (Berita Ringkas) : 


Harga sotong tiba-tiba melebihi harga siling yang telah ditetapkan dan telah menimbulkan panik dikalangan surirumah seluruh dunia khususnya di Malaysia. Padang kota di Penang juga telah diserbu oleh peminat-peminat Jerman dan Argentina semata-mata ingin melepaskan amarah kepada Sotong Kangkung yang dikenalpasti mempunyai pertalian darah dengan 'Paul' seekor sotong kurita yang didakwa mempunyai ilmu psikik dan telah membuat ramalan yang tepat dalam World Cup 2010.

Permintaan terhadap bot-bot pancing juga telah meningkat di Kuala Terengganu dan difahamkan semuanya telah ditempah oleh kedutaan Argentina dan Jerman bagi memberi peluang kepada rakyat Argentina dan Jerman yang kecewa untuk melempiaskan dendam dengan  memburu sotong dalam Pesta Mencandat Sotong yang telah dianjurkan oleh Kerajaan Terengganu.

Pengerusi Kelab Pondan Sedunia juga telah mengeluarkan amaran peringkat merah dan meminta semua ahli2nya berkurung dirumah. Ini dibimbangi akan berlaku salah faham dengan penyokong-penyokong bolasepak Jerman dan Argentina memandangkan juga tiada jaminan dari pihak polis akan ancaman yang bakal diterima. Namun demikian ahli-ahli kelab tidak perlu bimbang akan keselamatan 'Paul' yang kini sedang berada dalam pengawasan yang maksimun dari pasukan keselamatan.

Di Malaysia, Paul telah meramalkan Kelantan akan memenangi perlawanan dalam Liga Super pada malam ini dengan menwaskan Selangor.....  hehehehe

*Moral of the story : jangan percaya benda-benda karut macam ni....

Friday, July 2, 2010

Jadual...

Memulakan langkah pertama rupanya tidaklah sulit berbanding meneruskan langkah seterusnya. Nampaknya rutin harian perlu diubah, perlu lebih fokus dan jelas akan matlamat... Apakah perlu wujudkan jadual sebagaimana saranan Pn.Nisah & Tn. Zakaria Sungib? Mungkin itulah petua bagi mereka yang telah berjaya... mengapa tidak jika ianya dapat merealisasikan impian...

Sunday, June 20, 2010

2003 - 2006

Mengenal Bahrudin Bekri hanyalah melalui karya-karyanya. Bertentang mata pun hanya sekali,  itupun semata-mata inginkan autograf ketika Pesta Buku yang lepas. Karya beliau seperti Dunia Ini Sederhana Kecil, Di Mana Terangnya Bulan, Kita Hanya Di Seberang jalan dan Diari Mat Despatch ternyata tidak mengecewakan.

Santai dan melucukan tetapi bukanlah kosong semata-mata... Penuh dengan warna-warna kehidupan dan falsafah...

Apa kaitan Bahruddin Bekri dengan tajuk entri di atas? Sebelum ini aku dengan En Bahruddin memang tiada kaitan langsung... apatah lagi jadi saudara dia... Kaitan En Baharuddin  dengan aku wujud bila  aku memiliki novel Dunia ini Sederhana Kecil, Kita Hanya Di Seberang Jalan dan Diari Mat Despatch (penulis + pembaca) hehehe

Ketiga-tiga novel ini menceritakan tentang seorang graduan yang bergelut dalam mencari pekerjaan tetap dan dalam masa yang sama menempuhi kehidupan yang sering KITA lihat dalam dunia realiti...
Dan ketiga-tiga novel ini mengembalikan nostalgia aku pada satu tempoh masa bermula tahun  2003 - 2006 ketika mana baru bergelar graduan dan menyertai graduan lain memburu pekerjaan...

Mengembalikan kenangan pahit dan manis aku ketika memburu pekerjaan. Terpaksa menipu semasa temuduga kerja  'Pak Guard' di K4 Mid valley hehe, Tak dapat gaji semasa jadi promoter biskut tiger kat Jalan Klang Lama, buat part time jadi 'pak guard' di Taman Bunga Raya K.L (malam2 pegi tido jer) hehe dan jadi ejen insurans satu pekerjaan yang memerlukan semangat...

Apa yang nyata,  novel-novel ini telah menyuntik falsafah kehidupan untuk aku.....

Sinopsis belakang buku: Dunia Ini Sederhana Kecil
Kata perempuan berlesung pipit, "Cinta itu umpama menunggu bas. Kita perlu memilih bas yang tepat pada masa yang sesuai. Sekiranya tidak, kita tidak akan selesa meneruskan perjalanan kita. Sebab itu saya masih menggunakan kereta."
Kata Riduan pula, "aku cakap dengan kopi di dalam gelas aku. orang bukan tidak sayang, cuma orang tidak nampak dan lupa."
Kata ibu, "Hidup manusia ini seperti roda. Kadangkala di atas kadangkala di bawah. Tidak penting kamu berada di atas ataupun di bawah, yang penting kamu sebenarnya bergolek di mana? Sama ada jalanan itu berlumpur, berduri ataupun kamu bergolek di padang-padang rumput yang indah."
Lelaki gempal kata, "Hidup manusia juga seperti tingkap. aAabila tingkap itu ditutup, maka manusia tidak dapat hidup kerana tiada ruang dan peluang."
Kata lelaki muka berminyak pula, "Pelangi, warnanya bukan hanya hitam dan putih. Begitu juga dengan hidup."


