Sunday, May 8, 2011

MAMA

Saya mengenali seorang wanita yang sangat tabah. Tabah mengharungi hari-hari tanpa sedikit pun keluhan dari bibinya. Hanya airmatanya sahaja yang menjadi paparan emosi jiwanya. Ketabahannya sangat agung buat saya. Dia telah ditinggalkan oleh suami bersama enam anak yang masih kecil. Apatah lagi dia juga tidak mempunyai sedikit harta untuk menjadi bekalan buatnya.

Pelbagai kerja yang terpaksa dilakukannya demi sesuap nasi, demi pelajaran anak-anaknya. Bukan setakat menjual kuih, tetapi juga menoreh getah sebagai sumber pendapatan. Di atas tanah sekangkang kera, dia tabah menanam padi. Pernah juga menjadi buruh di kilang tembakau dan pernah menjadi pengasuh yang mungkin memberikan sedikit keringanan kepadanya dari hujan dan panas.

Dia juga tanpa segan meohon kerja sebagai pembantu kedai makan demi keluarga. Saya tahu dia sudah banyak menderita bukan sahaja fizikal tapi juga hatinya. Terguris dengan sikap bekas suaminya, karenah anak-anaknya yang sedang membesar serta terluka dengan kata-kata masyarakat sekeliling. 
Begitulah dia mengharungi tahun-tahun derita yang mencengkam jiwa.

Namun kini, mungkin doanya telah didengari oleh tuhan. Hari ini dia tidak lagi perlu turun ke sawah, tidak lagi perlu menyelinap di antara pohon-pohon getah dan tidak lagi bergelumang dengan daun-daun tembakau. Cuma hanya membuat kuih untuk jualan bagi mengisi ruang yang ada dan sekadar  memenuhi tempahan penduduk setempat.

Hari ini dia tersenyum bagaikan kembang sekuntum bunga. Hari ini senyumanya telah memadam  titik-titik hitam yang telah lama mewarnai jiwanya. Perihnya telah berbalas, airmatanya penuh kegembiraan. Pengorbanannya begitu berbaloi. Penatnya juga telah hilang. Anak-anaknya kini ada yang telah  menjawat jawatan pegawai tadbir dan juga menjadi guru. Hatinya kembang tatkala anak keempatnya melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir.

Begitulah Kuasa ALLAH Maha Agung. Susah akan dibalas senang dan kesabaran akan dibalas setimpalnya....

Saya begitu mengenali dia. Dialah ibu saya yang saya panggil MAMA. 

Buat MAMA saya ucapkan SELAMAT HARI IBU.....


matmin
8 Mei 2011









No comments:

Post a Comment