Tuesday, December 27, 2011

Tujuan Hidup....

Sekadar Hiasan

Masih sayup kedengaran di minda sepatah ayat oleh Imam Zaidi (Masjid  Mukim But, Ketereh) semasa khutbah Hari Raya Korban tahun ini. Ianya tentang TUJUAN HIDUP....

"Tujuan Hidup Lebih Aula (utama) Dari Alat untuk Hidup".

Hanya kita sahaja yang tahu apa tujuan hidup kita. Apa pun, semoga hidup kita diberkati Allah S.W.T....Amin....


m@tmin
Jln. Klang Lama
27.12.11


Sunday, December 18, 2011

Dosa Lalu...





Sekadar hiasan.


Dosa Lalu


Jangan sesekali berpaling...
Pada dosa-dosa lalu...


Biarkan  cair bagai salju...
Terbang hilang bagai debu...
Hanyut jauh ke hulu...

Untuk sebuah lembaran baru....




m@tmin
Villa Bestari, Sg. Pusu
20 Sept 2011




Tuesday, December 13, 2011

Kepimpinan & Soljar....

" Apakah pelajaran yang paling bernilai yang diperolehi semasa kamu menjadi Reserve Officer Training Unit (ROTU) ?"

Itulah salah satu soalan temuduga yang saya ingat sewaktu temuduga PTD enam tahun yang lepas... bermacam-macam jawapan yang diberikan namun bukanlah jawapan yang panel temuduga berkenaan kehendaki... buntu....

Akhirnya panel berkenaan memberi jawapan yang beliau kehendaki. Ringkas sahaja, iaitu KEPIMPINAN... 

Kata beliau lagi, kamu beruntung mempunyai pengalaman berbeza dari rakan-rakan kamu yang lain, tidak ramai yang sanggup korbankan hari minggu mereka untuk ROTU. Aspek KEPIMPINAN yang telah  kamu pelajari ini kamu gunakanlah dengan sebaik mungkin andai kamu terpilih nanti... Alhamdulillah........

Hari ini kata-kata itu masih menjadi sebahagian jiwa saya.

Apa yang saya ingin kongsikan bersama teman-teman adalah KEPIMPINAN yang saya perolehi ketika bersama ROTU.

1. Saya diajar untuk menjadi pemimpin yang pada masa yang sama dipimpin. Itulah keutuhan bagi sesebuah platun.
2. Seorang Platun Komander seharusnya  berani. Andai Platun Komander itu takut, platun akan lemah dan misi yang ditugaskan pasti gagal.
3.Seorang Platun Komander mesti mempunyai  kefahaman yang tajam serta mampu memberi arahan yang jelas.
4. Seorang Platun Komander tidak mudah menunding jari dan sanggup menerima tanggungjawab.
5. Seorang Platun Komander harus bijak mewujudkan kerjasama berpasukan.
6. Sebagai Ketua Platun, jangan sesekali meninggalkan anggota platun di belakang walaupun seorang. Harus bergerak bersama-sama dan bersatu.

Apa yang saya pelajari ini telah saya cuba adaptasikan dalam kerja saya seharian. Kadang-kadang ianya tersasar, itulah lumrahnya manusia. Namun peluang untuk terus mencuba belum tertutup, yang penting terus mencuba.
 


Foto kenangan sewaktu Fasa Berundur Khemah Tahunan ROTU UM pada tahun 2003 di Bentong..

Mungkin kegilaan saya pada Ketenteraan bukanlah satu perkara yang saya ingin banggakan. Anda semua ada impian, begitu juga saya. Namun jodoh saya bukan dengan Tentera. Apapun saya sedar hikmahNYA terlalu agung untuk saya pertikaikan.

Berbalik kepada KEPIMPINAN yang saya perkatakan tadi. Sebenarnya filem-filem ketenteraan yang ada dipasaran baik dulu mahupun sekarang boleh dilihat aspek kempimpinan yang saya sebutkan.

Filem terbitan Kerajaan Malaysia seperti Left. Adnan contohnya, lihat sahaja keberanian seorang perwira yang rela darahnya tumpah memipin Rejimen Askar Melayu Diraja  menentang kerakusan matahari timur.

Begitu juga filem perang terbitan negara Uncle Sam. Tidak dinafikan ianya sebahagian dari propaganda negara syok sendiri ini. Apa yang saya nak perkatakan adalah aspek KEPIMPINAN yang ada.


Filem Band Of Brothers : Kisah benar tentang Easy Company yang dipimpin oleh Left. Dick Winter semasa WW II. Keberanian dan kepimpinan  Left. Dick Winter diakui oleh anggota pasukannya. Semasa di medan pertempuran, beliau telah dinaikkan pangkat hingga ke Mejar. Kepimpinan Left. Dick Winter membawa kepada kejayaan pasukannya menumpaskan musuh dan kejayaan paling bermakna adalah ketika menawan Istana Hitler.



