Monday, December 31, 2012

HARI-HARI TERAKHIR TAHUN 2012...


Alhamdulillah, 2012 bakal tiba ke penghujung dan lembaran baru 2013 bakal menjelma. Seperti biasa, penghujung tahun bakal menjadi medan untuk umat manusia bermuhasabah diri dan menilai pencapaian sepanjang tahun 2012. Seperti biasa juga ramai yang akan menanam azam dan impian baru.

Banyak status fb dan blog yang saya baca mengulas tentang pencapaian sepanjang tahun serta mula menyenaraikan azam dan impian untuk tahun 2013.  Bagi saya, individu yang menanam azam dan impian adalah individu yang berjiwa besar. Saya tertarik dengan beberapa orang kenalan dan penulis blog yang  telah menyenaraikan azam dan impian untuk tahun 2013. Antara azam dan impian yang menarik bagi saya adalah Mencapai Kebebasan Kewangan. Beberapa bulan kebelakangan ini saya lebih tertarik meneroka blog-blog pelaburan hartanah dan kebanyakan mereka ini menetapkan sasaran untuk Mencapai Kebebasan Kewangan. Satu azam dan impian yang bagi saya bukan sesuatu yang mudah kerana ianya mungkin mengambil masa setahun atau mungkin juga bertahun-tahun.

Namun demikian ianya bukanlah sesuatu yang mustahil. Gantungkan apa sahaja azam dan impian walau setinggi gunung, kerana manusia yang tiada azam dan impian adalah manusia yang telah mati. Saya sering mengingatkan diri bahawa dalam merealisasikan azam dan impian, prinsip-prinsip berikut harus dipegang.

Perancangan yang rapi, Usaha, Disiplin, Ketabahan Hati, Semangat tinggi dan yang paling penting Memanjatkan Doa pada Allah. InsyaAllah akan dipermudah dan dimakbulkanNYA.

Sejujurnya banyak azam dan impian saya sepanjang tahun 2012 tidak tercapai. Banyak faktor yang mempengaruhinya dan ianya bukanlah sesuatu yang kekecewaan yang perlu dipendam di lubuk hati.  Untuk tahun 2013 saya cuba menyenaraikan azam dan impian yang saya cuba capai. Saya cukup keberatan untuk menyenaraikannya di sini. Cukup saya nyatakan yang saya ingin menjadi HambaNYA Yang Terbaik dan Insan Yang Terbaik untuk keluarga dan mereka disekeliling saya. InsyaAllah.....

2013... lembaran baru sebuah perjalanan.....

m@tmin
31.12.12





Thursday, December 27, 2012

Fotografi Potret - Sekeping Foto 1001 Cerita

Dalam bidang fotografi, Genre Potret adalah antara genre yang diminati oleh ramai jurufoto profesional mahupun amatur. Dengan peralatan kamera yang kamera yang sedia ada,  fotografi potret manusia menjadi pilihan saya. Fotografi potret pada saya mampu memaparkan seribu satu perasaan yang berbeza-beza. Samada foto itu dirakam secara spontan ataupun penggayaan model, seringkali foto yang dihasilkan memaparkan impak yang berbeza. 

Untuk memahami fotografi potret mungkin laman ini mampu memberikan sedikit kefahaman kepada rakan pembaca.


Berikut adalah foto potret yang sempat saya rakamkan menggunakan Kamera Olympus E520 & E-PL 1. 



" sekeping foto seribu satu cerita"

m@tmin
27.12.12





Saturday, December 15, 2012

RAJAGOPAL/FAM VS Lee Min Hu


Kata orang-orang tua :

"Kadang-kadang dalam hidup ini kita kena mengaku kesilapan yang telah kita buat. Dengan itu akan ada ruang untuk kita sentiasa memperbaiki diri. Bukan hanya mengalihkan kesilapan atau kegagalan itu kepada kesalahan orang lain". 

m@tmin
16.12.12



Friday, December 14, 2012

Morning Glory - Sisi Positif Di Tempat Kerja



Sejujurnya saya mengaku tahap kesihatan juga antara faktor yang boleh menjejaskan kehidupan seharian lebih-lebih lagi pada pekerjaan. Apabila dikhabarkan ujian darah perlu dilakukan kerana disyaki deman denggi, ianya bukanlah sesuatu yang cool. Alhamdulillah keputusannya negatif.

