Sunday, September 14, 2014

Tentang Buku : Travelog Ulu Yam Di Liverpool (UYDL) 2

Saya tidak kenal atau pernah bersua dengan Nazali Noor. Tetapi buku beliau Ulu Yam Di Liverpool (UYDL) 1 yang diterbitkan sebelum ini telah memberikan saya gambaran siapa itu Nazali Noor. Seorang anak melayu yang berjaya di negara asing bagi saya.

Jika dibandingkan kejayaan beliau dengan saya, ternyata begitu ketara perbezaannya. Cuma satu persamaan antara kami iaitu kami adalah 'KOPITES'.....mmmmmm.... pendek kata kami adalah penyokong LIVERPOOL....





Travelog UYDL yang pertama memberi ruang untuk saya kenal siapa beliau. Travelog UYDL 2 pula telah membawa saya untuk mendalami erti sebuah pengHIJRAHan.  

Dalam kita mengejar cita-cita, kita tidak boleh lari dari meredah halangan yang terbentang. Mungkin ianya pahit, tetapi itulah lumrah sebuah perjuangan. Dan.... itulah yang dicoretkan oleh Nazali Noor, anak Ulu Yam yang kini menjawat jawatan pensyarah kanan di sebuah universiti di Liverpool dalam UYDL 2. 

Beliau menceritakan masam-manis di peringkat awal penghijrahan beliau dan keluarga. Beliau juga begitu berani mendedahkan nama-nama yang banyak menjadi duri kepada beliau dan keluarga. Tapi saya tidak pasti sama ada nama-nama itu adalah nama sebenar atau adalah nama samaran semata-mata. 

UYDL 2 mampu menyuntik emosi dan dan motivasi. Cuba baca dan anda akan percaya apa yang saya katakan. Banyak kata-kata yang mampu membangkitkan jiwa dari Onn ini. Kisah-kisah beliau yang dipaparkan sarat dengan makna dan sedikit sebanyak mencuit emosi terutamanya kisah beliau bersama ibu dan keluarga.

Saya tertarik apabila beliau menceritakan tentang Bos di Malaysia vs Bos di Liverpool serta  perangai 'biasa' orang melayu walaupun jauh di perantauan. Itulah bangsaku..... 

Saya juga kagum dengan perhatian/reaksi masyarakat di Liverpool tentang buku UYDL ini. Bos dan rakan sekerja beliau  benar-benar menunjukkan sokongan yang tinggi serta meraikan kejayaan beliau yang berhasil menulis sebuah buku walaupun buku berkenaan bukanlah berkaitan dengan bidang pengajaran beliau.

Kisah beliau bersama Dr. Emma Kate (Bergelar Dr. ketika berumur 25 tahun) membandingkan tesis phd yang dihasilkan oleh Dr. Emma dengan UYDL  beliau telah menyedarkan saya supaya tidak melihat sesuatu itu dari satu sudut sahaja. Tesis  Dr. Emma mungkin melayakkan beliau mendapat gelaran Dr., tetapi berapa ramai yang akan membaca tesis ini kecuali oleh mereka-mereka dalam bidang tertentu sahaja berbanding UYDL yang boleh dibaca oleh segenap peringkat umur dan lapisan masyarakat dan mampu memberi kesan yang lebih besar. Begitulah cara Dr. Emma memberi dorongan pada Onn....

Saya yakin Nazali Noor mampu menjadi idola kepada anak-anak kita yang berjiwa besar. Mampu memimpin anak-anak kita membentuk impian. Mampu mendorong anak-anak kita menggantung impian setinggi langit.... saya doakan semoga  beliau berjaya.

Liverpool........Salah satu impian saya dalam hidup adalah untuk menonton Liverpool beraksi di Stadium Anfield. Pendek kata Liverpool adalah destinasi impian saya yang ke-4 selepas Mekah, Madinah dan Istanbul. InsyaAllah....



m@tmin
Opis ambo
15.9.2014


 







 

1 comment: