"Tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali jika kamu tahu apa yang dicari.."
1. Kata-kata ini sentiasa melekat di jiwa, dan kadang-kadang ianya seringkali dijadikan pegangan dalam mengusahakan sesuatu. Dan kata-kata ini saya perolehi dari Komik Kartini karya Tembakau (saudara Azhar).
2. Pada awalnya komik ini diterbitkan secara bersiri dalam Majalah Lanun (sekarang sudah lingkup). Kalau tidak silap pada pertengahan 90 an.
3. Karya Kartini adalah sebuah komik yang memaparkan tentang kisah remaja yang dirasakan sangat dekat dengan diri pada ketika itu. Tentang Ariyon yang mengejar cita-cita dan dalam masa yang sama mengejar cinta seorang gadis bernama Kartini.
4. Berdasarkan maklumbalas dari Tembakau.. karya kartini adalah sebuah kisah benar dan hingga hari ini mereka hidup dalam sebuah cinta yang berbeza. Maknanya cinta mereka tidak bersatu.
5. Komik ini membawa saya kembali ketika zaman persekolahan dulu, ya ketika belajar di MML & SMKAF. Zaman remaja yang penuh dengan eksperimen, penuh suka dan duka, dan pastinya penuh keGATALan... Babak ariyon menjadi pilot kapal terbang kertas dan juga aksi terlampau ketika memikat Kartini jelas gila-gila... dan tak pernah dibuat oleh saya mahupun rakan-rakan di sekolah.
6. Watak utama dalam karya ini memang nakal & gila-gila secara tidak langsung mengembalikan memori saya ketika ponteng kelas, merokok di belakang sekolah, lepak di rumah sewa sambil main terup bersama-sama rakan yang seJIWA.. (kini antara mereka ada yang menjadi kaunselor, ustaz, guru, tauke restoran, tauke stesen minyak dan tauke surat khabar).
7. Dalam masa yang sama kisah cinta yang dipaparkan mengembalikan memori saya ketika hanyut dalam cinta monyet.. cinta yang pada ketika itu hanya bergantung dengan surat-surat yang diletakkan bedak sebagai pewangi... kadang-kadang lirik lagu menjadi kata-kata indah dalam coretan surat. Berbeza dengan zaman ini SMS, FB, Twitter menjadi perantara.
8. Namun demikian cinta monyet ini hanya berlalu begitu saja. Tiada apa yang dapat dibanggakan kecuali pengalaman budak-budak pra-matang dalam mencari cinta. Pengalaman melihat rakan-rakan yang bergaduh kerana perempuan. (isk.. tak gentlemen langsung)...
9. Penceritaan karya ini memang melucukan dan sarat dengan falsafah bagi seorang remaja yang mencari diri. Malangnya pengakhiran kisah Kartini ini berakhir dengan sebuah kekecewaan.
10. Apa-apa pun... karya Kartini ini memberi saya satu pengajaran yang berguna. Di sini saya sedar
untuk mendapatkan sesuatu kita perlu berusaha dan jangan pernah ragu-ragu dan kadang-kadang apa yang paling kita hendak itulah yang kita tidak akan dapat.
11. Itulah hakikat sebuah kehidupan. Sedang kita berusaha seringkali keraguan menjadi bayang-bayang ngeri, dan kadang-kadang kemanisan yang kita mahu sering dibayangi dengan kepahitan. Karya ini benar-benar melekat dengan diri saya. Terima kasih Bro Tembakau....
*cuba stail Dr. M menulis blog.. ok tak?
m@tmin
Jln. Klang lama
6 Ogos 2011