Filem We Were Soldier : Satu lagi kisah benar yang difilemkan. Tapi kali ini berlatar belakangkan Perang Vietnam. Sekali lagi lupakan propaganda US yang memang kalah dalam kempen di Vietnam ini. Filem ini mengisahkan tentang seorang pegawai tentera Left. Kol. Hal Moore yang memimpin satu pasukan 7th Cavalry regimen bertempur di Zon Xray (La Drong Valley).

Kata-kata beliau di bawah nyata menyerlahkan KEPIMPINAN seorang pegawai tentera yang hebat.

"I can't promise you that I will bring you all home alive. But this I swear, before you and before Almighty God, that when we go into battle, I will be the first to set foot on the field, and I will be the last to step off, and I will leave no one behind. Dead or alive, we will all come home together. So help me, God. "

Maaf kerana terlalu mengagungkan KEPIMPINAN yang ada dalam tentera. Cuma mahu berkongsi aspek positif yang wujud dalam tentera sambil mengenang saat-saat indah ketika berendam di sungai jam 4 pagi dan juga kegagalan saat membuat Serang Hendap Musuh.

Saya sangat-sangat menghargai pengalaman saat membuat Serang Hendap Musuh yang mana saya lalui pada 2 zaman yang berbeza. Malangnya kedua-dua misi ini GAGAL kerana saya tertidur.

Serang Hendap Musuh 1 (UM) : Sungai Tong Tahun 2001. Pada ketika itu saya sebagai Platun Komander telah tertidur dan misi pasukan telah gagal. Pagi itu, saya menjadi habuan Mejar Aziz Ghimau.......

Serang Hendap Musuh 2 ( Kursus DPA)  : PULADA Tahun 2007. Pada ketika itu saya bertindak sebagai Sarjan Platun. Semasa misi saya gagal mengkoordinasikan serangan dengan Ketua Platun gara-gara tertidur. Akibatnya, satu platun dilanyak oleh Kapten Mazlan Israel....

Sebelum berundur, kita semua adalah pemimpin, tidak kira terhadap diri sendiri, keluarga mahupun organisasi. Dan dari situlah daya kepimpinan amat diperlukan untuk berjaya. Walau bagaimanapun.... daya KEPIMPINAN bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi... Ianya adalah proses yang berterusan melalui pengalaman mahupun dipelajari.


m@tmin
Jln. Klang Lama
13.12.11


Monday, December 5, 2011

MIMPI (2)

"Antara jalan yang seribu... kamu cuma perlu pilih satu..."
Hakikat hidup bukan sesuatu yang mudah, namun juga bukan sesuatu yang susah.... Semoga sayap terus kembang di angkasa... demi mimpi-mimpi bintang.... amin....

MIMPI (2)

Mimpi ini
Yang terpasak pada hati
Bukan seperti mimpi-mimpi
Yang hadirnya di malam hari....

Mimpi ini
Perjuangannya  warna-warni
Untuk ditempuhi
Menyerah jangan sekali....


m@tmin
Jln. Klang Lama
5 Disember 2011


Saturday, November 19, 2011

Tangis.......

Entah mengapa saya lebih terkesan dengan tangisan Adik Siti Aishah berbanding tangisan PLASTIK AF... mungkin disebabkan adanya ketulusan dan kejujuran.... sebuah perjuangan untuk kejayaan...


Tahniah Adik Siti Aishah..... teruskan berlari mengapai pelangi....


Hampeh.... 


m@tmin
19 Nov. 2011


Friday, November 18, 2011

Garuda Di Kaki Harimau...

Julia Perez pun tidak bisa...
Manohara pun tidak bisa...
Sundel Bolong lagi tidak bisa....
Menghalang semangat harimau
Menusukkan kuku di dada Garuda...
.Mematahkan sayap-sayap Garuda...

Dan... pagi ini .... Garuda hanya ditapak kaki Harimau....
*Tahniah harimau... (MAS 1 - IND 0)
m@tmin (18 Nov. 2011)

Saturday, October 22, 2011

Law Kana Bainana...(Andai Rasulullah SAW Bersama Kita)

Ramadhan yang lepas saya tertarik melihat satu slot rancangan terbitan sebuah negara di asia barat yang telah disiarkan oleh TV9 seingat saya. Rancangannya begitu menarik dan  menggunakan tajuk "Andai Rasulullah SAW Bersama Kita". Setiap kali selepas bersahur saya pasti akan menonton rancangan ini. 