Dan pagi ini deman semakin pulih. Saya memilih untuk berehat dan menonton saluran HBO. Saya tertarik dengan sebuah filem arahan Roger Mitchell iaitu Morning Glory yang sedang ditayangkan. Para pelakonnya bukanlah pelakon yang terkenal kecuali Harisson Ford. Morning Glory adalah kisah seorang wanita bernama Becky Fuller yang mempunyai impian untuk menjadi penerbit di Syarikat Penerbitan Today. Memulakan langkah pertama sebagai penerbit di  IBS, dia bergelut dengan karenah kakitangan dan sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak atasan.

Cabaran demi cabaran yang diterima ternyata Becky Fuller tidak berputus asa. Dan usaha Becky Fuller ini berbaloi. Rancangan Daybreak membuat perubahan besar-besaran dan berhasil menarik ramai penonton sekurang-kurangnya 1.5 juta penonton yang disasarkan pengurusan atasan.

Filem ini membuka pandangan saya terhadap beberapa perkara positif yang boleh diterapkan dalam tempat kerja seharian.

1. Seorang ketua perlu sentiasa menjadi pendorong.
2. Menghargai individu di persekitaran kerja.
3. Perlu sentiasa berubah dengan idea-idea yang segar.
4. Mereka yang bermasalah perlu dikenalpasti dan diberikan suntikan semangat untuk berubah. 
5. Jika mereka yang bermasalah ini masih tidah berubah, buang barah ini dari ruang kerja. 
6. Suka dengan tugasan yang diamanahkan.
7. Menghargai detik-detik bersama dalam laksanakan tugasan.
8. Sentiasa berikan yang terbaik.
9. Sentiasa berusaha.

Banyak lagi sisi positif yang boleh dituliskan, namun cukup 9 perkara ini yang saya tidak nafikan ianya tidak semudah menulis disini berbanding melaksanakan. Ianya sesuatu yang memerlukan keberanian, kesungguhan, ketabahan dan keikhlasan. Tidak mustahil si kerdil yang lemah boleh bertukar menjadi gergasi yang gagah. Dengan memulakan langkah yang pertama biarlah masa yang membuktikannya.

 m@tmin
15.12.12






Monday, December 10, 2012

Palestin : Tentang Sorang Teman Bernama Mat Syeikh

Terpegun menatap foto seorang teman yang sekarang ini berada di Palestin bumi para anbiya. Rakan-rakan semasa persekolahan dahulu memanggilnya Mat Sheikh atau nama sebenar Syeikh Kyaider Shamzary dan anak kelahiran Danau Tok Uban ini secara sukarela menyertai rombongan Misi Kemanusiaan Solidariti Rakyat Palestin. Bekas Lt. Muda ROTU UTM tahun 2002 dan pernah menjadi rakan satu platun Kadet Polis MML 1995-1997. Semasa menyewa rumah bersama tahun 1997, Mat Syeikh  adalah tukang masak tidak rasmi kami.

Ramai yang mempertikaikan pemergian misi kemanusiaan ini dan tidak kurang juga yang mencemuh. Ramai yang mengatakan kumpulan ini hanya mencari publisiti.

Secara peribadi, saya berpendapat kehadiran mereka ini sekurang-kurangnya memberi SEMANGAT, MENGHILANGKAN RESAH AKIBAT TERPINGGIR dan MEMBERI KEYAKINAN PADA RAKYAT PALESTIN BAHAWA DUNIA MASIH BERSAMA MEREKA. Benar rombongan ini tidak membawa senjata dan turut menyertai pertempuran. Sedar atau tidak, jalan jihad bukan hanya satu. Tidak terhad dengan memikul senjata, dengan cara MENDOAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT PALESTIN dan MENGHULURKAN SUMBANGAN juga boleh dianggap jihad untuk menegakkan sebuah NEGARA ISLAM PALESTIN.

Tidak semua berpeluang menjejak kaki di bumi para anbiya ini untuk berjihad. Apa yang penting sokongan kepada rakyat Palestin adalah TANGGUNGJAWAB UMAT ISLAM SEMUA tidak kira bagaimana cara yang diambil....



Khaibar khaibar ya yahud jaisyu Muhammad saufa ya'ud.....

 m@tmin
 10.12.12

Wednesday, December 5, 2012

Permulaan Baru...

 Foto : Pulau Tioman Awal November 2012

Hanya keberanian yang diperlukan untuk mengorak langkah yang baru...
Meninggalkan jauh puing-puing kecewa....

m@tmin
 6.12.12




Friday, November 16, 2012

Damai yang dipinjamkan....

Apabila berada di kampung, saya sering duduk di atas tangga depan rumah sambil menikmati damai pagi yang tenang. Begitu puas lebih-lebih lagi ditemani Roti Kukus air tangan bonda yang tercinta. Terima kasih TUHAN kerana pinjamkan saat-saat yang mendamaikan ini biarpun hanya seketika.

 Suasana pagi yang meriah dengan titisan embun di ampaian.


m@tmin
17.11.2012

Monday, November 5, 2012

Tentang Cinta


"Cintakan bunga, bunga akan layu, Cintakan manusia, manusia akan pergi, CINTAKAN ILAHI, ITU YANG ABADI"


m@tmin
6.11.2012

Saturday, November 3, 2012

AIDILADHA 2012


Foto :  Suasana Kg. Lubuk Lesong, Bachok, Kelantan di pagi Aidiladha 2012

Masih terngiang-ngiang sebahagian daripada isi Khutbah Aidiladha 2012 yang telah dibacakan oleh Tuan Iman Surau Bator, semoga menjadi pedoman dalam sebuah perjalanan. Sekadar ingatan buat diri dan rakan-rakan.

"Jangan sesekali mengorbankan AKHIRAT kerana DUNIA"

m@tmin
3.11.2012


Saturday, October 20, 2012

Kelantan Juara Piala Malaysia 2012 (Treble 2012)

Kecekalan Cik Siti Wan Kembang
Ketabahan Puteri Saadong
Dan Keberanian Tok Janggut
Membalut jiwa Pahlawan Merah
Menjadi azimat sebuah perjuangan....

Malam ini...
Pahlawan Merah berdiri megah
Mendakap mimpi di siang hari.....

Tahniah TRW....
Gempur Wira ATM....

Foto : Dari FB
 
m@tmin
20/10/2012
 

Monday, October 15, 2012

Ulangtahun Ke-5

Foto dari blog ini

Semoga rahmat ALLAH sentiasa memayungi perjalanan kami, memancarkan cahaya buat  kami  saat melukis warna-warna pelangi dan melindungi kami  saat berhadapan  dengan gelora.

Perjalanan  masih jauh  dan semoga dipermudahkanNYA.  Selamat Ulangtahun Ke-5 Pn. Azlina.

m@tmin
15.10.2012

Tuesday, October 9, 2012

Monolog : Mencari Diri



Ada sesuatu yang sedang hilang,
Ada sesuatu yang aku lupa,
Ada sesuatu yang aku lalai,
Ada matlamat yang tersasar,
Ada bahagia yang semakin pudar,
Ada damai yang semakin lenyap,
Ada harapan yang semakin padam.....

Aneh...
Hanya kosong yang menjerut jiwa
Hanya kosong yang menawan minda...

Hanya Kosong......
 
Apakah aku telah jauh dari RahmatNYA...
Terlindung dari RedhaNYA....

Dan...
Selagi udara mengisi rongga
Aku sedar aku harus bangkit
Harus terus berlari
Harus terus mencari.......

m@tmin
10.10.12



Monday, October 8, 2012

Chef Ramsay : "you’ve got to start believing yourself more"

Selalunya tanggapan kita terhadap seseorang sukar untuk diubah, lebih-lebih lagi apabila berkait dengan sikap dan kelakuan buruk yang sukar untuk diterima. Jauh di sudut hati saya terbeban dengan  tanggapan buruk terhadap seseorang  sukar untuk diubah. Rupanya saya silap dan tanggapan itu boleh berubah tanpa di sangka-sangka.