Jumpa Lagi...


*** Hidup Ini Indah***

Tuesday, May 25, 2010

BILA LAGI ?

Ketika di Lapangan Terbang Sultan Yahya Petra, Kelantan sempat juga membelek majalah mingguan malaysia sebelum berlepas...
 
Mata tertumpu pada satu cerpen kreatif karya seorang kenalan yang sama-sama mengikuti kursus di bawah anjuran AVA... pelbagai perasaan mula mengocak jiwa, iri hati kerana beliau banyak menghasilkan karya, malu kerana tiada lagi hasil tangan yang berjaya dihasilkan dan tertanya-tanya kenapa orang yang paling sibuk pun sempat menghasilkan karya.

Hmmm...apakah perlu aku BERHIBERNASI seperti SF sebagaimana yang diwar-warkan dalam FBnya?


Atau.... terus mencari ruang dan peluang.... semoga dipermudahkan....

Wednesday, May 5, 2010

KITA TERLALU BERDRAMA...(luahan emosi yang terpendam)

Apabila polis menembak mati seorang budak yang melarikan dari sekatan polis pada jam 2 pagi yang memandu dalam keadaan mencurigakan dan laju semua kecoh bagai nak rak... NGO-NGO, Ahli Politik (Drama King Banyak) dan ramai lagi mula ambil kesempatan dan menunjukkan muka MANUSIAnya....

Tapi, bila polis yang kena rempuh dengan mat rempit, ada NGO-NGO dan Ahli Politik yang tampil menghulurkan simpati? Semuanya hanya mengambil kesempatan...Ada yang menawarkan khidmat guaman percuma? Mana pergi Ketua-ketua pemuda parti?

Teryata orang-orang  kita terlalu BERDRAMA....

Anggota polis pun MANUSIA juga... sama seperti kita... pastinya akan mempertahankan diri apabila nyawa terancam...

Mengambil iktibar kepada kejadian yang telah berlaku ini,  ianya berbalik kepada ibu bapa juga. Berapa ramai ibu bapa yang tahu dimana anaknya berada? Apa yang sedang dilakukan? Dengan siapa mereka berkawan?

Polis hanya menjalankan tugas.. pastinya polis akan menyiasat jika ada sesuatu yang mencurigakan semasa meronda... Tidak nampakkah kita akan pengorbanan yang diberikan? Kerana perkara yang berlaku ini, seolah-olah polis ini tidak baik.... malang sungguh nasib PDRM...

Jika ibu bapa perihatin dengan anak2nya pasti mereka tahu dimana, apa dan dengan siapa anaknya berkawan...

Terlalu banyak contoh yang berada di depan mata kita... Mat & Minah Rempit tiada ibu bapakah ? Dan jika ada mana peranan yang dimainkan oleh ibu bapa? Mengapa golongan ini masih berada di atas jalanraya menunggang bagai lembu mabuk todi?

Extra Time : Menyakitkan hati bila ada budak-budak main terup kat tepi longkang rumah & memekik tak tentu hala... aku nak tidur pun susah.... tapi mak bapak diorang x marah pulak.... heran aku....

Jumpa lagi........

Wednesday, April 28, 2010

Mesin Masa

Kenapa aku guna tajuk entri Mesin Masa kali ini? Sebabnya mudah, sekeping gambar telah membawa aku kembali ke zaman ketika di sekolah rendah. Jadi supaya nampak macam cerita hollywood, aku anggap gambar sebagai mesin masa bukannya kereta seperti filem Back To The Future.  hehee

Sekeping gambar yang  dimuat naik oleh seorang sahabat lama dalam FB telah menarik perhatian. Fuhh... tidak pernah aku sedari akan kewujudan gambar yang pernah diambil ketika aku berumur 9 tahun. Foto yang dimuat naik adalah gambar semua murid darjah dua pada tahun 1987 ketika di Sek. Keb. Kg. Chengal (SKKC) dan diantara wajah-wajah suci ketika itu terselit wajah cute aku ketika sekolah rendah dulu.

Foto ini nyata memberi kesan yang mendalam pada diri, bagaikan menyusuri terowong masa kembali semula ketika bersama rakan-rakan di SKKC. Begitu banyak kenangan dengan rakan-rakan ketika zaman persekolahan. Antara aktiviti-aktiviti sihat @ tidak sihat yang pernah dilalui dengan rakan-rakan seperti :

1. Tangkap ikan sepilar @ ikan karing padang.
2. Main tudung botol
3. Lastik burung, kadang-kadang kambing & lembu jadi mangsa (kambing dan lembu jadi papan target untuk praktis)
4. Mandi sungai, lebih-lebih lagi musim bah... air banyak baru best berenang. (kadang-kadang mandi & cari etak di ampangan ketereh).
5. Race basikal... dulu rempit dah ada tapi tak glamour hehe
6. Main bola kaki 3
7. Polis sentri...
8. Ronda-ronda kat Pekan Ketereh... (tak pernah bagi tahu mak aku hehehe)
9. Laga buah getah...

