Saturday, March 15, 2014

Tentang Buku : Jajahan Bonda

Jajahan Bonda, sebuah kisah masyarakat yang saya anggap amat dekat dengan diri saya. Sarat dengan mesej kekeluargaan, keindahan hidup bermasyarakat dan ketabahan mengejar mimpi. Jajahan Bonda wujud  dari sikap tidak berputus asa dan telah sebati dalam diri penghuninya. Sikap inilah yang menjadi teras pada  novel ini.

Karya kedua garapan Md Nizar Parman yang saya miliki selepas novel Silir Daksina nyata tidak mengecewakan saya. Saya akui, kejutan di bahagian akhir menyebakkan sedikit perasaan. Tidak saya jangkakan.

Watak-watak yang digarapkan pula adalah watak yang sentiasa ada disekeliling kita. Saya percaya kewujudan watak-watak sebegini dalam masyarakat banyak mempengaruhi diri kita.

Semaun, seorang yang tidak berpelajaran  namun mempunyai visi dan cita-cita yang besar.

Mahanum, seorang yang tabah.

Kodin, watak yang jarang ada dikalangan anak muda kita iaitu seorang yang bercita-cita menjadi petani moden walaupun mempunyai ijazah.

Pak Long, watak negatif yang sering ada dalam masyarakat kita.

Mahali, contoh seorang yang tidak kuat dan mudah berputus asa.

(sekadar menamakan beberapa watak utama)

Terima kasih kepada penulis kerana telah membawa saya kembali ke 'kampung halaman' saya dan bukanlah satu kerugian memiliki novel sebegini berbanding novel yang berpaksikan cinta 2 insan semata-mata.



 m@tmin
Jln. Klang Lama
16.3.2014


Friday, February 28, 2014

Tentang Buku : Sang Pemimpi

Beberapa hari yang lepas saya berkesempatan membelek Sang Pemimpi karya Andrea Hirata. Karya kedua dalam Tetralogi Laskar Pelangi. Karya yang telah lama diterbitkan, namun baru kini berkesempatan menghayatinya.

Satu karya yang jujur tentang anak-anak Belitong. Karya yang memaparkan perjuangan dalam mengejar mimpi. Jika rakan-rakan mahu mengerti tentang persahabatan sejati, kekeluargaan dan cita-cita, hadamlah buku ini. Jika rakan-rakan sedang mencari karya yang jujur, dapatkanlah buku ini.

Anda tidak akan jumpa Tengku Adam atau Ariana Rose dalam karya ini, hanya Watak  Ikal, Arai, Jimbron dan Bang Zaitun yang berjuang mencapai mimpi. Saya tidak mahu memaparkan sinopsis Sang Pemimpi, rakan-rakan boleh gunakan pakcik 'google' untuk membaca sinopsisnya. Saya yakin anda tidak akan kecewa apabila karya ini berada ditangan.

"tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati" Arai.


m@tmin
27.2.2014
A'Famosa Resort, Melaka


Thursday, February 13, 2014

Leftenan Adnan - 14.2.1942

ADNAN - 14.2.1942

Hei anak muda...

Ada kisah yang ingin aku tuturkan
Tentang pemuda bernama Adnan
Lahirnya di Sungai Ramal
Gugurnya di Pasir Panjang

Hei anak muda...

Tumpah darahnya penuh keberanian
Dari jasad yang berjiwa kental
Walau terkubur tanpa tanda
Terpahat namanya pada tugu sejarah

Hei anak muda...

Adnan telah tinggalkan cintanya pada nusa
Untuk kamu teruskan
Untuk kamu laungkan
Untuk kamu pertahankan

Hei anak muda...

Hari ini... ayuh semua
Bangkitkan Adnan dalam dirimu
Bangkitkan semangatnya dalam perjuanganmu
Menjulang tinggi lambang merdeka....

m@tmin_SOLJAR
14.2.2014

Sunday, January 26, 2014

Tentang Buku : Qalam Kalbu






Semalam saya sempat membaca Novel Qalam Kalbu karya Sri Rahayu. Novel terbaru yang saya beli 2 Minggu lepas. Karya ini telah mendapat tempat kedua dalam Sayembara Penulisan Novel, Cerpen Dan Puisi ITBM-PENA-BH yang baru diumumkan. Aneh juga rasanya apabila saya memilih untuk mendapatkan novel ini terlebih dahulu berbanding Novel D.U.B.L.I.N karya Wan Nor Azriq Wan Mokhtar yang mendapat tempat pertama. 

Selain tertarik dengan paparan kulit novel ini, sinopsis yang digarapkan juga sedikit sebanyak membuatkan saya tertarik dengan novel ini. Membaca novel ini bagaikan seorang penyiasat yang mencari sebuah jawapan. Jalan cerita yang menarik dan mengangkat keindahan seni Kaligrafi Islam, Silat, dan juga seni lukis. Cuma di akhir cerita, pencarian Muhammad Azim dalam novel ini seolah-olah tidak tercapai sepenuhnya.