 

Setiap paparan rancangan ini begitu bermakna dan ada satu ketika jiwa saya sebak melihat pengakuan seorang wanita saat beliau ditanya Andai Rasulullah SAW Bersama Kita. (boleh baca tulisan kosmo dibawah).

 

Rancangan ini memberikan ruang untuk saya sedar akan kelemahan yang ada pada saya. Ya kelemahan saya yang kurang memberi perhatian kepada perkara-perkara remeh.

 

Situasi 1- Berhadapan dengan situasi buah epal yang jatuh di pasaraya, mungkin saya akan mengabaikannya dengan anggapan pekerja pasaraya boleh memungutnya. 

 

Situasi 2- Bersembahyang di sebuah surau R & R dan didapati sejadah dalam keadaan tidak tersusun/teratur. Mungkin saya abaikan sejadah itu dengan anggapan pekerja R&R boleh menyusunnya sedangkan itu kerja mereka. 

 

Kedua-dua situasi ini sering saya temui dalam kehidupan seharian dan telah dipaparkan oleh rancangan "Andai Rasulullah SAW Bersama Kita".

 

Saya sedar bahawa saya sering terlepas untuk berbuat kebajikan yang paling mudah. Bukan sekali tetapi banyak kali.

 

Saya juga bertanya dalam hati, apa yang akan saya lakukan atau inginkan "Andai Rasulullah SAW Bersama Kita". Terlalu subjektif............ cukup pada saya andainya diizinkan Allah saya ingin bersua dengan Rasulullah SAW dalam mimpi.... ya dalam mimpi... InsyaAllah...

 

 

KOSMO- Fenomena Law Kana Bainana




SEBIJI buah epal yang masak ranum dilihat berada di atas lantai sebuah pasar raya di Bandar Jeddah, Arab Saudi. Beberapa orang yang lalu lalang berhampiran tempat jualan buah-buahan dan sayur segar itu langsung tidak mengendahkannya.
Kemudian, apabila seorang wanita muda berjubah hitam lengkap berpurdah melalui kawasan tersebut, dia pantas mengangkat buah epal yang berada di lantai lalu diletakkan semula di tempat asalnya.
Tindakan wanita itu ternyata mengundang sekuntum senyuman buat seorang lelaki yang bersembunyi sambil memerhatikan situasi tersebut melalui kamera tersembunyi di satu sudut pasar raya itu.
Tanpa menunggu lebih lama, lelaki yang mempunyai lesung pipit di pipi itu bergerak untuk menemui wanita tersebut. Ucapan tahniah tidak lekang diucapkan kerana kelakuan baik yang ditunjukkan wanita berkenaan.
“Terima kasih saudari kerana mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW yang sudah pasti tidak akan suka seandainya nikmat atau rezeki dibiarkan terjatuh di lantai begitu sahaja.
“Soalan saya, seandainya Rasulullah SAW ada di hadapan saudari selama seminit, apakah yang mahu saudari ucapkan kepada Baginda?” demikian pertanyaan yang dilontar pengacara berkenaan sekali gus menusuk hingga ke lubuk hati paling dalam bagi sesiapa yang mendengarnya.
Tiada jawapan yang keluar dari bibir wanita itu melainkan mutiara jernih yang mengalir dari kelopak matanya. Sejurus menghela nafas, dia pantas mengungkapkan: “Ia satu soalan yang sukar. Duduk bersama Baginda adalah impian semua orang. Andainya ia berlaku, saya ingin meminta kepadanya agar membawa saya jauh dari dunia ini.”
Itu antara pengisian rancangan televisyen bertajuk Law Kana Bainana (Andai Rasulullah SAW Bersama Kita) yang dicetuskan oleh Ahmad Al Shugairi, 38, merangkap pengacara untuk program yang menjadi fenomena di Semenanjung Tanah Arab dan di serata dunia.
Program berbentuk dakwah itu bertujuan mengajak umat manusia untuk mengenali keperibadian mulia Nabi Muhammad SAW yang dilahirkan sebagai pembawa rahmat bagi sekalian alam.
Terbahagi kepada beberapa segmen, ternyata program itu mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan terutama bagi golongan muda yang semakin melupakan keagungan insan bernama Muhammad bin Abdullah itu.
Bagaimanapun, inisiatif yang diambil Ahmad bagi menerbitkan rancangan sedemikian membuktikan bahawa sebenarnya segala amalan dan sunnah Nabi SAW masih menjadi ikutan serta pegangan sebahagian umat Islam di dunia ini.
Antara segmen yang terdapat dalam rancangan itu seperti rakaman kamera tersembunyi untuk mengetahui tindakan seseorang individu dalam pelbagai situasi, temu bual dengan pelbagai tokoh dalam bidang tertentu termasuk yang bukan Islam mengenai pandangan mereka terhadap Nabi SAW dan penceritaan sirah-sirah Nabawiyah secara tidak langsung memberi kesan yang mendalam kepada penonton.

