Sunday, August 21, 2011

Pensel Merah & Buku Bergaris...


Gambar dari sini 

26 tahun dahulu, seorang kanak-kanak telah menerima  sebatang pensel & sebuah buku pemberian dari makciknya. Sebatang pensel berwarna merah dan sebuah buku yang bergaris... harga pada ketika itu lebih kurang RM 0.30. Pemberian untuk mengelakkan buku makciknya dari menjadi mangsa seorang budak yang baru mengenal pensel.

Suatu pagi, kanak-kanak itu merenung serumpun pokok pisang yang berhadapan rumahnya. Suatu tempat yang menarik untuk memesrai pensel merah & buku bergaris ini. Di bawah redup pokok pisang dan beralaskan juga daun pisang, maka budak itu mula menulis & kadang-kadang hanya menconteng.. dari saat itu pantang ada kertas kosong pastinya akan menjadi mangsa contengan...

26 tahun berlalu, kanak-kanak itu terus menulis & kadang-kadang menconteng tapi bukan lagi di bawah pokok pisang. Kini kanak-kanak itu menulis & kadang-kadang menconteng menggunakan pen berdakwat hitam, di bawah sebuah bangunan berwarna hijau. 

Sempena Aidilfitri 2011, kanak-kanak itu mahu menghadiahkan sebuah beg tangan kepada makciknya, harganya nyata berbeza dengan pemberiannya 26 tahun dahulu. Namun nilai RM 0.30 lebih besar maknanya kepada kanak-kanak itu. Dan kanak-kanak itu mahu makciknya senyum sepertimana dia pernah tersenyum saat teruja menerima pensel merah & buku bergaris sebagai teman.

26 tahun yang berlalu, namun saat itu masih melekat pada hati.....

m@tmin
Jln. Klang Lama





Friday, August 12, 2011

Hanya untuk satu hari.....


Aku bermohon...
Hanya untuk satu hari...
Jauh dari belenggumu...
Jauh dari kemelutmu...
Untuk sebuah janji....

Dan seperti sebelumnya...
Engkau tetap mendatang...
Bersama gundah...
Bersama resah...
Walaupun jauh aku berlari....

m@tmin
Jalan klang Lama / 13 Ogos 2011

AWAN...



Aku ini awan putih
Lembutnya bagai kapas
Membalut kedamaian
Untuk sebuah kehidupan

Aku ini awan hitam
Hadir bersama petanda
Menjerut resah jiwa-jiwa kehidupan
Melayangkan khabar duka

Aku ini awan
Putih atau hitam
Tersurat untuk direnungi
Tersirat untuk difahami

m@tmin
Sandakan - 22 Julai 2011



Sunday, August 7, 2011

Satu hari untuk diri...

Satu Hari Untuk Diri

Hanya satu hari,
Yang diperlukan untuk diri,
Melunaskan janji-janji,

Hanya satu hari,
Untuk bangkit lagi,
Mengejar mimpi-mimpi,

Hanya satu hari...
Hanya satu hari...
Ya...
.
.
.
.
Hanya satu hari...

m@tmin
Gua Musang
6 Ogos 2011

Friday, August 5, 2011

Kartini...


"Tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali jika kamu tahu apa yang dicari.."

1. Kata-kata ini sentiasa melekat di jiwa, dan kadang-kadang ianya seringkali dijadikan pegangan dalam mengusahakan sesuatu. Dan kata-kata ini saya perolehi dari Komik Kartini karya Tembakau (saudara Azhar).

2. Pada awalnya komik ini diterbitkan secara bersiri dalam Majalah Lanun (sekarang sudah lingkup). Kalau tidak silap pada pertengahan 90 an.

3. Karya Kartini adalah  sebuah komik yang memaparkan tentang kisah remaja yang dirasakan sangat dekat dengan diri pada ketika itu. Tentang Ariyon yang mengejar cita-cita dan dalam masa yang sama mengejar cinta seorang gadis bernama Kartini.