Chef Ramsay. Siapa yang tidak mengenali chef ini yang menjadi tunjang dalam program Hell's Kitchen ini? Apabila di perkatakan tentang Chef ini ramai yang muak dengan sikap dan kelancangan mulut beliau. Chef Ramsay pada saya memang menjengkelkan dan teruk.


Namun, ia hanya memerlukan beberapa minit untuk saya  mengubah tanggapan buruk itu. Program Masterchef US Musim ke-3 menunjukkan satu sisi yang saya benar-benar kagum. Sewaktu cabaran penyingkiran, para peserta diminta untuk membuat sebiji pai epal yang terbaik. Dalam ramai-ramai peserta yang sedang bertanding itu, saya terperasan tentang salah seorang peserta peserta adalah buta. Beliau adalah Christine Ha yang cacat penglihatan namun mempunyai skil memasak yang terbaik.

Pada saat penilaian oleh juri, Christine Ha tampil membawa pai epal yang telah disiapkan dan pastinya dia tidak mengetahui bagaimana bentuk pai yang telah disiapkan. Kesukaran dalam membuat pai, kekurangan yang dihadapi berbanding peserta lain menyebabkan Christine Ha tunduk. Motivasinya benar-benar hilang dan saat ditanya oleh Chef Ramsay tentang  pai yang telah dibuat dia hanya mampu berkata “I think it probably looks like a pile of rubbish.”

Keadaan itu tidak lama, Chef Ramsay mengejutkan Christine Ha dengan kata-kata "Amazing humble apple pie". Pada saat itu, Chef Ramsay membangkitkan semula semangat Christine. Pada ketika itu saya melihat Chef Ramsay bukan seperti yang saya lihat sebelum ini. Kata-katanya ibarat nasihat seorang ayah kepada anak-anaknya. Lembut dan penuh dengan motivasi.

Kata-kata Chef Ramsay "you’ve got to start believing yourself more" melekat dalam diri saya. Pada ketika ini pandangan saya 100% berubah. Jika sebelum ini saya hanya memandang sisi negatif. Namun hari ini saya memandang sisi positif yang ada padanya.

Christine Ha akhirnya menjadi juara Masterchef US Musim Ke-3, menewaskan peserta-peserta lain yang cukup sifat dan anggota. Mengkagumkan.



Bukan Chef Ramsay sahaja yang dipandang negatif dan lain-lain, ada segelintir yang saya kenali turut tergolong  dalam kategori ini. Pastinya bukan sesuatu yang bagus untuk saya sebenarnya. Sentiasa berpandangan negatif sebenarnya barah yang akan membusuk dan akhirnya merosakkan diri. Penawarnya adalah menerima diri mereka yang disekeliling kita seadanya. Berusaha mencari sisi positif yang ada. Tiada manusia yang sempurna dan tidak pernah melakukan kesilapan

Saya masih tertanya-tanya mampukah saya menukar tanggapan negatif ini dan kata-kata "you’ve got to start believing yourself more"  ini mendorong saya untuk mencuba. Semuanya berteraskan kepercayaan pada diri. 




m@tmin
9.10.2012








Friday, September 28, 2012

The Red Warriors - Cuba Lagi... Piala AFC...

Perjalanan Kelantan dalam Piala AFC telah berakhir... namun jangan sesekali kecewa...

TRW,
Bukan senang hendak MENANG, Apatah lagi jadi JUARA...
Bukan senang nak jadi BINTANG, Apatah lagi jadi LAGENDA...

Cuba lagi.... Demo Dok Akey Jale Soghe.....




Wallpaper ini bukan hasil karya saya... cuma taip pakcik google  dan anda dapat melihat  wallpaper-wallpaper TRW ni.

m@tmin
28.12.2012








Friday, September 21, 2012

SLAMDUNK...

Bagi peminat komik yang tegar, pastinya Komik Slamdunk menjadi antara komik yang digemari. Memiliki koleksi lengkap komik ini satu kepuasan bagi saya. Ada yang bertanya apa  kelebihan membaca komik ini berbanding buku lain.

Jawab saya, " saya tidak akan perlu membaca buku motivasi yang tebal di kala semangat saya berada pada tahap yang rendah".