Paling aku suka bila singgah kedai Mat Nor (kedai ni masih ada lagi) yang terletak betul2 depan pintu pagar sekolah, aku dapat beli Ding Dang @ Tora. Masa tu harga hanya 50 sen sahaja dan seingat aku mainan yang last aku dapat adalah kapal selam. Teringat juga gula-gula Combat (pasal pembalutnya gambar askar WWII) cuma 5 sen satu, entah ada lagi atau tidak gula-gula ni....

Aku no. 7 dari kanan

 
Kini 23 tahun telah berlaku, alhamdulillah masih ada kesempatan untuk bertemu dan bertanya khabar dengan sahabat-sahabat ketika di SKKC walaupun tidak semua. Juga Al-fatihah buat sahabat Rosli Bin Said yang telah kembali ke rahmatullah beberapa tahun yang lepas.

Satu perjalanan : SKKC 1986 - 1991 (satu kenangan yang tidak akan pernah mati)

Jumpa lagi...




Sunday, April 11, 2010

BENGKEL PENULISAN CERPEN (AVA)



Saat Ini Palestin

Saat ini
Awan putih dilintangi
Garis-garis pelangi
Menghiasi Khatulistiwa


Saat Ini
Awan putih dinodai
Butir-butir besi
Zionis rakus membadai Gaza


Saat ini
Kita lena diselimut mimpi
Mereka berjuang mencari mimpi
Damai sebuah merdeka


Saat ini
Mereka belum mengerti
Antara mimpi dan realiti
Dunia sering melupakan mereka.....


m@tmin
Villa Bestari Sg. pusu
20 Sept 2011



















Friday, April 9, 2010

The Blind Side

Entah kenapa aku tertarik untuk membeli DVD cerita The Blind Side... namun 2 bulan lamanya  aku peram dan baru 3 hari lepas berkesempatan menonton filem ini.... 5 bintang diberikan pada cerita ni.... memang berbaloi...

Berdasarkan kepada kisah benar, pengarahnya John Lee Hancock berjaya mewujudkan satu jalan cerita yang menarik dan berkesan. Lakonan mantap juga telah ditunjukkan dari Sandra Bullock dan Quinton Aaron. Filem ini boleh dikatakan sebuah filem motivasi yang penuh dengan elemen kekeluargaan dan kasih sayang. Rasanya pandangan yang dilontarkan oleh Faisal Tehrani sudah cukup menggambarkan bahawa filem ini benar2 bagus. (Pandangan Beliau).


 Kisah beliau menjadi tontonan seluruh dunia, kasih sayang tanpa membezakan warna kulit....

Kadang-kadang diri tertanya-tanya kenapa "filem kita" tidak mampu menghasilkan filem yang sebegini... Adakah pemikiran karyawan kita hanya setakat berlingkar dengan dunia hantu, rempit, drift, cinta (yang ntah apa2) dan hanya berlatarkan kepada hiburan semata2... malang sungguh...

Seingat aku, filem melayu terakhir yang paling aku teruja nak  menonton adalah Leftenan Adnan dan hanya 2  @ 3 filem lain yang berbentuk komedi sekadar melepaskan tekanan kerja... Bilakah filem-filem melayu yang baik dan bermutu akan menjadi tontonan kita?

Kita mempunyai ramai penulis-penulis yang berbakat dan mempunyai banyak karya yang bermutu, mengapa tidak mengetengahkan novel-novel mereka ini dalam bentuk filem? Negara kita juga tidak kurang dengan pahlawan-pahlawan zaman dahulukala, kenapa malu mengetengahkan watak2 mereka ini dalam filem...?
Kenapa  tidak mengetengahkan kisah benar tokoh2 besar negara kita yang telah berjaya dalam pelbagai bidang dalam menyuntik motivasi kepada remaja2 kita hari ini?

Keadaan ini seolah-olah membenarkan tanggapan masyarakat luar bahawa rakyat Malaysia hanya tahu menikmati hiburan kosong semata-mata. Apakah ini "The Blind Side" yang tidak dapat dilihat oleh karyawan2 dan penerbit kita dalam membuat filem?

Jumpa lagi..........

Tuesday, April 6, 2010

Bila Remaja Kita Memilih....

Pernah tak anda berada di dua persimpangan dimana anda tidak tahu simpang mana yang harus dipilih ?
Pastinya pernah, jika tidak anda pastinya bukan benda hidup kerana kelangsungan hidup diteruskan dengan pilihan...

Namun malangnya ramai antara kita membuat pilihan hanya berpandukan hati dan nafsu semata2, jarang sekali menggunakan akal fikiran sebagai pertimbangan....

Kisah adik  HALIMATON sebagai contohnya, seorang Pelajar Cemerlang PMR dan mempunyai harapan yang cerah untuk berjaya dalam pelajaran... namun malangnya gadis berusia 15 tahun ini memilih untuk melarikan diri dari rumah dan memutuskan untuk berkahwin dengan seorang pemuda.

Malang sungguh, kerana kasih kepada Mohamad Noor keluarga sangup disingkirkan. Terlalu cetek pemikiran si gadis ini... pada umur yang sepatutnya berada di medan pelajaran si gadis ini telah memilih untuk menyandang gelaran sebagai seorang isteri. Apakah pilihan gadis ini adalah tepat ? Hanya masa dapat menetukannya....