Menariknya lagi, saya ingatkan Ganchong adalah nama satu tempat di luar negara. Rupanya saya tersilap, Ganchong dalam novel ini adalah sebuah mukim yang wujud di Negeri Pahang. Satu maklumat yang baru untuk saya. 

Tidak rugi untuk memiliki novel ini dan amat sesuai untuk bacaan  keluarga. Qalam Kalbu adalah karya Sri Rahayu yang kedua saya miliki selepas Bimasakti Menari. Kedua-duanya bagi saya adalah karya yang amat bagus dan ada tarikan yang tersendiri. 

Sinopsis : 

Muhammad Azim pemuda mithali si pencari jawapan. Surat-surat lama tinggalan bapanya membingkar akar leluhur. Branwynn Gwill, seorang perempuan suruhan yang hidup pada tahun 1881 di sebuah rumah sakit jiwa di London telah berutus surat kepada seorang pemuda bangsawan dari Pahang, Tun Ahmad Basil ibnu Tun Hassan perwira; titik ini mengheret Muhammad Azim dan gurunya, Haji Mus'ab ke Kota London.

Perkelanaan Muhammad Azim dan Haji Mus'ab ke Kota London menemukan satu demi satu kejutan. dengan mencantumkan serpihan kemusnahan keluarga dan menemukan jalan untuk kembali ke pangkuan ayahnada dan bondanya dan menemukan penawar untuk kalbunya?


m@tmin
Battle Control Station
27.1.2014




 




Wednesday, December 25, 2013

Catatan Hujung 2013.....


Hanya beberapa hari lagi tahun 2013 akan berakhir dan lembaran 2014 akan bermula.

Seperti biasa, ada sasaran yang akan dilakarkan. Ada matlamat yang dibulatkan. Ada cita-cita yang ditekadkan. Namun kali ini, Matlamat,Sasaran dan Cita-cita telah dipaterikan lebih awal iaitu pada 1 Muharam 1435H (5 November 2013) yang lepas. Sampai masanya Tahun Baru Islam saya gunakan.

Merenung kembali perjalanan sepanjang  tahun 2013, ianya bukanlah satu perjalanan yang mengecewakan. Ada yang dicapai dan ada yang tidak. Namun saya sedar ianya bukan satu pengakhiran dan tidak semua dalam dunia ini akan kita dapat atau capai. 

Apa jua yang berlaku, banyak hikmah yang tersembunyi dan rahsia yang perlu kita gali untuk difahami. Tidak seharusnya rasa kecewa menguasai jiwa. Saya yakin Allah tahu apa yang terbaik untuk saya. 

Untuk hari-hari mendatang.... hanya satu yang saya harapkan. Semoga perjalanan dan perjuangan saya akan sentiasa dipermudahkan dan di bawah keredhaan Allah S.W.T.

Amin......

Pemandangan Masjidil Haram dari Jabal Nur...
(Antara detik-detik indah tahun 2013)

matmin
Putrajaya
26.12.2013

Monday, October 28, 2013

Kad Perubatan Cuepacscare

Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman menggunakan Kad Perubatan Cuepacscare baru-baru ini. Pengalaman yang saya rasa boleh membantu rakan-rakan tentang kepentingan Kad Perubatan terutamanya rakan-rakan penjawat awam. 

Melalui Cuepacs, satu pelan perlindungan dan pakej kad perubatan telah diperkenalkan khusus kepada semua kakitangan awam. Rakan-rakan boleh rujuk laman ini di cuepacscare. Penerangan yang lebih jelas dan terperinci boleh diperolehi.

Kita sering mendengar kata-kata  "malang itu tidak berbau" dan juga "sakit itu hadir tanpa amaran". Benar... kita tidak boleh menjangkakan apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Tapi apakah persediaan yang telah kita buat? Bukan untuk kita semata-mata tapi juga untuk keluarga kita?

Saya bernasib baik kerana diberi lintasan hati untuk memiliki Kad Perubatan Cuepacscare sejak tahun 2008 lagi. Itulah salah satu dari persediaan saya di saat genting jika diperlukan. Sebanyak RM 40 telah dipotong melalui gaji saya dan langsung tidak saya pedulikan selepas itu. Hanya sekeping kad yang saya terima dari Cuepacscare sentiasa saya bawa di dalam beg duit saya. 