Cukup saya katakan komik berlatarbelakangkan sukan Bola Keranjang ini mengajar bagaimana untuk mengekalkan semangat dalam mengejar matlamat dan impian. Watak Sakuragi Hanamichi (Sami Berambut Merah) jelas menggambarkan keteguhan dalam mencapai cita-cita. Semangat berpasukan antara Akagi, Mitsui, Kokure, Rokawa, Miyagi dan Sakuragi dipaparkan jelas dalam komik ini. Kekurangan antara ahli pasukan dikaburi dengan kelebihan ahli pasukan yang lain sekali gus membentuk satu pasukan yang mantap.

Pasukan Shohoku memiliki satu pakej yang lengkap apabila dibarisi pemain-pemain ini. Komik ini juga menerapkan elemen persahabatan dan kepercayaan.Sedar atau tidak, elemen persahabatan dan kepercayaan adalah asas  dalam kerja berpasukan dan juga kehidupan kita seharian.

Buat sahabat-sahabat di luar sana, ingatlah kerjasama adalah asas dalam pasukan. Hanya yang bodoh sahaja mementingkan diri dan mengabaikan rakan-rakan dalam pasukan. Dan selalunya golongan yang lupa diri ini tidak akan pergi lebih jauh. Saya percaya pada pegangan ini.

Tanpa sahabat kita akan sendiri dan tanpa kepercayaan kita akan rugi. Banyak lagi elemen-elemen positif yang boleh kita dapat melalui karya Inoeu Takehiko ini. Dengan meletakkan matlamat untuk menjadi Kejuaraan Kebangsaan, watak-watak ini berjuang mengatasi halangan-halangan tanpa jemu dan mengalah.

Saya cukup kagum dengan daya kreatif Inoeu Takehiko ini yang mengabungkan komik dengan elemen-elemen kehidupan yang sering berlegar di sekeliling kita. Satu lagi, komik Slamdunk mengajar kita bahawa kuasa CINTA mampu merobohkan tembok ego yang terbina....


Koleksi SLAMDUNK 1-31 : Bukan Untuk Dijual.... ;)

m@tmin
22.9.12

Friday, September 14, 2012

Hok Aloh......Berat Nanang.....

Sang Kijang Merah (6) & Sang Penyu (1)... tiada kata-kata yang dapat 'ambo' luahkan. Biarlah 'angka' yang menceritakanya. Gomo Kelate Gomo.
 m@tmin
15.9.12


Kali Kedua...

Sepanjang cuti Aidilfitri yang lepas hampir 400 foto yang telah dirakamkan, malangnya hanya 20 sahaja yang benar-benar menjadi. Satu darinya terpilih untuk Wall Of Fame 4.9.2012. Kali kedua berjaya mendapat tempat dalam page DSLR Malaysia 1 Foto 1 Hari. Foto ini telah berjaya  mengukir sebuah senyum di penjuru alam dan  menghapus penat yang pernah bertandang buat manusia bergelar 'AKU'.  : )
 

Robberfly...


Satu lagi hasil tembakan dihadapan rumah mak mertua (bawah)...

Jumper Spider


m@tmin
15.9.12



Friday, September 7, 2012

Kosong....


Saat kekosongan menginjak jiwa
Keliru dalam sebuah perjalanan
Berpalinglah kepadaNYA
Sujud memohon secebis keampunan
Menadah syukur sebuah nikmat
Mengharap restu sebuah perjuangan
Semoga cahaya sentiasa ada
Pedoman sepanjang perjalanan....

m@tmin
8.9.2012

Saturday, July 28, 2012

CERITA BOLASEPAK MALAYSIA...




