Monday, August 30, 2010

SALAM KEMERDEKAAN

Alhamdulillah, hari ini adalah Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53 dan aku masih dapat menghirup udara kemerdekaan di bumi bertuah ini. Semoga kemerdekaan ini akan dapat dikekalkan, Insyaallah...

Namun demikian, setakat mana penghayatan kita terhadap kemerdekaan yang kita miliki. Aku tertanya-tanya apakah hanya pada kibaran bendera yang akhirnya terbiar lusuh dan rabak? Atau hanya pada kibaran bendera di kereta yang akhirnya bertaburan di jalan raya? Atau pun juga penghayatan kemerdekaan hanya ketika letupan bunga api yang akhirnya lenyap bersama kelam asap...

Malam semalam aku kecewa apabila kebanyakan siaran TV lebih banyak menyiarkan cerita-cerita hiburan yang  kosong. TV2 nampaknya prihatin dengan menyiarkan filem Sarjan Hassan. Malangnya TV3 pula menyiarkan filem Fong Sai Yuk, arrghhh benci betul..

Pada pemerhatian aku, kita hanya berbangga dengan program-program mengibarkan bendera semata-mata menggambarkan semangat patriotik tapi kita lupa untuk menanam semangat patriotik ini dalam diri kita dengan lebih berkesan. Kita lebih pentingkan luaran sahaja dengan mengabaikan aspek dalaman yang lebih penting.. Akibatnya, ramai anak-anak kita yang tidak memahami makna kemerdekaan yang sebenar.

Sempena kemerdekaan ini semoga kita semua dapat meningkatkan lagi kesetiaan kepada negara dan berusaha memeliharanya tidak kira apa yang berlaku... Semoga semangat Tuk janggut, Tok bahaman, Abdul Rahman Limbung dan pejuang-pejuang bangsa meresap ke dalam jiwa kita semua. Semoga keberanian Mat Kilau, Leff. Adnan dan Dol Said terpahat kukuh pada hati kita.



NEGERI INI, ANAK
Negeri ini, anak adalah tanah hijau penuh mahsul
terlalu pemurah dan saksama pada tiap warga yang berjasa
yang rela memberikan keringat serta setia untuk bumi tercintanya.
Usah kau persoalkan tentang derita milik siapa di negeri kaya
dan kesuraman sekejap siapa pula menjadi dalang
kalau tiba-tiba terdengar laungan dari bukit penuh gelap
itu hanyalah lolongan sang pertapa yang lemas ditikam bayang!
Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan
yang telah melahirkan ribuan pahlawan.
Rela memilih terbuang dari berputih mata,
kerana baginya, mati itu cuma sekali dan
tidak harus sia-sia.
Mereka tidak rela ini negeri tercinta
jadi kuda tunggangan atau dipekosa warga tidak bernama.
Meski darah dan tulang jadi gantian.
Kerana baginya:
negeri adalah tanah
adalah air,
adalah api,
adalah angin.
Adalah maruah,
adalah permai,
adalah berani,
adalah susila.
Adalah segala-galanya.
Dan hari ini, kata keramat itu dilaungkan.
Tanpa mengira kulit atau warna,
tampuk atau asal, percaya atau agama:
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Di negeri ini anak,
mari kita hidup tanpa curiga atau rasa berbeza.
Siapa di sini adalah warganya,
kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah.
Darahnya tetap merah.
Usah dilebarkan jurang atau mencipta kelam.
Mari kita dirikan harapan dan teguhkan kesetiaan.
Marsli N.O
17 Jun – Julai 1988
Dari antologi: Di Atas Mimbar Merdeka, terbitan DBP 1989

 SALAM MERDEKA............

SELAMAT HARI LAHIR PUAN AZLINA....

Selamat Hari Lahir Puan Azlina...

Semoga hidup akan lebih bermakna di bawah rahmat ilahi dan kebahagian sentiasa milikmu. Terima kasih kerana sanggup berkongsi asam garam kehidupan bersama-sama...