Kesakitan kepala yang saya alami selama 2 minggu di hujung bulan Ogos 2013 rupanya bukan sakit yang biasa saya fikirkan. Saya telah mendapatkan pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital swasta di Jalan Klang Lama. Saya disahkan terkena penyakit sinus dan telah berlaku jangkitan kuman di bahagian belakang kepala dan telinga. Saya dinasihatkan oleh doktor untuk membuat pembedahan kecil bagi membuang sinus dan kos pembedahan dianggarkan sebanyak RM 16000.

Saya terkejut dan saya bertanya jika saya ada pilihan lain. Doktor kata jika tidak buat pembedahan berkenaan, saya perlu sentiasa memakan ubat dalam tempoh yang lama bagi menghilangkan sinus. Memandangkan kos yang saya rasa amat tinggi bagi saya, saya bertanya jika saya ada pilihan lain dan doktor mencadangkan saya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Tapi pembedahan di hospital kerajaan pastinya akan mengambil masa yang lama memandangkan bilangan pesakit yang begitu ramai.

Pihak hospital swasta berkenaan bertanyakan saya sekiranya saya memiliki insuran atau kad perubatan dan saya memaklumkan yang saya mempunyai Kad Perubatan Cuepacscare yang saya tahu hospital swasta ini adalah salah satu daripada panel Cuepacscare. Pihak hospital terus berhubung dengan Cuepacscare dan saya telah dimasukkan ke wad selama 5 hari. Pembedahan kecil yang mengambil masa 4 jam telah berjaya dijalankan oleh doktor pakar E & T. Itulah salah satu kelebihan hospital swasta apabila tidak perlu berhadapan dengan temujanji yang lama dalam mendapatkan rawatan dan pembedahan.

Selepas pembedahan, hanya satu perkara yang masih saya bimbangkan. Berapakah bayaran yang tidak dilindungi oleh Cuepacscare yang saya perlu bayar. Sebelum pembedahan, doktor yang terlibat telah memaklumkan kepada Cuepacscare yang pembedahan ini hanya melibatkan kos yang ditanggung oleh Cuepacscare sahaja.

Memang cuak apabila berhadapan dengan situasi ini . Bil dari pihak hospital saya telah terima dan... Alhamdulillah... dari RM 16800 yang dikenakan oleh pihak hospital, saya hanya perlu membayar sebanyak RM 3++ sahaja. Saya sekali lagi mendapatkan rawatan susulan (rawatan selepas pembedahan) di hospital swasta ini dan sebanyak RM 800 telah dikenakan kepada saya. Sekali lagi saya bernasib baik, kos ini juga turut ditanggung oleh Kad Perubatan Cuepacscare. Cuma saya perlu bayar dahulu dan buat tuntutan balik dengan Cuepacscare. 

Hasil dari pengalaman ini saya ringkaskan Kad Perubatan Cuepacscare seperti berikut :

1. Sesuai untuk mereka yang mahukan rawatan di Hospital Swasta dengan kos yang paling minimum.
2. Mempunyai banyak panel di seluruh negara cuma tidak segah panel hospital bagi Prudential.
3. Mudah untuk berurusan dengan Cuepacscare walau melalui telefon (setakat ini).
4. Urusan Hospital dengan Cuepacscare kadang-kadang memerlukan kita membayar deposit dalam jumlah tertentu. Pada mulanya saya diminta membayar deposit RM 4000 kepada hospital sebagaimana yang terkandung dalam 'Guarantee Letter'yang dikeluarkan oleh Cuepacscare bagi menampung kos yang tidak ditanggung oleh pihak Cuepacscare. Saya berjaya berunding dengan pihak hospital berkenaan dan hanya perlu membayar RM 250 sahaja.





Saya tidak berniat untuk mempromosikan kad ini bagi mendapatkan keuntungan. Langsung tidak mendapat komisen pun. Cuma saya ingin berkongsi sebuah pengalaman dalam menggunakan Kad Perubatan Cuepacscare ini. Terpulang kepada rakan-rakan untuk membuat pilihan. Setakat ini saya mempunyai 2 Kad Perubatan untuk perlindungan saya dan keluarga. Saya seperti rakan-rakan juga yang mahu memberikan yang terbaik untuk saya dan keluarga.


m@tmin
28.10.2013
Jln. Klang Lama






Friday, October 25, 2013

Piala Malaysia 2013 : The Red Warriors vs ATM - MAGIS Tarian Sang Kijang





Antara perlawanan bola sepak yang benar-benar mendebarkan. Tahniah TRW. Jangan sesekali berputus asa dan terus mara.....
Cukup kata-kata Akhbar Sahari menceritakan segalanya....
Bagaikan kisah dongeng dahulu kala apabila Sang Arjuna menderita di awal cerita tetapi bangkit menjadi raja.. Itulah gambaran di Kota Bharu yang hampir lumpuh akibat 2 gol awal ATM, Namun senjata terakhir menjadi penamat cerita

~ Akbar Sahari, Nadi Arena
 m@tmin -26.10.2013