Buku Cerita Bolasepak Malaysia oleh Jemaah Penggila Bolasepak Malaysia sesuai untuk dicerna oleh peminat-peminat bolasepak Malaysia. Setiap pasukan menpunyai cerita dan saat-saat kegemilangan tersendiri dan anda akan sentiasa memakai jersi negeri dengan bangganya walaupun melawan kelab EPL yang anda minati. Jangan sesekali diharapkan kepada FAM untuk mengeluarkan bacaan sebegini. Menaruh harap pada FAM ibarat menghiris jantung sendiri.
Buku ini saya perolehi semasa Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur pada Jun 2012 yang lepas di Central Market.
Sedikit sinopsis,
Melaka - Juara Liga 1983
"Bila disebut tentang bolasepak negeri Hang Tuah, atau Hang Jebat kalau lebih sukakan beliau, kita semua akan sepakat mengatakan Melaka tidak pernah menang apa-apa. Tidak Piala Fa, tidak juga kejuaraan liga dan jauh sekali Piala Malaysia pastinya. Dalam pada semua pasukan negeri lain di Malaysia sekurang-kurangnya pernah menjulang salah satu dari kejuaraan utama bolasepak Malaysia, Melaka boleh dikatakan hampir tidak memenangi apa-apa".

Kelantan - Piala Malaysia 2010
"Bolasepak kadang-kalanya kejam. Bolasepak mungkin juga mampu mencetuskan kejutan. Sebut saja nama Kelantan, pasti ada yang berasa skeptikal. Benci, meluat dan menyampah bukan sahaja kepada penyokongnya tetapi pasukan bolasepak itu sendiri".
Selebihnya bacalah buku ni sendiri.............
Nak dapatkan buku ni pergi ke FB Abang Dubook.
 m@tmin 
Jln. Klang Lama
28.7.12
 

Friday, July 27, 2012

HIDUP INI MENCARI MATI YANG SEMPURNA...






Terlalu banyak persoalan tentang hidup HIDUP. Seringkali berlegar-legar pertanyaan apa yang diinginkan dalam HIDUP? Apakah hanya untuk mengumpul harta? Apakah mahu mengejar pangkat? Damai yang bagaimanakah diidamkah dan bermacam lagi pertanyaan tentang HIDUP.

Sampai satu ketika, kita lupa tentang MATI.... terdetik dalam hati... MATI yang bagaimanakah dinginkan?
Sebenarnya MATI ini berkait dengan HIDUP. Pendek kata apa yang dicari dalam HIDUP akan menemukan MATI yang dinginkan. Harap tiada yang tersalah faham. MATI yang saya maksudkan disini bukanlah bagaimana KEMATIAN itu datang, tapi apa yang akan DITEMUI selepas MATI.

Hanya ALLAH sahaja maha mengetahui.  Kita hanya mampu berusaha dan berdoa. Semoga kita menemui MATI YANG SEMPURNA.....

Sekadar ingatan buat diri.....

m@tmin
Jln. Klang Lama
28.7.12




Saturday, July 21, 2012

R - Aduhai PERKASA


Aneh,
Apakah mereka telah lupa
Tanah tempat mereka berdiri
Tempat mereka menyuap nasi
Ruang mereka menumpang teduh
Semuanya di atas bumi ini
Tanah Serendah Sekebun Bunga....

Aneh,
Dorongan apakah ini
Bagai halilintar suara mereka
Menafikan hak yang tersurat
Dari sebuah janji yang diukir
Lara duka Puteri Saadong
Selubung jiwa rakyat jelata...... 


m@tmin
22 Julai 2012
Jln. Klang Lama

Friday, July 13, 2012

Sebuah Perjalanan - Hari-Hari Rusuh


Kawan,

Dalam sebuah perjalanan, bukan hanya pelangi yang turut mengiringi. Seringkali awan mendung menyapa jiwa, sesekali sang guruh hadir mengertak dan ada waktunya titis hujan luruh meruntun rasa.

Saat menempuh hari-hari yang rusuh....

m@tmin
Jln. Klang Lama
14.7.2012



Monday, July 2, 2012

Semoga tidak tersungkur......


 Aku....
Semakin jauh langkah diatur
Tertusuk duri, tertikam kelikir
Masih lagi gagah meredah denai
Walau luka terhiris sembilu....


Perjalanan ini
Digantung satu doa
Semoga tabah menyusun tapak
Jangan sesekali tersandung.....


Ramai yang tersungkur
Tidak kurang juga yang rebah
Lindungi aku TUHAN
Demi sebuah perjuangan........

m@tmin
Putrajaya
2.7.2012

Thursday, June 28, 2012

Tong Kosong....


Berbicara dengan seorang yang sarat dengan pengalaman. Katanya kita yang meletakkan diri kita untuk menjadi  intan mahupun kaca. Manusia sekeliling hanya menilainya.

