Teratak Bonda... |
Satu pertanyaan membuatkan saya tersenyum... " Macamana orang Bachok boleh hidup tanpa pasaraya atau kompleks membeli-belah"?
Soalan ini saya yakin timbul kerana latarbelakang kehidupan yang berbeza.. Saya andaikan sahabat saya membesar di sebuah kotaraya yang besar dan penuh pusat membeli-belah manakala saya membesar di sebuah desa yang sarat dengan kedai-kedai kopi dan hanya ada kedai runcit yang kecil. Untuk keperluan yang lain seperti kasut sekolah contohnya penduduk kampung saya perlu keluar ke pekan kecil atau pun ke Bandar Kota Bharu. Jelas perbezaan yang ketara antara saya dan sahabat saya ini disebabkan ruang kehidupan yang dijalani semasa membesar.
Sebagai orang kota pastinya selesa dengan kehidupan yang moden dan serba canggih serta jenama seperti Secret Recipe, Baskin Robbins, dan macam-macam lagi. Orang kampung seperti saya pula selalunya lebih selesa dengan nasi berlauk, nasi kerabu atau laksam sebagai sarapan pagi.
Saya juga sentiasa mengingatkan diri agar tidak mengutuk sahabat-sahabat dari kota kerana tidak dapat menyesuaikan diri cara kehidupan kampung kerana saya sedar saya pun bukanlah pandai untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan kotaraya. Dalam soal makan contohnya, Selera saya masih lagi kepada masakan kampung walaupun sekarang ini bekerja di kota.
Pertembungan Kampung dan Bandar bukanlah satu persoalan yang besar bagi saya. Sejujurnya saya masih suka dengan kehidupan yang sederhana di kampung. jauh dari hiruk pikuk kesesakan dan tekanan kehidupan kota. Mungkin juga kerana di kampung saya terikat dengan memori dan kenangan semasa kecil yang saya jalani. Mungkin juga kerana saya selesa dengan cara hidup di kampung. Disamping itu saya juga suka berjumpa dengan kawan-kawan serta orang-orang tua dikampung sambil bertanya khabar dan berkongsi cerita.
Namun saya akur atas takdir ilahi kerana berada di kotaraya untuk mencari rezeki. Dengan itu kehidupan kampung dan bandar seolah-olah bukanlah satu masalah bagi saya. Alhamdullilah, hari ini saya berkesempatan untuk menyedut udara ketenangan yang ada di kampung. Cuti selama seminggu akan digunakan sepenuhnya untuk mengunjungi sanak saudara dan juga memenuhi jemputan kenduri dari sahabat handai.
Sekali lagi Teratak Bonda akan menjadi bumbung untuk berteduh dan hamparan untuk beradu.... alangkah amannya.......
No comments:
Post a Comment