"Aku ingin mencintaimu dengan sederhana… seperti kata yang tak sempat diucapkan kayu kepada api yang menjadikannya abu… Aku ingin mencintaimu dengan sederhana… seperti isyarat yang tak sempat dikirimkan awan kepada hujan yang menjadikannya tiada"

                                                                                                                                         (Khalil Gibran)

Saturday, August 28, 2010

Tahun Ke-10

Alhamdulillah, diri masih berkesempatan untuk mengharungi Ramadhan yang mulia ini. Sepanjang berada di KL bermula tahun 2000 hingga 2009, hati selalu rindukan kemeriahan di kampung semasa berbuka dan ketika menunaikan Solat Terawih. Namun tahun ini nyata berbeza, kerinduan kepada suasana kampung terubat sama sekali.

Seronok berbuka bersama-sama kariah di surau kawasan kediaman yang baru 8 bulan diduduki. Kanak-kanak riang berlari selepas Solat Terawih, jemaah yang mudah mesra bertanya khabar dan berkongsi cerita. Terasa ikatan yang harmoni dikalangan penduduk di sini sekaligus menghilangkan rasa ragu-ragu yang wujud ketika membeli apartmen disini. Ini juga bermakna, perasaaan ini hanya wujud selepas 9 tahun mengharungi kehidupan di bandaraya KL.

Namun demikian, hati merasa kecewa dengan kehidupan di kota yang  serba moden dan gaya hidup yang mengejar kemajuan. Akibatnya ikatan ukhuwah antara insan (lebih-lebih lagi orang melayu & muslim) telah terurai dan semakin menjauh. Menjalani kehidupan yang tidak mengenal nama jiran sebelah dan tidak bertegur sapa begitu meresahkan seolah-olah hidup bermasyarakat tidak wujud.

Apakah ini harga yang perlu dibayar untuk hidup di kotaraya yang moden dan cuba berlari seiring arus kemajuan?

Friday, August 20, 2010

BILA BUTA SEJARAH

Akhir-akhir ini kecewa dengan kenyataan sesetengah pihak terutamanya ahli politik. Kenyataan melulu dan membabi-buta membelakangi sejarah lampau. Sejarah yang sepatutnya dijadikan iktibar untuk kelangsungan perpaduan, malangnya diketepikan kerana kepentingan politik.

Sedar atau tidak, tahap intelektual CSL ternyata berada pada tahap yang paling rendah dan buta sejarah. "Adil" bukan hanya setakat "sama rata" maksudnya, tetapi juga "meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul" menurut kamus Dewan Edisi Keempat.

Kenapa masih lagi mahu menanam rasa prejudis terhadap Bangsa Melayu yang sanggup melepaskan haknya untuk berkongsi dengan bangsa lain? Kenapa masih lagi mahu mencabar kesabaran bangsa Melayu?

Ingin juga bertanya pada CSL, bintang mana yang tersemat dihati beliau yang menjadi falsafah perjuangan. Bintang Berlima atau Bintang pecah 14? Jika Bintang Berlima, nyah kamu dari bumi Malaysia ini...

Berikut luahan sejarawan negara yang kecewa dengan sikap segelintir bangsanya yang buta sejarah BERITA HARIAN (20 OGOS 2010). Terima kasih Tan Sri.


 Kenapa perlu bertelagah sedangkan kita boleh hidup bersama? Gambar kredit kepada blog ini..

Tuesday, August 10, 2010

SALAM RAMADHAN AL- MUBARAK...

Selamat Berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat...

Semoga bulan yang penuh berkat ini akan menjadi medan buat kita semua untuk membersihkan hati, mensucikan jiwa, mempertingkatkan amal ibadat dan memohon keampunan kepadaNya...


Jika ada salah dan silap harap sahabat-sahabat semua maafkan....

Jumpa lagi...