4. Berdasarkan maklumbalas dari Tembakau.. karya kartini adalah sebuah kisah benar dan hingga hari ini mereka hidup dalam sebuah cinta yang berbeza. Maknanya cinta mereka tidak bersatu.


5. Komik ini membawa saya kembali ketika zaman persekolahan dulu, ya ketika belajar di MML & SMKAF. Zaman remaja yang penuh dengan eksperimen, penuh suka dan duka, dan pastinya penuh keGATALan... Babak ariyon menjadi pilot kapal terbang kertas dan juga aksi terlampau ketika memikat Kartini jelas gila-gila... dan tak pernah dibuat oleh saya mahupun rakan-rakan di sekolah.

6. Watak utama dalam karya ini memang nakal & gila-gila secara tidak langsung mengembalikan memori saya ketika ponteng kelas, merokok di belakang sekolah, lepak di rumah sewa sambil main terup bersama-sama rakan yang seJIWA.. (kini antara mereka ada yang menjadi kaunselor, ustaz, guru, tauke restoran, tauke stesen minyak dan tauke surat khabar).

7. Dalam masa yang sama kisah cinta yang dipaparkan mengembalikan memori saya ketika hanyut dalam cinta monyet.. cinta yang pada ketika itu hanya bergantung dengan surat-surat yang diletakkan bedak sebagai pewangi... kadang-kadang lirik lagu menjadi kata-kata indah dalam coretan surat. Berbeza dengan zaman ini SMS, FB, Twitter menjadi perantara.

8. Namun demikian cinta monyet ini hanya berlalu begitu saja. Tiada apa yang dapat dibanggakan kecuali pengalaman budak-budak pra-matang dalam mencari cinta. Pengalaman melihat rakan-rakan yang bergaduh kerana perempuan. (isk.. tak gentlemen langsung)...

9. Penceritaan karya ini memang melucukan dan sarat dengan falsafah bagi seorang remaja yang mencari diri.  Malangnya pengakhiran kisah Kartini ini berakhir dengan sebuah kekecewaan.

10. Apa-apa pun... karya Kartini ini memberi saya satu pengajaran yang berguna. Di sini saya sedar untuk mendapatkan sesuatu kita perlu berusaha dan jangan pernah ragu-ragu dan kadang-kadang apa yang paling kita hendak itulah yang kita tidak akan dapat.

11. Itulah hakikat sebuah kehidupan. Sedang kita berusaha seringkali keraguan menjadi bayang-bayang ngeri, dan kadang-kadang kemanisan yang kita mahu sering dibayangi dengan kepahitan. Karya ini benar-benar melekat dengan diri saya. Terima kasih Bro Tembakau....

*cuba stail Dr. M menulis blog.. ok tak?


m@tmin
Jln. Klang lama
6 Ogos 2011

 











Friday, July 29, 2011

Seorang Gadis Yang Digagalkan Untuk Sebuah Kejayaan

Tiga tahun lepas saya pernah menjadi ketua panel penemuduga untuk jawatan N17. Salah seorang calon yang hadir adalah seorang gadis yang baru menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang sains. Gadis ini menarik perhatian saya kerana mempunyai keyakinan semasa bercakap dan berdasarkan sijil2 yang disertakan dia adalah seorang yang cemerlang dalam pelajaran. Keputusan peringkat diploma boleh dikatakan bagus, 3.6 purata gred. Berdasarkan keputusan ini saya yakin dia boleh menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Saya bertanya kenapa dia memohon jawatan N17 ini. Jawabnya dia ingin membantu keluarganya yang miskin. Lagipun dia mempunyai bilangan  adik beradik yang ramai. Saya bertanya adakah dia berminat untuk menyambung pelajaran dan jawabnya ya, tetapi masalah keluarganya yang susah menyebabkan dia mahu bekerja terlebih dahulu. Terlintas di fikiran saya selalunya remaja bila bekerja, maka pelajaran diletakkan di belakang (kebanyakkannya). Lama kelamaan keinginan belajar akan mati dalam jiwa remaja. Ini juga berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya selama ini.