Jauh disudut hati aku, gadis ini telah membuat pilihan yang salah. Entah sedar atau tidak, tanggungjawab dalam rumahtangga adalah sesuatu yang berat dan bukan boleh dipandang ringan. Ianya perlu pada kematangan dan tolak ansur.

Pernah tersiar satu artikel menyatakan kebanyakkan kes perceraian yang berlaku di negara kita pada hari ini adalah dikalangan golongan muda. Antara faktor2nya adalah disebabkan kurangnya persediaan mental dan fizikal hidup bekerluarga. Lebih2 lagi, dalam usia remaja hanya keseronokkan yang mewarnai kehidupan.

Entahlah......... (abis modal)

Jumpa lagi....

Friday, March 19, 2010

KISAH KLASIK UNTUK MASA DEPAN

Jumaat lepas berkesempatan berbicara dengan teman-teman tentang kehidupan, kekeluargaan, rumahtangga dan kenangan lalu, banyak memberi pengertian yang mendalam dan penuh makna. Kesempatan berkongsi cerita ini diambil dalam melenyapkan sedikit sebanyak tekanan kerja yang tidak pernah lelah singgah untuk ditangani.

Penuh dengan gelak tawa tatkala berkongsi cerita tentang rumahtangga, kekeluargaan dan kenangan lalu.  Bila berbicara tentang kenangan lalu, kepahitan dan  kemanisanya asyik menjenggah sukma. Kenangan pahit pastinya pedih untuk dikenang, namun pengalaman yang pahit inilah juga yang mematangkan seseorang. Kenangan manis pastinya dikenang dengan dengan harapan ianya akan berulang lagi.

Berkata seorang teman, seteruk mana pengalaman buruk yang pernah dihadapi, kita seharusnya sedar  masih ada insan yang lebih malang dan mengalami pengalaman yang tak terduga. Pengalaman pahit inilah juga yang akan dijadikan pedoman dalam menempuh hari2 mendatang. Pendek kata bukan kita sahaja pernah menghadapi babak2 paling buruk, tetapi juga insan sekeliling kita yang mungkin lebih malang dari kita... tapi jangan lupa sinar pasti menanti bila tiba masanya.

Meminjan kata2 George Clooney kepada satu watak pekerja yang bakal  dibuang kerja dalam filem " UP IN THE AIR" yang telah diterjemahkan lebih kurang macam ni berbunyi " setiap orang yang berjaya dan menakluk dunia pernah berada sebagaimana kamu berada sekarang". Memang best cerita ni tapi ada babak2 perlu dipercepatkan kerana 18SX.....daaaa

  Aku suka berkongsi kisah2 sebegini kerana pengalamanlah yang mengajar kita erti kematangan, erti kehidupan dan makna sebuah perjuangan. Cerita duka dan cerita kejayaan bukanlah untuk meraih simpati dan menunjuk-nunjuk bagi aku tapi lebih kepada berkongsi cerita. Ya cerita tentang kita semua dalam dunia yang penuh pancaroba sebagai tatapan dan pedoman dihari-hari mendatan. Itulah Kisah Klasik Untuk Masa  Depan.........

Thursday, March 11, 2010

BERJAYA SELEPAS GAGAL

Dalam perjalanan ke pejabat pagi ini, diri tertarik pada satu topik yang dibincangkan di Hot FM iaitu "Berjaya Selepas Gagal"... topik ini begitu menarik lantas membawa diri mengimbau kenangan-kenangan lama tatkala berjuang untuk mendapatkan apa yang dimiliki pada hari ini.....

Siapa yang tidak pernah gagal? Pastinya kepahitan kegagalan pernah dirasai oleh semua. samada kegagalan dalam pelajaran, bercinta, rumahtangga, kerjaya dan bermacam lagi kegagalan yang selalu singgah mengguris jiwa. Gagal bermakna kita akan merasa kecewa, resah, kehilangan, rendah diri seolah-olah dunia sudah berakhir.

Namun apa yang ingin diketengahkan bukanlan kegagalan tetapi bagaimana kita bangkit selepas gagal?
Seperti kata seorang teman "Orang yang cemerlang bukanlah kerana dia tidak pernah mengalami kegagalan tetapi disebabkan dia dapat berdiri lebih teguh selepas kegagalan".
Maknanya kegagalan yang dihadapi tidak seharusnya kita terus berputus asa dan menyerah tanpa berbuat apa-apa. Jika berlaku sedemikian itu adalah kegagalan yang paling besar.

Jika putus asa dan menyerah adalah jawapan kepada kegagalan yang dihadapi pastinya manusia seperti Thomas Edison, Tun Mahathir, Syed Mokhtar Al-Bukhari dan ramai lagi manusia yang pernah gagal sebelum mengecap kejayaan tidak akan wujud.

Teringat kisah kegagalan seorang teman yang boleh dianggapkan sebagai AKU,

1. Putus cinta sebanyak 5 kali, kini sudah mempunyai seorang isteri dan rumahtangga yang bahagia.
2. Pernah gagal dalam  peperiksaan bagi memasuki perkhidmatan awam sebanyak 11 kali, kini bergelar pegawai kerajaan.
3. Gagal memasuki Akademi Tentera tetapi berjaya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Askar Wataniah semasa di universiti.
4. Kecewa atas perpisahan ibu bapa yang terjadi, kini gembira dapat berbakti kepada kedua ibu bapa walaupun masih berpisah.
5. Tidak cemerlang dalam SPM tapi cemerlang dalam STPM.

Persoalannya  JIKA KITA BERPUTUS ASA DAN MENYERAH KALAH ADAKAH SEMUA INI MAMPU DIMILIKI?

Sahabat-sahabat semua tahu jawapannya.

Meminjan kata-kata Kartunis Tembakau dalam komik beliau KARTINI, " Tidak Akan Kamu Berasa Gundah Walau Sekali Jika Kamu Tahu Apa Yang Dicari".
Maksudnya jika anda tahu matlamat dan hala tuju anda, maka kegagalan bukanlah penghalang dalam mengecap kemanisan sebuah kejayaan.

Jumpa lagi...........

Sunday, March 7, 2010

KEMANA HILANGNYA KEMANUSIAAN?

Satu lagi nyawa yang tidak berdosa menjadi mangsa.... inilah padahnya apabila tunduk pada nafsu.... (Mingguan Malaysia 7 Mac 2010, halaman 3) mayat bayi baru lahir ditemui dalam longkang di Kuching..

Peristiwa ini seolah-olah mengiakan bahawa negara sedang mengalami keruntuhan institusi kekeluargaan yang amat DAHSYAT...  Apa tidaknya, satu demi satu mayat bayi dijumpai terbuang dari lubang longkang hinggalah tong sampah... 

Terdetik dalam hati bahawa manusia-manusia yang melakukan perkara terkutuk ini  ternyata sudah tiada naluri kemanusiaan, malahan naluri KEBINATANGAN juga tiada dalam diri. Adakah mereka ini hanya layak diletak setaraf dengan Syaitan & Iblis ? Mengapa tidak, sedangkan binatang pun sayang pada anaknya. Mungkin foto yang sempat dirakamkan ketika di Pulau Dayang Bunting, Langkawi  dapat menjelaskan apa yang dimaksudkan.

 

Masih tergiang-giang bait-bait lagu XPDC yang memberi seribu makna.... semoga memberi pengertian dalam diri....

Mana Hilang Kasih Sayang
Diberikan Tuhan Pada Kita Insan
Hingga Kita Biar Saja Hujan Airmata
Yang Melimpah 

Jumpa lagi.........

Tuesday, March 2, 2010

GAGAH DAN SETIA (ULANGTAHUN KE-77 TENTERA DARAT MALAYSIA)

1 Mac 2010.... Hari istimewa untuk aku dan Tentera Darat Malaysia.... mungkin disebabkan persamaan ini minat aku dalam tentera begitu kuat... walaupun tidak berjaya menjadikan tentera sebagai karier, mungkin rezeki aku hanya setakat menjadi pegawai sukarela dalam Askar Wataniah (AW)...... apa pun hanya ALLAH yang lebih tahu.

"Buat semua warga Tentera Darat Malaysia (TDM), Selamat Menyambut Ulangtahun ke-77 Penubuhan TDM"

Kadang-kadang perasaan sayu singgah diminda, kenapa mat-mat rempit sanggup mengadaikan nyawa semata-mata keseronokan yang sementara. Kenapa tidak keberanian ini disalurkan dengan menyarung seragam hijau dan berbakti kepada negara. Bukankah mati ketika berjuang mempertahankan negara lebih mulia?

Apakah semangat kental Hang Tuah Lima Bersaudara telah hilang dalam generasi kini? Jejak yang telah ditinggalkan oleh Lt. Adnan sepatutnya diteruskan oleh kita semua, tapi berapa ramai yang menyahutnya.... Generasi kini lebih berminat menyahut cabaran dalam dunia hiburan yang menawarkan seribu kepalsuan.

Pasukan AW masih memerlukan ramai sukarelawan untuk berkhidmat dalam pelbagai unit, tapi malangnya mendapat sambutan dingin dari sebahagian remaja kita.. Malang sungguh Malaysia kerana memiliki anak-anak muda yang mempunyai semangat patriotik senipis kulit bawang, hanya tahu berebut-rebut menjadi artis, dan merempit di jalanan.....

Dititipkan lirik lagu Di Medan Ini semoga kemerdekaan yang dinikmati ini akan kekal diwarisi........

Di Medan ini Zahirku Layu

Jasad Kaku Dibelenggu
Jalur NaDi Masih Kukuh
Janji Setia Tidak Luntur

Di Medan ini Bakti Disandang
Korbanku Untuk Maruah
Teguhkan Azam Nusa
Agar Generasiku Terbela

Jejakku Tinggalkan
Untuk Kau Teruskan
Bangkitkanku Dalam Perjuanganmu
Mencantas Noda
Bara Semangatku
Bara Semangatmu
Merintis Cinta

Di Medan ini Gemilang Persada
Hamparkan Jati Diri
Gemparkan Pada Mereka
Kita Mampu Teguhkan
Lambang Merdeka

Laungkan Semboyan
Seru Gempur Perwira
Walau Gugur Kubasahkan Darah
Dengan Ikhlas
Sumpah Hidup Wira Bangsa

Juangkan Cita
Bebaskan Nusa


Jumpa Lagi.........

Tuesday, February 23, 2010

WARKAH TERAKHIR.....

