Tuesday, March 26, 2013

Hari-Hari Yang Kusut....

Beberapa hari ini kebelakangan ini,  terlalu banyak komitmen yang perlu digalas dan dikendong. Masa yang ada dirasakan terlalu singkat seolah-olah 24 jam sehari tidak mencukupi. Aneh apabila dirasakan hari-hari yang sedang dilalui ini hanya semata-mata untuk kerja sehinggakan banyak lagi perkara dalam hidup telah diketepikan. Apakah ini kesan daripada kegagalan dalam menguruskan masa?

Jika benar ianya adalah kegagalan dalam menguruskan masa, saya rasa sudah sampai waktunya untuk membuat sedikit perubahan. Perubahan yang mungkin boleh memberikan saya lebih masa untuk mengurus komitmen dan  mencuri masa melayan perkara-perkara yang disukai. Suka atau tidak, ianya telah menjadi sebahagian dari babak-babak kehidupan yang sedang dan akan ditempuhi di atas pentas pinjaman ini.

Untuk itu, telah saya gantungkan doa bagi menempuh hari-hari yang mendatang. Semoga perjalanan ini akan dipermudahkanNYA.... amin....


m@tmin
26.3.2013
Jln. Klang Lama

Sunday, March 24, 2013

Setitik Kesabaran


Mengekang kemarahan adalah satu perkara yang benar-benar sukar apatah lagi saat berada dalam situasi LUPA DIRI......
Setitik kesabaran mungkin tidak dapat meredakan api yang membakar dalam dada....
Tapi sekurang-kurangnya membawa KITA kembali ke alam nyata...
Alam di mana SETIAP MANUSIA TIDAK LEPAS DARI MEMBUAT KESILAPAN....

Foto : Titis embun pada kelopak bunag di depan rumah ibu mertuaku...

m@tmin
24.3.2013
Jln. Klang Lama

Thursday, March 21, 2013

Daun & Manusia...




Seperti juga daun, sampai masanya semua manusia akan menempuhi MATI....

Al-Fatihah...

m@tmin
21.3.2013
Jln. Klang Lama

Sunday, March 3, 2013

1 Mac 2013 - Sambutan Ulang Tahun dan Sebuah Tragedi Di Lahad Datu

Alhamdulillah, 1 Mac yang lepas saya diberikan peluang untuk menyambut hari lahir yang ke 3x. Pada tarikh yang sama juga  Tentera Darat Malaysia turut  menyambut hari ulang tahun yang ke 80.

Namun demikian, pada tarikh ini juga jiwa saya terencat dengan berita yang diterima dari Lahad Datu. Sebuah khabar berdarah yang membawa duka, mencarik jiwa rakyat jelata, mengguris hati para pejuang dan mengalir tangis sanak saudara. Negara telah kehilangan seramai 2 orang anggota polis dalam kejadian pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu. Sehingga catatan ini ditulis pada hari ini, seramai 8 orang anggota PDRM telah disahkan gugur dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Saya percaya kehilangan mereka ini akan melahirkan ramai lagi pejuang yang akan mempertahankan negara. Pemergian mereka bukanlah suatu pemergian yang sia-sia.

Saya sedikit kecewa dengan segelintir dari mereka yang bergelar pemain politik di negara kita. Sesaat pun mereka tidak pernah berhenti untuk berpolitik. Mengambil kesempatan dengan menunding jari dan mengambil kelebihan atas tragedi pencerohobohan di Lahad Datu ini. Masih belum mahu belajar dari sejarah-sejarah lama tentang jatuh bangun sesebuah negara.

Terkilan juga dengan segelintir rakyat malaysia yang begitu skeptikal dalam membuat andaian dan tuduhan melulu tanpa unsur periksa. Terlalu percaya pada khabar angin dan perkhabaran berbaur fitnah. Ada segelintir  yang saya lihat hanya pandai  bermain 'game Counter Strike' atau 'Red Alert' di komputer, tapi  sewenang-wenangnya mempertikaikan strategi dan taktik pasukan keselamatan negara. Begitu dangkal dan menjengkelkan gelagat mereka ini. 
 
