Monday, May 23, 2011

Khabar Duka Dari Kaki Bukit...


Suatu pagi saya disapa khabar yang buruk dari kaki bukit. Sebuah khabar yang membawa duka. Sebuah khabar yang mengukir perit. Sebuah khabar yang mengundang tangis. Juga sebuah khabar yang meruntun simpati.

Saya tidak mahu mengulas lanjut berkenaan pusat jagaan yang dikhabarkan tiada CF oleh PBT, juga kenyataan menteri berkenaan pusat tersebut tidak berdaftar dengan kementeriannya. Bukanlah masa yang sesuai untuk semua ini.

Sekali lagi kita disentap dengan khabar duka ini.  Dendam alam semakin nyata, namun kita masih belum sedar. Tragedi ini sekali lagi menelanjangkan kelemahan kita dalam melindungi alam sekitar dan juga kelemahan agensi2 yang bertanggung jawab. Sudah terhantuk baru tergadah....... orang kita....

Namun pagi ini paparan akhbar tentang peristiwa ini masih berlegar di minda. Wajah anak-anak kecil yang masih trauma dengan kejadian tersebut serta tangisan pemergian oleh ahli keluarga nyata mengundang sebak dalam jiwa. Namun saya percaya ALLAH itu maha mengetahui segala aturannya.

16 jiwa telah terkorban dan begitulah selalunya kata-kata orang tua, orang yang baik selalunya terlebih dahulu dijemput Ilahi. Mereka adalah antara anak-anak yang belajar ilmu agama dan ada antaranya bercita-cita untuk menjadi ustaz. Ada juga antara mereka adalah kakitangan yang menguruskan pusat pengajian ini.  Alangkah murninya perjuangan mereka ini.

Saya hanya sekadar mampu untuk turut sama menangisi pemergian mereka. Hanya doa semoga roh mereka ditempatkan dikalangan hamba-hamba ALLAH yang dirahmati dan diredhai dapat dihulurkan. Kepada keluarga mangsa, semoga ketabahan milik kalian. Yakinlah, sampai suatu masa mereka tetap akan pergi jua.

Jauh di sudut hati saya bertanya, bilakah masanya pula untuk saya? Adakah akan berakhir dengan tragedi? Atau akan tiba masanya perlahan-lahan. Ya ALLAH... ampunilah dosa hamba MU ini, kurniakan keinsafan buat diri ini agar sentiasa patuh pada perintahMU.

Al Fatihah buat mereka yang terlibat dan semoga roh mereka dirahmati ALLAH.. amin....

MATMIN
23 Mei 2011





Monday, May 16, 2011

Terima Kasih Cikgu....

Suatu ketika saya ingin terbang, tapi malangnya tiada sayap. Saya yakin saya boleh terbang jika diberikan sayap. Lalu mereka membantu saya untuk terbang. Dari awal mereka menjadi sayap-sayap saya. Perlahan-lahan mereka bersama saya & sampai masanya saya mampu terbang tinggi, tetapi bukan lagi bersama mereka. Kini saya terbang bersama doa & ilmu yang mereka curahkan... TERIMA KASIH CIKGU, GURU, USTAZ & USTAZAH...

Matmin
 
 

Sunday, May 8, 2011

MAMA

Saya mengenali seorang wanita yang sangat tabah. Tabah mengharungi hari-hari tanpa sedikit pun keluhan dari bibinya. Hanya airmatanya sahaja yang menjadi paparan emosi jiwanya. Ketabahannya sangat agung buat saya. Dia telah ditinggalkan oleh suami bersama enam anak yang masih kecil. Apatah lagi dia juga tidak mempunyai sedikit harta untuk menjadi bekalan buatnya.

Pelbagai kerja yang terpaksa dilakukannya demi sesuap nasi, demi pelajaran anak-anaknya. Bukan setakat menjual kuih, tetapi juga menoreh getah sebagai sumber pendapatan. Di atas tanah sekangkang kera, dia tabah menanam padi. Pernah juga menjadi buruh di kilang tembakau dan pernah menjadi pengasuh yang mungkin memberikan sedikit keringanan kepadanya dari hujan dan panas.

Dia juga tanpa segan meohon kerja sebagai pembantu kedai makan demi keluarga. Saya tahu dia sudah banyak menderita bukan sahaja fizikal tapi juga hatinya. Terguris dengan sikap bekas suaminya, karenah anak-anaknya yang sedang membesar serta terluka dengan kata-kata masyarakat sekeliling. 
Begitulah dia mengharungi tahun-tahun derita yang mencengkam jiwa.

Namun kini, mungkin doanya telah didengari oleh tuhan. Hari ini dia tidak lagi perlu turun ke sawah, tidak lagi perlu menyelinap di antara pohon-pohon getah dan tidak lagi bergelumang dengan daun-daun tembakau. Cuma hanya membuat kuih untuk jualan bagi mengisi ruang yang ada dan sekadar  memenuhi tempahan penduduk setempat.

Hari ini dia tersenyum bagaikan kembang sekuntum bunga. Hari ini senyumanya telah memadam  titik-titik hitam yang telah lama mewarnai jiwanya. Perihnya telah berbalas, airmatanya penuh kegembiraan. Pengorbanannya begitu berbaloi. Penatnya juga telah hilang. Anak-anaknya kini ada yang telah  menjawat jawatan pegawai tadbir dan juga menjadi guru. Hatinya kembang tatkala anak keempatnya melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir.

Begitulah Kuasa ALLAH Maha Agung. Susah akan dibalas senang dan kesabaran akan dibalas setimpalnya....

Saya begitu mengenali dia. Dialah ibu saya yang saya panggil MAMA. 

Buat MAMA saya ucapkan SELAMAT HARI IBU.....


matmin
8 Mei 2011









Wednesday, May 4, 2011

Cinta 2 Musim


Cinta 2 Musim

Hanya 2 musim,
Kita menganyam mimpi bersama,
Dan pabila mendonggak,
Kita melihat pada angkasa yang sama,
Tapi malangnya,
Kita memandang bintang yang berbeza...


7 April 2011
Sandakan, Sabah