 

Rasa penat dan mengantuk hilang tiba-tiba sebaik sahaja bola mata tertumpu pada skrin TV, rupa2nya Atsro Prima menyiarkan episod akhir  Drama Warkah Terakhir. Sebuah kisah tentang seorang perwira yang berjuang demi kebebasan Negeri Sarawak dari penjajahan inggeris.
Nama-nama seperti Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Mat Kilau dan Rentap adalah antara nama yang mungkin sudah biasa bermain di minda anak-anak kita sebagai sebahagian dari pejuang dan wira negara. Namun masih ramai antara generasi kita yang mungkin tidak pernah tahu atau lupa tentang seorang lagi pejuang yang mengorbankan jiwanya demi cinta pada tanah airnya iaitu Rosli Dhobi

Untuk mengetahui sejarah ringkas berkenaan beliau, sahabat-sahabat bolehlah berkunjung ke web dan blog berikut :  1, 2, 3, 4

Apa yang ingin dititipkan disini adalah  berapa ramai dikalangan kita generasi pasca merdeka yang memiliki jiwa seperti Rosli Dhobi? Dalam usia yang muda beliau menyerahkan jiwa dan raga kepada agama bangsa dan negara. Beliau dihukum gantung ketika berumur 18 tahun oleh penjajah demi kemerdekaan tanah airnya yang tercinta.

Sama-samalah kita mengambil iktibar dan menanam semangat yang pernah dimiliki beliau  dalam diri masing-masing. Cuba bandingkan remaja-remaja kita masa kini. Terlalu ramai yang hanyut dalam dunia  budaya kuning yang dijaja oleh barat. Sedangkan nenek moyang kita sejak dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka sanggup menumpahkan darah semata-mata menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan.

Berapa ramai pemuda-pemuda kita yang mati katak dijalanan kerana merempit? Berapa ramai yang terkorban dihujung jarum dadah dan ganja? Beramai ramai menjadi mangsa ubat batuk dan ectasy? Berapa ramai yang hanyut dan karam dalam pelukan gadis Indon, Vietnam dan China? Lebih menyedihkan lagi ada antara kita yang rela menggantung diri semata-mata kerana kecewa putus cinta?  Bukankah lebih bagus jika ramai remaja kita sanggup mati demi agama bangsa dan negara?

Ternyata semangat keperwiraan yang dimiliki generasi terdahulu gagal dihayati dan warisi oleh generasi masa kini.

Dititipkan petikan  warkah terakhir Rosli Dhobi sebagai renungan bersama yang dipetik dari KLIK SINI.

“Dengan secharek kertas ini dan se‑putung pensil untuk renungan sepanjang masa. Saya si‑penulis Rosli Dhobi dalam lindungan Permai. Saudara2 dan saudari2 sa‑perjuangan, saya ta’ lama lagi akan meninggalkan jejak tanah tumpah darahku yang ku chintai, dan utama sekali ayah bunda yang ku kasehi dan saudara2 semua, dengan nama Allah sifat pemurah dan pengampun saya menyusun 10 jari mohon ampun dan maaf atas kesalahan saya yang telah terjadi selama ini, saya sanggup berkorban nyawa untuk memperbaiki ra’ayat yang telah di‑ budaki oleh penjajah, saya mengaku dan terima apa2 kesalahan di dunia ini saya ta’gentar saya ta’ takut mati, saya terima hukuman yang telah di-jatohkan di‑mahkamah.
Saya berdoa kepada Allah s. w. t. Saudara2 saudari2 di‑akhir kelak balek ke‑pengkuan Ibu‑pertiwi. Sungguh begitu saya sudah sanggup menghapuskan orang putih yang berasin dan datang‑nya tetapi saya sudah tidak ada di dunia ini nama saya tetap harum seluroh Dunia sa‑genap plusuk. Akhir kata, hey! Saudara2 Saudari2 sekalian berjuanglah jangan mundur majulah ka-hadapan.
Amin ya rabbul alamin berkat doa laillaha illahi Muhammadar rasululah. Dan saya uchapkan jutaan terima kasih kepada saudara Pa’ S.  Allah sahajalah yang akan membalas budi jasa‑nya dengan penuh layanan, nasihat yang belom pernah di‑dengar oleh saya dari awal hingga akhir.

Harapan ini, surat jangan sekali di‑beri sesiapa pun. Simpan baik‑bai,k barangkali di‑lain masa ada guna‑nya.

Ditulis pada 1‑3‑1950

Saya yang akan meninggalkan endah ini,
R.D.

Juga petikan sajak yang pernah ditulis oleh beliau :

Panggilan-Mu yang Suci

Wahai pemuda harapan bangsa
Segeralah bangun membuatkan jasa
Kebangunanmu menyedarkan Melayu bangsa
Kehalusan kemajuan aman sentosa

Wahai pemuda bercita suci
Kekalkan Sarawak negara kita yang asli
Meskipun bagaimana ancaman terjadi
Hendaklah sehidup semati

Mengibarkan bendera menggambarkan hati
Menunjukkan rupa bangsa dan negeri
Mengenangkan hak di tanah air sendiri

Wahai pemuda yang bersemangatkan gelisah
Insaflah pada perjuangan bangsa
Lambat-bangat ditakzir Allah
Bangsa dan tanah air tetap merdeka
Nota: Petikan sajak ini telah ditulis oleh Rosli Dhobi dengan menggunakan nama samaran Lidros.

