Monday, January 31, 2011

Kampung Atau Bandar

Teratak Bonda...

Satu pertanyaan membuatkan saya tersenyum... " Macamana orang Bachok boleh hidup tanpa pasaraya atau kompleks membeli-belah"?

Soalan ini saya yakin timbul kerana latarbelakang kehidupan yang berbeza.. Saya andaikan sahabat saya membesar di sebuah kotaraya yang besar dan penuh pusat membeli-belah manakala saya membesar di sebuah desa yang sarat dengan kedai-kedai kopi dan hanya ada kedai runcit yang kecil. Untuk keperluan yang lain seperti kasut sekolah contohnya penduduk kampung saya perlu keluar ke pekan kecil atau pun ke Bandar Kota Bharu. Jelas perbezaan yang ketara antara saya dan sahabat saya ini disebabkan ruang kehidupan yang dijalani semasa membesar.

Sebagai orang kota pastinya selesa dengan kehidupan yang moden dan serba canggih serta jenama seperti  Secret Recipe, Baskin Robbins, dan macam-macam lagi. Orang kampung seperti saya pula selalunya lebih selesa dengan nasi berlauk, nasi kerabu atau laksam sebagai sarapan pagi.

Saya juga sentiasa mengingatkan diri agar tidak mengutuk sahabat-sahabat dari kota kerana tidak dapat menyesuaikan diri cara kehidupan kampung kerana saya sedar saya pun bukanlah pandai untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan kotaraya. Dalam soal makan contohnya, Selera saya masih lagi kepada masakan kampung walaupun sekarang ini bekerja di kota.

Pertembungan Kampung dan Bandar bukanlah satu persoalan yang besar bagi saya. Sejujurnya saya masih suka dengan kehidupan yang sederhana di kampung. jauh dari hiruk pikuk kesesakan dan tekanan kehidupan kota. Mungkin juga kerana di kampung saya terikat dengan memori dan kenangan semasa kecil yang saya jalani. Mungkin juga kerana saya selesa dengan cara hidup di kampung. Disamping itu saya juga suka berjumpa dengan kawan-kawan serta orang-orang tua dikampung sambil bertanya khabar dan berkongsi cerita.

Namun saya akur atas takdir ilahi kerana berada di kotaraya untuk mencari rezeki. Dengan itu kehidupan kampung dan bandar seolah-olah bukanlah satu masalah bagi saya. Alhamdullilah, hari ini saya berkesempatan untuk menyedut udara ketenangan yang ada di kampung. Cuti selama seminggu akan digunakan sepenuhnya untuk mengunjungi sanak saudara dan juga memenuhi jemputan kenduri dari sahabat handai.

Sekali lagi Teratak Bonda akan menjadi bumbung untuk berteduh dan hamparan untuk beradu.... alangkah amannya.......














Friday, January 7, 2011

Nasib INTERLOK....

Ha..haha...haha...Sekali lagi hati tergelak dengan tingkah laku orang politik. Nampaknya ramai antara mereka berkuasa dan nampak cerdik, malangnya memiliki pemikiran yang sempit lalu mendorong membuat keputusan yang juga kurang cerdik dan tidak semestinya betul.

INTERLOK... karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain kembali menarik perhatian ramai. Wujud dakwaan dari mereka yang tidak cerdik bahawa karya ini bersifat perkauman dan mengancam ketenteraman antara kaum. Mengapa sekarang baru dibangkitkan perkara ini? Mengapa tidak semasa karya ini memenangi tempat saguhati semasa menyertai Peraduan  Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka (1967)? Selepas lebih 30  tahun karya ini terbit barulah muncul dakwaan dangkal ini... pelik bukan?

Apa maksud INTERLOK ? Tidak pandai untuk mengulas maksudnya. Mungkin blog ini boleh memberi pemahaman yang lebih baik.

Dakwaan INTERLOK karya yang bersifat perkauman  serta menghina kaum-kaum tertentu nyata telah disanggah oleh mereka yang bergelar Prof, Dr. dan juga penggiat seni sastera negara. Tulisan Dr. Mawar mungkin boleh mengulas dengan lebih akademik lagi. Klik Sini.

Mereka-mereka yang mendakwa karya ini bersifat perkauman sepatutnya membaca dan menghadam karya ini dalam aspek yang lebih luas dan mendalam.Bukan hanya sekadar membaca tanpa memahami maksud sebenar disebalik baris-baris kata. Ingatlah karya ini walaupun bukanlah buku sejarah tetapi elemen sejarah adalah kuat mengikat karya ini kerana berlatarkan zaman awal 1990 an hingga kemerdekaan 1957. Novel ini memberi gambaran sebenar hidup masyarakat sebelum ini serta keadaan perpaduan kaum yang wujud dan nyata berbeza pada hari ini.
Berapa banyak lagi kebenaran yang hendak kita sembunyikan daripada generasi muda kini? Tidak cukupkah lagi generasi sekarang ini yang sudah luntur jati diri dan terhakis semangat patriotik? Jangan kerana sikap kurang cerdik sesetengah mereka ini maka hakikat sebenar yang pernah wujud sebelum ini hendak dihapuskan. Janganlah nanti kerana buta sejarah generasi akan datang menyalahkan generasi sekarang ini kerana keputusan-keputusan dan tindakan yang kurang cerdik.

Kepada ahli politik... tidak semua perkara boleh dipolitikkan. Janganlah nanti ada mereka-mereka yang akan rasa bersalah kerana telah memberikan amanah  kepada orang yang salah. Masih teringat dengan serangkap puisi yang diperolehi semasa menonton filem Memphis Belle.. " Janganlah nanti, masa depan menjadi hampa dan masa lalu menjadi sia-sia"...

* Hanya pernah sekali membaca novel ini, tanpa disangka buku ini popular rupanya... hehe

07.01.11
PUTRAJAYA