Pada ketika itu, saya membuat satu keputusan yang saya rasakan adalah tepat dan betul. Saya menyatakan bahawa jawatan ini bukan untuk dia. Dia masih mempunyai potensi yang tinggi untuk berjaya dan jalannya adalah dengan meneruskan pengajian diperingkat ijazah. Pastinya dia mempunyai peluang yang cerah untuk mendapatkan tempat di IPTA. Pada ketika itu, saya lihat air mata mengalir dari wajahnya. Dia merayu untuk mendapatkan kerja ini. Saya bertegas, jika dia mahu membantu keluarganya maka kejarlah peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Kerana dari situ akan terbentang jalan yang luas untuk berjaya dan membantu keluargannya.

Akhirnya, dia melangkah keluar dengan hampa. Saya memahami kekecewaan gadis ini. Tapi saya percaya inilah jalan yang terbaik untuk dia harungi. Saya pernah berada dalam situasi yang sama sepertinya. Hidup dalam kesusahan dan nyaris-nyaris melupakan pelajaran. Nasib saya baik, akhirnya pelajaranlah yang menyuluh jalan saya. Selepas itu saya merenung kembali keputusan saya itu. Saya tertanya-tanya adakah saya telah menutup peluang gadis ini? Saya hanya membisu dan biarkan soalan tanpa sebuah jawapan. Kadang-kadang sesuatu persoalan adalah lebih baik tanpa jawapan.

Dan pada hari itu saya belajar suatu perkara. Apa yang kita putuskan tentang sesuatu perkara kadang-kadang melibatkan masa depan seseorang. Andai itu yang kita yakin terbaik untuknya, buatlah keputusan tanpa ragu-ragu.. Pada hari itu juga saya mendoakan gadis ini supaya dipermudahkan jalan-jalannya dan semoga dia dapat memeluk sebuah kejayaan yang amat bermakna. Ya sebuah kejayaan yang bukan sahaja diimpikan olehnya tetapi juga semua orang. Saya YAKIN... itulah yang terbaik untuknya.

Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya apakah nasib gadis itu?  Namun dalam hati saya tertanam keyakinan bahawa itu adalah keputusan yang terbaik untuknya. Ya saya yakin. Walaupun ketika ini hanya Allah sahaja yang tahu kedudukan gadis ini, saya tetap yakin dia sekarang sedang mendaki tangga-tangga kejayaan....



m@tmin
Jln Klang lama
30 Julai 2011







Tuesday, July 12, 2011

Fortaleza De Malaca... kita masih lupa....lupa..lupa dan lupa........


Di sini, 
Namanya "Fortaleza De Malaca"
Ya maksudnya "Kota Yang Pertama Di Melaka"
Sebuah kota yang terbina 
Di atas keruntuhan sebuah bangsa...
Dan... kita telah LUPA...


Sisa-sisa ini
Bagaikan tiada apa-apa
Sedangkan padanya 
Untuk kita renungi...
Dan kita masih LUPA...
 
  Bongkah ini 
Pernah menjadi saksi
Bangsa yang berdaulat
Runtuh kerana kuasa, harta dan wanita
Juga masih kita LUPA....


Kota ini
Tegaknya berdiri
Mengangkat maruah si penjajah
Lalu menghenyak maruah peribumi
Dan kita terus ALPA...



Kita terus LUPA...


LUPA......



Semoga aku tidak LUPA....
(brader ni selalu berada di tenpat ini, namanya Daniel... tanyakanlah dia tentang sejarah kota ini, anda pastinya terkejut dengan fakta-fakta yang tidak pernah tercatat dalam buku teks sekolah anda...)


Sisa-sisa ini
Lukanya meninggalkan parut
Yang tidak pernah akan hilang
Kita LUPA...
Bumi ini pernah....
Jatuhnya hanya SEHARI..
Tapi terpasung BERATUS TAHUN.....

Semoga aku tidak LUPA....
Semoga aku tidak LUPA....
Semoga aku tidak LUPA....
Semoga aku tidak LUPA....
Semoga aku tidak LUPA....

m@tmin
11 Julai 2011 
PPUM