 Semoga semangat keperwiraan yang pernah dimiliki oleh generasi terdahulu terus subur dan mekar dalam diri kita bangsa Melayu dalam mempertahankan Agama, Bangsa Dan Negara. INSYAALLAH.




jumpa lagi......



Saturday, February 20, 2010

Bas Dan Cinta

Bas dan Cinta.... apa kaitannya? Sebenarnya hanyalah analogi yang telah digunakan bagi menceritakan manusia dan cinta....

7 tahun lalu, semasa di UM,  analogi  bas dan cinta ini pernah aku gunakan pada seorang teman. Ketika itu dia adalah bas pertama dan aku adalah penumpang. Malangnya aku tidak naik dikala bas pertama  itu berhenti...aku terus menunggu bas yang lain... dengan harapan bas yang  kedua yang lebih baik akan berhenti.... malangnya tidak... apabila bas yang pertama kembali lagi bas berkenaan telah penuh dan tiada tempat untuk aku.... bas pertama terus berlalu.....

Pada hari Jumaat lepas (19 Feb 2010),  semasa meninjau sebuah kedai buku di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar, terjumpa sebuah buku yang menarik iaitu Dunia Ini Sederhana Kecil karya Baharuddin Bekri (terbitan PTS One Sdn. Bhd tahun 2008).... aku tertarik dengan buku ini apabila analogi bas yang digunakan bagi menggambarkan manusia dengan cinta... ternyata berbaloi membayar RM 23.90 untuk buku ini.... Isteri aku pelik sebab selalunya aku akan ketawa  seorang diri bila membaca komik tetapi bila baca novel ni pun aku boleh bantai gelak.... novel ini penuh falsafah, santai dan   tidak terlalu berat bagi otak...

Inilah analogi yang digunakan oleh penulis dalam novel ini :

" Bas ini umpama cinta yang kita tunggu. kadangkala ada cinta yang hadir, namun kerana merasakan ia tidak sesuai dengan diri kita, kita membiarnya terus berlalu. kemudian datang pula cinta yang kita rasa sesuai dengan hati kita . Sayangnya cinta itu telah berpunya. kita hanya mampu melihat ia pergi".....

Gambar : Bas mini yang menjadi penghubung antara Jajahan Bachok dan Kota Bharu (15 Feb 2010). Gambar ini diambil ketika ini bas sedang menunggu penumpang di Stesen Bas Bachok.

Apa yang pasti 7 tahun telah  berlalu  dan  kini aku sudah berada di dalam bas yang betul dan destinasi yang jelas untuk ditujui.....

Jumpa Lagi..........

Friday, February 12, 2010

Serabut + Haru + Celaru + Kusut + Pening + Binggung = MALAS Nak Buat Kerja

Tajuk diatas bukanlah satu teori baru yang cuba diperkenalkan, cuma baris-baris perkataan untuk menggambarkan keadaan  dalam otak aku  yang  lantas mencetuskan neuron-neuron MALAS dalam diri.
Cuba menggambarkan kenapa seminggu dua kurang bersemangat, dan terasa hilang keseronokan melaksanakan tugas.


Aku bukanlah pemerhati mahupun pengulas yang baik, apa yang dapat disimpulkan adalah nakhoda kapal semakin hilang punca, ramai yang  nak menjadi WIRA. Ditambah tambah pula  watak-watak yang baling batu sembunyi tangan dan ada juga yang lepas tangan..Tapi bila bercakap..fuhhhhhhh memang hebat...ishhhhhhhh tak larat nak layan......

Jom Layan : Semangat Perjuangan Harmoni (XPDC)

Sememangnya aku rindukan

Kedamaian ini kekal
Menempuh hari-hari lalu
Dengan satu belaian
Kasih sayang dijunjung di kepala
Mengatasi segala yang dijuang


Sebenarnya hidup disini
Arahnya berlainan
Menunggu giliran tiba
Entah bilakah masanya
Selagi nafas terlekat di rongga
Selagi langkah terus diperjalanan

Manusia punya hakikat
Punya akal dan fikiran
Melebihi kejadian ciptaan Yang Maha Esa
Kejujuran pada diri sendiri
Untuk apa dipersembahkan kepada


Mereka yang tak punya perasaan
Kita ada nilai tersendiri
Biarkan mereka yang tersasul
Berkata ego menepuk dada


Semangat disimpan selagi ada
Kesempatan hidup bersama
Apalah ada pada keindahan
Jika jiwa kita meronta-ronta

Mereka yang tak punya perasaan
Kita ada nilai tersendiri
Biarkan mereka yang tersasul
Berkata ego menepuk dada
Biarkan mereka yang tersasul
Berkata ego menepuk dada


Semangat disimpan selagi ada
Kesempatan hidup bersama
Apalah ada pada keindahan
Jika jiwa kita meronta-meronta
Apalah ada pada keindahan
Jika jiwa kita meronta-meronta
 
 
Jumpa lagi.....
 
