Monday, April 29, 2013

Di Sebalik Jalur Pelangi.... (Edisi PRU13)


Jumaat lepas saya berkesempatan mengerjakan solat Jumaat di salah sebuah masjid di Shah Alam. Intipati khutbah yang disampaikan oleh tuan imam lebih kepada perpaduan. Saya tertarik dengan kata-kata tuan imam tentang warna pelangi dan perbezaan fahaman dalam politik.

Dalam kehangatan suasana PRU13, tuan imam menekankan supaya semua pihak berlapang dada dalam berpolitik. Kematangan seseorang individu samada bakal YB mahupun penyokong kuat parti amat penting. Perbezaan pastinya wujud kerana sokongan terhadap parti yang berbeza.

Saya berpendapat, tidak kira apa sahaja pendapat yang digenggam, paparkanlah  sikap dengan penuh berhemah, lontarkanlah kata-kata dengan lembut dan berlapanglah dalam perdebatan. Jangan sesekali dibalas keji dengan keji, cacian dengan cacian dan keburukan dengan keburukan. Sesungguhya KEBAIKAN itu akan hanya terbit dari alunan sikap dan kata-kata yang terpuji.

Perbezaan yang wujud bukanlah bermakna perlunya berlaku perpecahan. Andai perbezaan itu dipacu selaras dengan prinsip-prinsip ISLAM, pastinya PERBEZAAN itu menjadi PEMANGKIN kepada sebuah PERPADUAN.

Saya kongsikan kata-kata tuan imam yang masih saya ingat hingga hari ini.

"Jadikanlah PERBEZAAN itu seperti WARNA PELANGI. Sesungguhnya PERBEZAAN WARNA itulah yang menjadikan PELANGI ITU INDAH dipandang".

m@tmin
Putrajaya
29.4.2013

Thursday, April 11, 2013

Dekat tapi jauh....


Aneh rasanya....
Apabila dekat tetapi jauh
Berpaut erat melingkari....
Pada sejalur rasa
Pada keping-keping kenangan...

Aneh rasanya....
Apabila dekat tetapi jauh
Diselubungi sang hitam.... 
Pada hati yang putih
Pada jiwa yang bersih...

Aneh rasanya...
Dekat tetapi jauh
Jauh tetapi dekat
Bersimpang siur kekalutan
Dalam ruang yang kosong...

Akan tiba satu masa
Munculnya rasa
Harus kembali pada fitrahNYA....
Sebelum terlewat....
 
 m@tmin
Jln. Klang Lama
11.4.2013

Tuesday, April 9, 2013

Cara Mudah Untuk Menabung


Kebelakangan ini saya sering melawat blog-blog berkaitan dengan ilmu kewangan dan pelaburan. Rupanya begitu banyak ilmu, tips dan panduan pengurusan kewangan yang  berguna diperolehi dengan mudah dan percuma. Dalam dunia yang serba menggunakan kepingan not-not RM, tidak dinafikan ilmu pengurusan kewangan amat penting kepada semua orang di pelbagai lapisan. 

Setiap orang pastinya meletakkan matlamat/sasaran dalam pengurusan kewangan. Ada yang mahukan KEBEBASAN KEWANGAN, KETENANGAN KEWANGAN dan ramai yang mahu menjadi KAYA. Banyak cara yang boleh diaplikasikan untuk mencapai matlamat diatas contohnya MELABUR, MENABUNG, BERNIAGA dan juga  KERJA PART TIME. Sebenarnya banyak lagi cara yang tidak saya sebutkan dan boleh diperolehi dengan mudah melalui "pak cik" google.

Apa yang saya mahu ketengahkan adalah cara MENABUNG. Bagi saya MENABUNG adalah satu perkara yang menjadi ASAS dalam pengurusan kewangan. Kalau tiada tabungan/simpanan mana mungkin untuk kita membuat pelaburan ataupun membeli aset. Gagal  untuk MENABUNG adalah satu penyakit kewangan yang serius. Banyak buku dan artikel kewangan yang saya baca menyarankan setiap individu MENABUNG sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan setiap bulan. 