POPULARITI Ahmad menyebabkan dia sentiasa menjadi tumpuan lensa wartawan.



Pintu hati terbuka
Ironinya, Ahmad sendiri mengakui bahawa dia bukanlah seorang sheikh atau pendakwah yang memiliki ilmu agama yang luas dalam mengajak manusia mengenali Rasulullah SAW. Namun, rasa cinta yang menggunung tinggi terhadap Baginda SAW merupakan faktor utama dia berbuat demikian.
“Saya bukan seorang sheikh. Tetapi, apabila mula belajar untuk mengenali ketokohan Rasul Junjungan, saya terus jatuh cinta kepada Baginda dan berusaha mempelajari sirah-sirah yang menceritakan tentang keistimewaan Nabi Muhammad SAW,” ujar Ahmad ketika ditemu bual oleh akhbar The New York Times pada tahun 2009.
Menyingkap latar belakang Ahmad yang berasal dari Arab Saudi, dia pernah melalui zaman gelap sebagai seorang anak muda yang lalai daripada melakukan tuntutan agama.
Dilahirkan pada tahun 1973 dalam sebuah keluarga kosmopolitan yang kaya, Ahmad kemudian melanjutkan pengajian di sebuah kolej di Long Beach, California pada usia 17 tahun.
Bertitik tolak dari situlah, dia mula mengabaikan suruhan agama seperti tidak bersolat dan tidak berpuasa. Sama seperti anak muda lain, Ahmad lebih gemar menghabiskan masa dengan acara hiburan dan keseronokan. Merokok, berseronok dengan wanita dan meminum arak antara perilaku negatif yang pernah dilakukan pemuda itu.

AHMAD turun ke padang sendiri untuk rakaman dengan orang ramai.



Cuma, apabila mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia 22 tahun, Ahmad berusaha menjalani kehidupan menurut ajaran Islam yang sebenar. Dia turut menyesali kehidupan bebas yang dilalui ketika remaja.
Rentetan itu, Ahmad bertindak kembali ke Arab Saudi di samping mahu menguruskan perniagaan milik bapanya. Namun, isterinya tidak mahu mengikut corak hidup Ahmad yang mula berubah ke arah lebih Islamik dan ia membuatkan pasangan itu mengakhiri perkahwinan mereka dengan perceraian.
Di sana, Ahmad mula belajar dengan seorang ulama bernama, Adnan al-Zahrani yang mendedahkan kepadanya tentang idea bahawa kekuatan Islam datang daripada kepelbagaian dan keterbukaan dengan cara-cara pemikiran yang baharu.
Buat kali pertama, Ahmad menemui satu cara untuk mengimbangi gelodak jiwanya yang berperang dengan kehidupan sendiri di Amerika Syarikat dan Arab Saudi.
Di Jeddah, Ahmad kemudian membuka sebuah kafe yang dinamakan Al-Andalusia untuk golongan muda mempelajari lebih lanjut tentang Islam menerusi koleksi buku-buku Islamik yang disediakan di kafe tersebut.
Sebelum menerbitkan rancangan Law Kana Bainana, Ahmad telah berjaya menarik perhatian dan menjadi inspirasi kepada ribuan pemuda pemudi di tanah Arab melalui program televisyen bertajuk Khawater (Pemikiran) sejak tahun 2004 hingga 2010.
Rancangan tersebut memberi tumpuan tentang bagaimana kehidupan Muslim pada masa dahulu dan zaman sekarang. Ia kemudian diiktiraf sebagai program paling berjaya di dunia Arab yang disiarkan sepanjang bulan Ramadan pada setiap tahun.

LOGO rancangan Law Kana Bainana yang menjadi fenomena di Tanah Arab.



“Orang Islam dahulu kala merupakan cendiakawan dalam pelbagai bidang termasuk sains, perubatan, astronomi dan matematik. Justeru, kita harus bangkit kembali untuk memastikan kegemilangan Islam akan terus berkekalan pada masa akan datang,” tutur Ahmad kepada Rahima al-Balushi, wartawan akhbar Times of Oman.
Bagi wartawan The New York Times, Robert F. Worth yang pernah menemu bual Ahmad, dia menganggap lelaki itu seorang bintang generasi baharu yang dikenali sebagai sheikh satelit.
“Menerusi beberapa rancangan televisyen yang diterbitkannya, Ahmad banyak membantu masyarakat dunia dalam meningkatkan pemahaman sebenar terhadap Islam yang sering dipandang serong.
“Pendekatan dakwah yang digunakan Ahmad sangat berhemah dan mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang didekatinya,” kata Robert.


m@tmin
Jalan Klang Lama