Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman menggunakan Kad Perubatan Cuepacscare baru-baru ini. Pengalaman yang saya rasa boleh membantu rakan-rakan tentang kepentingan Kad Perubatan terutamanya rakan-rakan penjawat awam.
Melalui Cuepacs, satu pelan perlindungan dan pakej kad perubatan telah diperkenalkan khusus kepada semua kakitangan awam. Rakan-rakan boleh rujuk laman ini di cuepacscare. Penerangan yang lebih jelas dan terperinci boleh diperolehi.
Kita sering mendengar kata-kata "malang itu tidak berbau" dan juga "sakit itu hadir tanpa amaran". Benar... kita tidak boleh menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Tapi apakah persediaan yang telah kita buat? Bukan untuk kita semata-mata tapi juga untuk keluarga kita?
Saya bernasib baik kerana diberi lintasan hati untuk memiliki Kad Perubatan Cuepacscare sejak tahun 2008 lagi. Itulah salah satu dari persediaan saya di saat genting jika diperlukan. Sebanyak RM 40 telah dipotong melalui gaji saya dan langsung tidak saya pedulikan selepas itu. Hanya sekeping kad yang saya terima dari Cuepacscare sentiasa saya bawa di dalam beg duit saya.
Kesakitan kepala yang saya alami selama 2 minggu di hujung bulan Ogos 2013 rupanya bukan sakit yang biasa saya fikirkan. Saya telah mendapatkan pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta di Jalan Klang Lama. Saya disahkan terkena penyakit sinus dan telah berlaku jangkitan kuman di bahagian belakang kepala dan telinga. Saya dinasihatkan oleh doktor untuk membuat pembedahan kecil bagi membuang sinus dan kos pembedahan dianggarkan sebanyak RM 16000.
Saya terkejut dan saya bertanya jika saya ada pilihan lain. Doktor kata jika tidak buat pembedahan berkenaan, saya perlu sentiasa memakan ubat dalam tempoh yang lama bagi menghilangkan sinus. Memandangkan kos yang saya rasa amat tinggi bagi saya, saya bertanya jika saya ada pilihan lain dan doktor mencadangkan saya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Tapi pembedahan di hospital kerajaan pastinya akan mengambil masa yang lama memandangkan bilangan pesakit yang begitu ramai.
Pihak hospital swasta berkenaan bertanyakan saya sekiranya saya memiliki insuran atau kad perubatan dan saya memaklumkan yang saya mempunyai Kad Perubatan Cuepacscare yang saya tahu hospital swasta ini adalah salah satu daripada panel Cuepacscare. Pihak hospital terus berhubung dengan Cuepacscare dan saya telah dimasukkan ke wad selama 5 hari. Pembedahan kecil yang mengambil masa 4 jam telah berjaya dijalankan oleh doktor pakar E & T. Itulah salah satu kelebihan hospital swasta apabila tidak perlu berhadapan dengan temujanji yang lama dalam mendapatkan rawatan dan pembedahan.
Selepas pembedahan, hanya satu perkara yang masih saya bimbangkan. Berapakah bayaran yang tidak dilindungi oleh Cuepacscare yang saya perlu bayar. Sebelum pembedahan, doktor yang terlibat telah memaklumkan kepada Cuepacscare yang pembedahan ini hanya melibatkan kos yang ditanggung oleh Cuepacscare sahaja.
Memang cuak apabila berhadapan dengan situasi ini . Bil dari pihak hospital saya telah terima dan... Alhamdulillah... dari RM 16800 yang dikenakan oleh pihak hospital, saya hanya perlu membayar sebanyak RM 3++ sahaja. Saya sekali lagi mendapatkan rawatan susulan (rawatan selepas pembedahan) di hospital swasta ini dan sebanyak RM 800 telah dikenakan kepada saya. Sekali lagi saya bernasib baik, kos ini juga turut ditanggung oleh Kad Perubatan Cuepacscare. Cuma saya perlu bayar dahulu dan buat tuntutan balik dengan Cuepacscare.
Hasil dari pengalaman ini saya ringkaskan Kad Perubatan Cuepacscare seperti berikut :
1. Sesuai untuk mereka yang mahukan rawatan di Hospital Swasta dengan kos yang paling minimum.
2. Mempunyai banyak panel di seluruh negara cuma tidak segah panel hospital bagi Prudential.
3. Mudah untuk berurusan dengan Cuepacscare walau melalui telefon (setakat ini).
4. Urusan Hospital dengan Cuepacscare kadang-kadang memerlukan kita membayar deposit dalam jumlah tertentu. Pada mulanya saya diminta membayar deposit RM 4000 kepada hospital sebagaimana yang terkandung dalam 'Guarantee Letter'yang dikeluarkan oleh Cuepacscare bagi menampung kos yang tidak ditanggung oleh pihak Cuepacscare. Saya berjaya berunding dengan pihak hospital berkenaan dan hanya perlu membayar RM 250 sahaja.
Saya tidak berniat untuk mempromosikan kad ini bagi mendapatkan keuntungan. Langsung tidak mendapat komisen pun. Cuma saya ingin berkongsi sebuah pengalaman dalam menggunakan Kad Perubatan Cuepacscare ini. Terpulang kepada rakan-rakan untuk membuat pilihan. Setakat ini saya mempunyai 2 Kad Perubatan untuk perlindungan saya dan keluarga. Saya seperti rakan-rakan juga yang mahu memberikan yang terbaik untuk saya dan keluarga.
m@tmin
28.10.2013
Jln. Klang Lama