Saya sendiri mengakui tabiat MENABUNG ini bukan sesuatu yang mudah hendak dilaksanakan. Kadang-kadang tanpa disedari pendapatan yang diperolehi telah dibelanjakan tanpa sedikit pun menyimpan. Kebanyakan penasihat kewangan menasihatkan supaya MENABUNG dilakukan terlebih dahulu dan barulah lebihan pendapatan itu dibelanjakan. Saya percaya ramai yang mengatakan pendapatan yang ada hanya cukup-cukup makan dan dibelanjakan untuk komitmen bulanan yang ditanggung. Dengan kata lain MENABUNG telah dianggap sukar dan membebankan. Kadang-kadang saya juga beranggapan sedemikian.

Sebenarnya ada cara yang mudah untuk MENABUNG jika amalan menyimpan 10% dari pendapatan begitu membebankan. Kaedah MENABUNG  ini saya petik dari blog pakdi.net. Saya tertarik dengan artikel saudara Suzardi Maulan a.k.a Pakdi tentang cara mudah untuk MENABUNG dan saya baru sedar yang saya sebenarnya telah pun melaksanakan kaedah yang disarankan.

1. Simpan Duit Syiling
Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Lebihan syiling setiap hari saya masukkan dalam tabung. Membawa duit siling yang banyak bukanlah satu pilihan yang bijak dan disukai ramai. Berat tu. Saya mula menyimpan duit syiling selepas saya berkahwin. Tujuan awalnya adalah bagi menyediakan tabungan untuk duit raya. Alhamdulillah, setiap tahun saya tak perlu fikir berkenaan duit raya untuk sepupu dan anak-anak rakan. Tahun lepas sahaja saya berjaya menabung RM 400 dalam 2 bekas mister potato. Tips dari saya, sediakan beg plastik yang kukuh dan asingkan terus bagi memudahkan pihak bank memproses penukaran duit raya.

2. Main Kutu
Pakdi turut menyenaraikan Main Kutu sebagai satu cara MENABUNG yang mudah. Sudah masuk tahun ketiga saya Main Kutu dengan rakan sepejabat. Main Kutu bukanlah sesuatu yang asing bagi saya. Semasa saya bersekolah, ibu saya di kampung sering bermain kutu. Banyak peralatan dapur, perabot, langsir dan juga kain pasang adalah hasil Main Kutu. Isteri saya juga seorang pemain kutu yang tegar hehehe. Sejujurnya 3 tahun kebelakangan ini saya tidak terlalu memikirkan masalah pembayaran insurans kereta kerana saya jadikan duit dari Main Kutu sebagai simpanan untuk menyelesaikan komitmen berkenaan. Bagi saya Main Kutu adalah satu cara terbaik untuk mendisiplinkan diri dalam MENABUNG. Kita akan rasa segan dan malu jika tidak membayar.

3. Kumpul Si Duit hijau
Saya benar-benar tertarik dengan cara ini. Baru  3 minggu saya mencuba cara ini dan seronok juga apabila melihat warna hijau dalam tabung. Kalau boleh saya cuba untuk masukan sekeping kertas hijau ni setiap hari. Cuma masalahnya kertas hijau ni bukanlah setiap hari ada dalam dompet. Pendek kata Duit hijau ni jarang kita dapat berbanding RM 1, RM 10, RM 50. Pakdi menyarankan cara ini kerana kertas hijau  dalam kategori sederhana. Nilainya tidak terlalu tinggi  dan tidak terlalu rendah.

Banyak lagi sebenarnya cara mudah untuk MENABUNG. Laman pakdi.net mungkin boleh membantu rakan-rakan pembaca untuk mendapatkan ilmu berkaitan pengurusan kewangan. Saya sarankan juga rakan-rakan untuk membaca buku-buku pengurusan kewangan seperti  Jutawan Di Planet Jupiter tulisan Azizi Ali,  Tahukah Anda Jiran Anda Seorang Jutawan tulisan Azman Mohd Sharif dan  Ke Mana Wang Anda? tulisan Hajah Rohani. Sangat berbaloi dan sesuai untuk jadi bahan bacaan untuk keluarga.

m@tmin
Jln. Klang Lama
9.4.2013

Tuesday, March 26, 2013

Hari-Hari Yang Kusut....

