Sunday, March 3, 2013

1 Mac 2013 - Sambutan Ulang Tahun dan Sebuah Tragedi Di Lahad Datu

Alhamdulillah, 1 Mac yang lepas saya diberikan peluang untuk menyambut hari lahir yang ke 3x. Pada tarikh yang sama juga  Tentera Darat Malaysia turut  menyambut hari ulang tahun yang ke 80.

Namun demikian, pada tarikh ini juga jiwa saya terencat dengan berita yang diterima dari Lahad Datu. Sebuah khabar berdarah yang membawa duka, mencarik jiwa rakyat jelata, mengguris hati para pejuang dan mengalir tangis sanak saudara. Negara telah kehilangan seramai 2 orang anggota polis dalam kejadian pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu. Sehingga catatan ini ditulis pada hari ini, seramai 8 orang anggota PDRM telah disahkan gugur dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Saya percaya kehilangan mereka ini akan melahirkan ramai lagi pejuang yang akan mempertahankan negara. Pemergian mereka bukanlah suatu pemergian yang sia-sia.

Saya sedikit kecewa dengan segelintir dari mereka yang bergelar pemain politik di negara kita. Sesaat pun mereka tidak pernah berhenti untuk berpolitik. Mengambil kesempatan dengan menunding jari dan mengambil kelebihan atas tragedi pencerohobohan di Lahad Datu ini. Masih belum mahu belajar dari sejarah-sejarah lama tentang jatuh bangun sesebuah negara.

Terkilan juga dengan segelintir rakyat malaysia yang begitu skeptikal dalam membuat andaian dan tuduhan melulu tanpa unsur periksa. Terlalu percaya pada khabar angin dan perkhabaran berbaur fitnah. Ada segelintir  yang saya lihat hanya pandai  bermain 'game Counter Strike' atau 'Red Alert' di komputer, tapi  sewenang-wenangnya mempertikaikan strategi dan taktik pasukan keselamatan negara. Begitu dangkal dan menjengkelkan gelagat mereka ini. 
 
Kepada rakan-rakan semua, marilah doakan yang terbaik buat anggota keselamatan kita dan semoga isu pencerobohan di Lahad Datu oleh Tentera Kesultanan Sulu akan dapat diselesaikan dengan segera dan tidak lagi menumpahkan darah perwira kita. 

Al-Fatihah...


 m@tmin
3.3.2013
 


No comments:

Post a Comment