17.55 pm.
PUTRAJAYA

Tuesday, February 2, 2010

Ish..ish..ish..ishhhhhh (Gelengkan Kepala)


Ish...Ish...Ishhhhh................                                              


1. Nampaknya Si Kitul, Raja Mendeliar, Nina Chatu dan Utimutraraja di zaman kejatuhan Kota Melaka  muncul kembali , tapi kini versi moden. Sudah ada yang cuba belot dan membuka pintu kota untuk musuh. Jika tidak macamana enjin jet boleh dijual?? Pasir kita juga telah diseludup ke negara jiran (masa aku ROTU dulu negara ni dipanggil Lanunland)?? ish...ish..ishhhhhh

2. Kecewa dengan artis kita... lebih sudu dari kuah....terlalu kebaratan...mat saleh pun tak macam tu.

Terlalu mudah kata2 ini dilafazkan....

"Saya belum bersedia untuk bertudung"

"Mengapa perlu saya bertudung sedangkan itu bukan saya"

"Saya selesa berpakaian seksi, lagipun keluarga saya menyokong saya"

ish..ish..ish....ishhhhhh

3. Seorang IBU mampu menjaga dan membesarkan 9 orang anak tetapi 9 orang anak belum tentu mampu menjaga IBUnya. Hakikat sebuah kehidupan....... ish..ish.... (menyingkap kisah yang berlaku 2, 3 minggu yang lepas....) Si Bapa yang menjadi mangsa........

4.Semakin ramai dikalangan kita yang hilang jati diri..... terpengaruh budaya luar, baik pakaian mahupun tingkah laku....Punk.. skinhead...rambut pacak... mak aku cakap golongan ini macam anok oghe tohok (dialek kelantan).... bila diterjemahkan dalam bahasa melayu rasmi macam anak yang mak ayah buang.... ish...ish...ishhhh

5. Ramai remaja perempuan kita bertudung tapi berbaju ketat, bertudung tapi skirt singkat, bertudung tapi seluar ketat dan berbaju tapi nampak pusat.

Ish..ish...ish...ishhhhhhh

YANG BAIK DIJADIKAN TELADAN , YANG BURUK DIJADIKAN SEMPADAN....


Jumpa lagi......


Friday, January 29, 2010

MENJENGAH JENDELA PENULISAN

Berbakat dalam penulisan ??? Tidak semua orang memiliki bakat dan kebolehan dalam bidang penulisan. Tapi ini tidak bermakna seseorang itu tidak boleh menulis. Bakat sebenarnya boleh diasah, kebolehan boleh digilap apatah lagi idea yang ada disekeliling kita terlalu banyak, cuma menunggu masa untuk dipetik. Itu pandangan yang cuba ditanam dalam diri ini.

Bidang penulisan samada novel, puisi/sajak dan cerpen merupakan bidang yang amat menarik lantas terdetik diminda untuk mencuba. Panduan penulisan saudara Faisal Tehrani dan NIMOIZ TY cuba dihadam, namun nyata belum cukup untuk dijadikan bekalan jika tidak berguru.  Beberapa kelab dan badan penulisan cuba dirisik, malangnya rasa rendah diri dan keyakinan yang goyah membantutkan hasrat. Kelab dan badan penulisan yang ada nyata dilihat terlalu tinggi lantas terlintas dihati bagaikan tidak mesra bagi mereka yang baru bertatih.

 AVA (Astaka Villa Aksara) mula menarik perhatian . Diri bagaikan senang dan selesa ketika melayari laman AVA di internet.  Kebanyakan pengunjung dan ahli  AVA adalah mereka yang baru dan masih belajar walaupun sudah ada antaranya yang telah berjaya menghasilkan novel dan cerpen. Matlamat AVA juga begitu menarik dan mendorong diri menyertai AVA. Tahniah urusetia AVA.

Peluang  mengikuti Bengkel Penulisan Novel 2 pada 3 Jan 2010 anjuran  AVA begitu berbaloi. Teguran dan tunjuk ajar yang diterima dari  Pn. Nisah Haron cukup menyedarkan diri bahawa menulis sebenarnya bukanlah sesuatu yang yang boleh dipandang ringan dan mudah. Ada cara dan tekniknya. Menulis juga adalah satu seni yang begitu indah dan menarik namun boleh menjadi rendah martabatnya apabila disalahguna.

Seorang teman bertanya, kenapa aku mahu menulis..... aku cakap, aku ada cerita untuk dikongsikan. Menulis novel, cerpen, puisi dan sajak adalah salah satu medium yang sesuai.....



Terima Kasih Bro SF & Bro Farid

p.s : Ini hanyalah pandangan peribadi semata-mata.

Jumpa lagi......

Tuesday, January 19, 2010

Mukadimah 2010

Assalamuaikum dan Salam sejahtera.....

Inilah catatan pertama untuk tahun  2010 yang dapat dikongsikan.  Tak sempat dan tiada idea mungkin boleh dijadikan alasan...Entah kenapa hari ni otak gagal berfungsi dengan baikkk. Tiba2 "Jem", Beku dan"Selok" dan macam-macam lagi.... sayang tak boleh dikongsikan kerana tertakluk dengan akta rahsia rasmi hehe.

Apabila melihat gambar-gambar lama, baru rasa cool sikit... dipaparkan untuk tatapan semua suasana indah di Pulau Pangkor yang sempat dirakamkan pada tahun 2007. Terlalu besar kekuasaan Allah S.W.T.





Teluk Skadas





Jumpa lagi....