Beberapa hari ini kebelakangan ini,  terlalu banyak komitmen yang perlu digalas dan dikendong. Masa yang ada dirasakan terlalu singkat seolah-olah 24 jam sehari tidak mencukupi. Aneh apabila dirasakan hari-hari yang sedang dilalui ini hanya semata-mata untuk kerja sehinggakan banyak lagi perkara dalam hidup telah diketepikan. Apakah ini kesan daripada kegagalan dalam menguruskan masa?

Jika benar ianya adalah kegagalan dalam menguruskan masa, saya rasa sudah sampai waktunya untuk membuat sedikit perubahan. Perubahan yang mungkin boleh memberikan saya lebih masa untuk mengurus komitmen dan  mencuri masa melayan perkara-perkara yang disukai. Suka atau tidak, ianya telah menjadi sebahagian dari babak-babak kehidupan yang sedang dan akan ditempuhi di atas pentas pinjaman ini.

Untuk itu, telah saya gantungkan doa bagi menempuh hari-hari yang mendatang. Semoga perjalanan ini akan dipermudahkanNYA.... amin....


m@tmin
26.3.2013
Jln. Klang Lama

Sunday, March 24, 2013

Setitik Kesabaran


Mengekang kemarahan adalah satu perkara yang benar-benar sukar apatah lagi saat berada dalam situasi LUPA DIRI......
Setitik kesabaran mungkin tidak dapat meredakan api yang membakar dalam dada....
Tapi sekurang-kurangnya membawa KITA kembali ke alam nyata...
Alam di mana SETIAP MANUSIA TIDAK LEPAS DARI MEMBUAT KESILAPAN....

Foto : Titis embun pada kelopak bunag di depan rumah ibu mertuaku...

m@tmin
24.3.2013
Jln. Klang Lama

Thursday, March 21, 2013

Daun & Manusia...




Seperti juga daun, sampai masanya semua manusia akan menempuhi MATI....

Al-Fatihah...

m@tmin
21.3.2013
Jln. Klang Lama

Sunday, March 3, 2013

1 Mac 2013 - Sambutan Ulang Tahun dan Sebuah Tragedi Di Lahad Datu

Alhamdulillah, 1 Mac yang lepas saya diberikan peluang untuk menyambut hari lahir yang ke 3x. Pada tarikh yang sama juga  Tentera Darat Malaysia turut  menyambut hari ulang tahun yang ke 80.

Namun demikian, pada tarikh ini juga jiwa saya terencat dengan berita yang diterima dari Lahad Datu. Sebuah khabar berdarah yang membawa duka, mencarik jiwa rakyat jelata, mengguris hati para pejuang dan mengalir tangis sanak saudara. Negara telah kehilangan seramai 2 orang anggota polis dalam kejadian pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu. Sehingga catatan ini ditulis pada hari ini, seramai 8 orang anggota PDRM telah disahkan gugur dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Saya percaya kehilangan mereka ini akan melahirkan ramai lagi pejuang yang akan mempertahankan negara. Pemergian mereka bukanlah suatu pemergian yang sia-sia.

Saya sedikit kecewa dengan segelintir dari mereka yang bergelar pemain politik di negara kita. Sesaat pun mereka tidak pernah berhenti untuk berpolitik. Mengambil kesempatan dengan menunding jari dan mengambil kelebihan atas tragedi pencerohobohan di Lahad Datu ini. Masih belum mahu belajar dari sejarah-sejarah lama tentang jatuh bangun sesebuah negara.

Terkilan juga dengan segelintir rakyat malaysia yang begitu skeptikal dalam membuat andaian dan tuduhan melulu tanpa unsur periksa. Terlalu percaya pada khabar angin dan perkhabaran berbaur fitnah. Ada segelintir  yang saya lihat hanya pandai  bermain 'game Counter Strike' atau 'Red Alert' di komputer, tapi  sewenang-wenangnya mempertikaikan strategi dan taktik pasukan keselamatan negara. Begitu dangkal dan menjengkelkan gelagat mereka ini. 
 
Kepada rakan-rakan semua, marilah doakan yang terbaik buat anggota keselamatan kita dan semoga isu pencerobohan di Lahad Datu oleh Tentera Kesultanan Sulu akan dapat diselesaikan dengan segera dan tidak lagi menumpahkan darah perwira kita. 

Al-Fatihah...


 m@tmin
3.3.2013