Sunday, February 17, 2013

Rookies - Tentang Sebuah Impian

Beberapa hari lepas, isteri saya menyatakan hasratnya untuk membuka sebuah butik muslimah dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Impian ini sebenarnya telah beberapa kali disuarakan kepada saya sebelum ini dan nasib kurang baik apabila pada hari berkenaan saya tiba-tiba mentertawakanya. 

Saya sedar saya telah buat satu kesilapan. Kesilapan ini membawa ingatan saya kepada sebuah drama bersiri jepun iaitu ROOKIES. Sebuah drama yang begitu berbeza. Sebuah drama yang menceritakan perjuangan dalam mencapai impian. Berlatarbelakangkan kisah seorang guru dengan pelajarnya. Drama Rookies tidak seperti drama Great Teacher Onizuka (GTO) yang gila-gila. Rookies banyak menyelitkan elemen komedi dan persahabatan. Kepercayaan dan persahabatan menguatkan lagi jalan cerita yang dimainkan. Banyak adegan yang mampu membuatkan mata kita 'masuk habuk'. 

Rookies memaparkan kisah sebuah Kelab Baseball Sekolah Tinggi Futakotamagawa yang telah digantung kerana kejadian pergaduhan. Akibatnya, ahli pasukan baseball Sekolah Tinggi Futakotamagawa telah dibenci oleh guru-guru dan pelajar. Malahan turut dipandang serong oleh pasukan baseball dari sekolah-sekolah lain. Pendek kata, Kelab Baseball Sekolah Tinggi Futakotamagawa langsung tiada harapan untuk kembali beraksi di padang. 

Akhirnya muncul seorang guru, Kawata (lakonan Sato Ryuta) yang cuba menghidupkan semula kelab baseball dan meniup semula semangat ahli pasukan untuk kembali bermain. Pada ketika inilah IMPIAN pasukan untuk beraksi di liga paling tinggi (Liga Koshien) kembali mekar. Banyak halangan-halangan yang perlu ditempuh oleh Kelab Baseball Sekolah Tinggi Futakotamagawa untuk mencapai impian ke Koshien.

Benarlah kata-kata mereka yang telah berjaya, kejayaan hadir selepas mengharungi halangan-halangan yang terbentang. Halangan bukanlah satu masalah jika impian yang ditanam turut disertakan dengan semangat yang tinggi tanpa berputus asa. Akhirnya mereka layak ke Liga Koshien sekaligus menangkis semua tanggapan buruk yang pernah dilemparkan kepada mereka sebelum ini.

Berbalik kepada kesilapan saya itu. Saya teringatkan satu adegan dalam drama ini dimana Kawato Sensei berkata "Jangan sesekali mentertawakan impian seseorang. Biarpun  ianya nampak mustahil, sebagai seorang manusia kita harus menyokongya". Nasib saya baik, tiada kemarahan. Hanya senyuman pahit yang dilontarkan oleh isteri saya dan saya mengerti itu adalah sebuah senyuman kecewa.

Secara spontan saya kata, kita kumpul modal sama-sama. Insyaallah akan dimakbulkanNYA. Senyuman manis kembali terukir. Fuhhh.......







Sebuah drama yang berbaloi untuk ditonton.....

m@tmin
18.2.2013

No comments:

Post a Comment