Monday, August 30, 2010

SALAM KEMERDEKAAN

Alhamdulillah, hari ini adalah Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53 dan aku masih dapat menghirup udara kemerdekaan di bumi bertuah ini. Semoga kemerdekaan ini akan dapat dikekalkan, Insyaallah...

Namun demikian, setakat mana penghayatan kita terhadap kemerdekaan yang kita miliki. Aku tertanya-tanya apakah hanya pada kibaran bendera yang akhirnya terbiar lusuh dan rabak? Atau hanya pada kibaran bendera di kereta yang akhirnya bertaburan di jalan raya? Atau pun juga penghayatan kemerdekaan hanya ketika letupan bunga api yang akhirnya lenyap bersama kelam asap...

Malam semalam aku kecewa apabila kebanyakan siaran TV lebih banyak menyiarkan cerita-cerita hiburan yang  kosong. TV2 nampaknya prihatin dengan menyiarkan filem Sarjan Hassan. Malangnya TV3 pula menyiarkan filem Fong Sai Yuk, arrghhh benci betul..

Pada pemerhatian aku, kita hanya berbangga dengan program-program mengibarkan bendera semata-mata menggambarkan semangat patriotik tapi kita lupa untuk menanam semangat patriotik ini dalam diri kita dengan lebih berkesan. Kita lebih pentingkan luaran sahaja dengan mengabaikan aspek dalaman yang lebih penting.. Akibatnya, ramai anak-anak kita yang tidak memahami makna kemerdekaan yang sebenar.

Sempena kemerdekaan ini semoga kita semua dapat meningkatkan lagi kesetiaan kepada negara dan berusaha memeliharanya tidak kira apa yang berlaku... Semoga semangat Tuk janggut, Tok bahaman, Abdul Rahman Limbung dan pejuang-pejuang bangsa meresap ke dalam jiwa kita semua. Semoga keberanian Mat Kilau, Leff. Adnan dan Dol Said terpahat kukuh pada hati kita.



NEGERI INI, ANAK
Negeri ini, anak adalah tanah hijau penuh mahsul
terlalu pemurah dan saksama pada tiap warga yang berjasa
yang rela memberikan keringat serta setia untuk bumi tercintanya.
Usah kau persoalkan tentang derita milik siapa di negeri kaya
dan kesuraman sekejap siapa pula menjadi dalang
kalau tiba-tiba terdengar laungan dari bukit penuh gelap
itu hanyalah lolongan sang pertapa yang lemas ditikam bayang!
Negeri ini, adalah tanah luas sesayup pandangan
yang telah melahirkan ribuan pahlawan.
Rela memilih terbuang dari berputih mata,
kerana baginya, mati itu cuma sekali dan
tidak harus sia-sia.
Mereka tidak rela ini negeri tercinta
jadi kuda tunggangan atau dipekosa warga tidak bernama.
Meski darah dan tulang jadi gantian.
Kerana baginya:
negeri adalah tanah
adalah air,
adalah api,
adalah angin.
Adalah maruah,
adalah permai,
adalah berani,
adalah susila.
Adalah segala-galanya.
Dan hari ini, kata keramat itu dilaungkan.
Tanpa mengira kulit atau warna,
tampuk atau asal, percaya atau agama:
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
Di negeri ini anak,
mari kita hidup tanpa curiga atau rasa berbeza.
Siapa di sini adalah warganya,
kerana meski putih atau hitam, darahnya tetap merah.
Darahnya tetap merah.
Usah dilebarkan jurang atau mencipta kelam.
Mari kita dirikan harapan dan teguhkan kesetiaan.
Marsli N.O
17 Jun – Julai 1988
Dari antologi: Di Atas Mimbar Merdeka, terbitan DBP 1989

 SALAM MERDEKA............

No comments:

Post a Comment