Menilai balik diri sendiri, harap-harap menjadi intan bukannya kaca. Menjadi tong kosong jangan sesekali. SEMOGA HIDUP MEMBAWA ERTI. Sekalipun bukan untuk manusia sekeliling, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri......

m@tmin
Putrajaya
28.6.2012

Wednesday, June 27, 2012

Hidup Ini Indah - Tentang LRT



Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan untuk melalui sekali lagi  pengalaman yang pernah diraih pada tahun 2006. Namun demikian pengalaman pada hari ini begitu berbeza. Lima tahun yang lepas saya menaiki LRT untuk ke tempat mesyuarat. Tujuannya adalah untuk merasai sendiri pengalaman menaiki LRT ke tempat kerja sebagaimana yang dilalui oleh manusia lain yang turut menggunakan pengangkutan ini. 

Pengalaman pada tahun 2006 bagaikan sebuah mimpi buruk. Apa yang saya lihat hanyalah pertarungan antara manusia. Berasak-asak memasuki LRT hingga tiada sedikit pun ruang yang kosong ibarat tin sardin. Sikap pentingkan diri sendiri terutamanya mendapatkan ruang yang selesa begitu terserlah dan jika anda bukan seorang awek yang cute atau lelaki yang kacak, lupakanlah hasrat memohon simpati semata-mata inginkan ruang yang selesa. Itulah keadaan yang saya hadapi selepas terpaksa menaiki tren yang ke – 8 (sepanjang waktu menunggu)  dari Stesen Kerinchi ke KL Sentral.

Hari ini pada masa yang sama seperti tahun 2006 iaitu jam 8.00 tepat, saya memilih untuk menggunakan LRT ke tempat mesyuarat dari Stesen Kerinchi ke KL Sentral. Aneh, saya begitu mudah menaiki tren. Tiada lagi adegan berasak-asak. Rupanya koc LRT telah ditambah sebagaimana langkah transformasi yang dilaungkan oleh kerajaan. Sepanjang perjalanan saya mengukir senyum. Apa yang saya sangka sudah mati sebenarnya masih hidup di kalangan masyarakat kita. Begitu merangsangkan.

Jangan sesekali beranggapan budaya membaca masyarakat kita sudah pupus. Sepanjang perjalanan saya lihat budaya ini begitu subur. Masih terbayang situasi Pak Cik tua yang khusyuk menatap akhbar harian, Adik manis yang asyik dengan novelnya, lelaki yang tenang dengan Majalah National Geographic, mamat photographer dengan majalah aperture bulan Julai 2012 dan akak misi dengan majalah I Islam.

Sikap terpuji remaja cina yang memberikan tempat duduk kepada wanita melayu yang mengandung begitu mengesankan jiwa. Keperihatinan seorang wanita cina memimpin si buta sehingga ke pintu gate Putra LRT KL Sentral memberi saya satu perasaan bahawa hidup ini begitu indah jika dikongsikan tanpa adanya persenngketaan dan harapan itu ada di mana-mana sahaja.

Pengalaman pada pagi ini walaupun hanya 10- 15 minit sahaja benar-benar memberikan saya satu suasana baru dalam minda. Minda yang positif untuk menggapai hidup yang indah. 


m@tmin
Putrajaya
27.6.12

Wednesday, June 20, 2012

Rindu Ibu...


 
Olympus E520 - Pulau Redang 2010

Senyumnya Penawar Duka...
Redup Matanya Penuh Makna
Lembut Belainya Penenang Jiwa
Murni Kasihnya Membawa Ke Syurga....

m@tmin
20.6.2012
Jalan Klang Lama

Sunday, June 17, 2012

Sepanjang Jalan kenangan...


D5100 + DCR250 Raynox + Cahaya Semulajadi + Picasa (sentuhan akhir)

 
Sedang asyik melangkah
Meniti bilah-bilah hari
....... Berjeda di pepohonan rendang
Melengung masa silam
Tercermin sisa-sisa kenangan
Bekalan untuk hari muka
Bekalan untuk hidup yang lebih bermakna
Sepanjang jalan kenangan... 

m@tmin
Putrajaya
18.6.2012