Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan
untuk melalui sekali lagi pengalaman
yang pernah diraih pada tahun 2006. Namun demikian pengalaman pada hari ini
begitu berbeza. Lima tahun yang lepas saya menaiki LRT untuk ke tempat
mesyuarat. Tujuannya adalah untuk merasai sendiri pengalaman menaiki LRT ke
tempat kerja sebagaimana yang dilalui oleh manusia lain yang turut menggunakan
pengangkutan ini.
Pengalaman pada tahun 2006
bagaikan sebuah mimpi buruk. Apa yang saya lihat hanyalah pertarungan antara
manusia. Berasak-asak memasuki LRT hingga tiada sedikit pun ruang yang kosong
ibarat tin sardin. Sikap pentingkan diri sendiri terutamanya mendapatkan ruang
yang selesa begitu terserlah dan jika anda bukan seorang awek yang cute atau
lelaki yang kacak, lupakanlah hasrat memohon simpati semata-mata inginkan ruang
yang selesa. Itulah keadaan yang saya hadapi selepas terpaksa menaiki tren yang
ke – 8 (sepanjang waktu menunggu) dari
Stesen Kerinchi ke KL Sentral.
Hari ini pada masa yang sama seperti
tahun 2006 iaitu jam 8.00 tepat, saya memilih untuk menggunakan LRT ke tempat
mesyuarat dari Stesen Kerinchi ke KL Sentral. Aneh, saya begitu mudah menaiki
tren. Tiada lagi adegan berasak-asak. Rupanya koc LRT telah ditambah
sebagaimana langkah transformasi yang dilaungkan oleh kerajaan. Sepanjang
perjalanan saya mengukir senyum. Apa yang saya sangka sudah mati sebenarnya
masih hidup di kalangan masyarakat kita. Begitu merangsangkan.
Jangan sesekali beranggapan
budaya membaca masyarakat kita sudah pupus. Sepanjang perjalanan saya lihat
budaya ini begitu subur. Masih terbayang situasi Pak Cik tua yang khusyuk
menatap akhbar harian, Adik manis yang asyik dengan novelnya, lelaki yang
tenang dengan Majalah National Geographic, mamat photographer dengan majalah
aperture bulan Julai 2012 dan akak misi dengan majalah I Islam.
Sikap terpuji remaja cina yang
memberikan tempat duduk kepada wanita melayu yang mengandung begitu mengesankan
jiwa. Keperihatinan seorang wanita cina memimpin si buta sehingga ke pintu gate
Putra LRT KL Sentral memberi saya satu perasaan bahawa hidup ini begitu indah
jika dikongsikan tanpa adanya persenngketaan dan harapan itu ada di mana-mana
sahaja.
Pengalaman pada pagi ini walaupun
hanya 10- 15 minit sahaja benar-benar memberikan saya satu suasana baru dalam
minda. Minda yang positif untuk menggapai hidup yang indah.
m@tmin
Putrajaya
27.6.12