Kepada rakan-rakan semua, marilah doakan yang terbaik buat anggota keselamatan kita dan semoga isu pencerobohan di Lahad Datu oleh Tentera Kesultanan Sulu akan dapat diselesaikan dengan segera dan tidak lagi menumpahkan darah perwira kita. 

Al-Fatihah...


 m@tmin
3.3.2013
 


Sunday, February 24, 2013

Bahagia.....






Kita akan merasa BAHAGIA apabila tidak menyusahkan seseorang dan  akan LEBIH BAHAGIA apabila mempermudahkan urusan seseorang.

Terpulanglah kepada kita untuk MEMILIH. Kita yang menentukan samada kita mahu BAHAGIA ataupun sebaliknya.

m@tmin
24.2.2013

Sunday, February 17, 2013

Rookies - Tentang Sebuah Impian

Beberapa hari lepas, isteri saya menyatakan hasratnya untuk membuka sebuah butik muslimah dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Impian ini sebenarnya telah beberapa kali disuarakan kepada saya sebelum ini dan nasib kurang baik apabila pada hari berkenaan saya tiba-tiba mentertawakanya. 

Saya sedar saya telah buat satu kesilapan. Kesilapan ini membawa ingatan saya kepada sebuah drama bersiri jepun iaitu ROOKIES. Sebuah drama yang begitu berbeza. Sebuah drama yang menceritakan perjuangan dalam mencapai impian. Berlatarbelakangkan kisah seorang guru dengan pelajarnya. Drama Rookies tidak seperti drama Great Teacher Onizuka (GTO) yang gila-gila. Rookies banyak menyelitkan elemen komedi dan persahabatan. Kepercayaan dan persahabatan menguatkan lagi jalan cerita yang dimainkan. Banyak adegan yang mampu membuatkan mata kita 'masuk habuk'. 

Rookies memaparkan kisah sebuah Kelab Baseball Sekolah Tinggi Futakotamagawa yang telah digantung kerana kejadian pergaduhan. Akibatnya, ahli pasukan baseball Sekolah Tinggi Futakotamagawa telah dibenci oleh guru-guru dan pelajar. Malahan turut dipandang serong oleh pasukan baseball dari sekolah-sekolah lain. Pendek kata, Kelab Baseball Sekolah Tinggi Futakotamagawa langsung tiada harapan untuk kembali beraksi di padang. 

Akhirnya muncul seorang guru, Kawata (lakonan Sato Ryuta) yang cuba menghidupkan semula kelab baseball dan meniup semula semangat ahli pasukan untuk kembali bermain. Pada ketika inilah IMPIAN pasukan untuk beraksi di liga paling tinggi (Liga Koshien) kembali mekar. Banyak halangan-halangan yang perlu ditempuh oleh Kelab Baseball Sekolah Tinggi Futakotamagawa untuk mencapai impian ke Koshien.

Benarlah kata-kata mereka yang telah berjaya, kejayaan hadir selepas mengharungi halangan-halangan yang terbentang. Halangan bukanlah satu masalah jika impian yang ditanam turut disertakan dengan semangat yang tinggi tanpa berputus asa. Akhirnya mereka layak ke Liga Koshien sekaligus menangkis semua tanggapan buruk yang pernah dilemparkan kepada mereka sebelum ini.

Berbalik kepada kesilapan saya itu. Saya teringatkan satu adegan dalam drama ini dimana Kawato Sensei berkata "Jangan sesekali mentertawakan impian seseorang. Biarpun  ianya nampak mustahil, sebagai seorang manusia kita harus menyokongya". Nasib saya baik, tiada kemarahan. Hanya senyuman pahit yang dilontarkan oleh isteri saya dan saya mengerti itu adalah sebuah senyuman kecewa.

Secara spontan saya kata, kita kumpul modal sama-sama. Insyaallah akan dimakbulkanNYA. Senyuman manis kembali terukir. Fuhhh.......







Sebuah drama yang berbaloi untuk ditonton.....

m@tmin
18.2.2013

Wednesday, February 13, 2013

Akur pada sebuah realiti...





Berada di kampung selama beberapa hari telah memberi ruang kepada saya untuk menelusuri tentang sebuah realiti. Dan saya terpaksa akur pada hakikatnya "Dalam kita memperoleh sesuatu, pastinya ada sesuatu yang terpaksa kita lepaskan".

m@tmin
13.2.2013