Monday, February 7, 2011

Liverpool Vs gagal - Demo dok akey jale soghe

Bravo The Reds... Liverpool 1 - Chel-C 0

Rasa lenguh dan sakit badan setelah memandu kereta dari Kelantan ke KL selama 14 jam tiba-tiba sahaja hilang. Terima kasih kepada ubat Raul Meireles . The Kops, ayuh terus bangkit mendaki puncak.

GAGAL....  rakan-rakan semua pastinya pernah merasa pahitnya kegagalan dan terasa hinanya diri ketika terjatuh. Dan jika dilihat dari sudut positif mereka yang berjaya itu adalah mereka yang berjaya bangkit setiap kali terjatuh atau gagal.

"Kegagalan bukan bermakna anda tidak mencapai apa-apa.Ia bermakna anda telah mempelajari sesuatu" - Kata Pujangga...

matmin




  




Monday, January 31, 2011

Kampung Atau Bandar

Teratak Bonda...

Satu pertanyaan membuatkan saya tersenyum... " Macamana orang Bachok boleh hidup tanpa pasaraya atau kompleks membeli-belah"?

Soalan ini saya yakin timbul kerana latarbelakang kehidupan yang berbeza.. Saya andaikan sahabat saya membesar di sebuah kotaraya yang besar dan penuh pusat membeli-belah manakala saya membesar di sebuah desa yang sarat dengan kedai-kedai kopi dan hanya ada kedai runcit yang kecil. Untuk keperluan yang lain seperti kasut sekolah contohnya penduduk kampung saya perlu keluar ke pekan kecil atau pun ke Bandar Kota Bharu. Jelas perbezaan yang ketara antara saya dan sahabat saya ini disebabkan ruang kehidupan yang dijalani semasa membesar.

Sebagai orang kota pastinya selesa dengan kehidupan yang moden dan serba canggih serta jenama seperti  Secret Recipe, Baskin Robbins, dan macam-macam lagi. Orang kampung seperti saya pula selalunya lebih selesa dengan nasi berlauk, nasi kerabu atau laksam sebagai sarapan pagi.

Saya juga sentiasa mengingatkan diri agar tidak mengutuk sahabat-sahabat dari kota kerana tidak dapat menyesuaikan diri cara kehidupan kampung kerana saya sedar saya pun bukanlah pandai untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan kotaraya. Dalam soal makan contohnya, Selera saya masih lagi kepada masakan kampung walaupun sekarang ini bekerja di kota.

Pertembungan Kampung dan Bandar bukanlah satu persoalan yang besar bagi saya. Sejujurnya saya masih suka dengan kehidupan yang sederhana di kampung. jauh dari hiruk pikuk kesesakan dan tekanan kehidupan kota. Mungkin juga kerana di kampung saya terikat dengan memori dan kenangan semasa kecil yang saya jalani. Mungkin juga kerana saya selesa dengan cara hidup di kampung. Disamping itu saya juga suka berjumpa dengan kawan-kawan serta orang-orang tua dikampung sambil bertanya khabar dan berkongsi cerita.

Namun saya akur atas takdir ilahi kerana berada di kotaraya untuk mencari rezeki. Dengan itu kehidupan kampung dan bandar seolah-olah bukanlah satu masalah bagi saya. Alhamdullilah, hari ini saya berkesempatan untuk menyedut udara ketenangan yang ada di kampung. Cuti selama seminggu akan digunakan sepenuhnya untuk mengunjungi sanak saudara dan juga memenuhi jemputan kenduri dari sahabat handai.

Sekali lagi Teratak Bonda akan menjadi bumbung untuk berteduh dan hamparan untuk beradu.... alangkah amannya.......














Friday, January 7, 2011

Nasib INTERLOK....

Ha..haha...haha...Sekali lagi hati tergelak dengan tingkah laku orang politik. Nampaknya ramai antara mereka berkuasa dan nampak cerdik, malangnya memiliki pemikiran yang sempit lalu mendorong membuat keputusan yang juga kurang cerdik dan tidak semestinya betul.

INTERLOK... karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain kembali menarik perhatian ramai. Wujud dakwaan dari mereka yang tidak cerdik bahawa karya ini bersifat perkauman dan mengancam ketenteraman antara kaum. Mengapa sekarang baru dibangkitkan perkara ini? Mengapa tidak semasa karya ini memenangi tempat saguhati semasa menyertai Peraduan  Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka (1967)? Selepas lebih 30  tahun karya ini terbit barulah muncul dakwaan dangkal ini... pelik bukan?

Apa maksud INTERLOK ? Tidak pandai untuk mengulas maksudnya. Mungkin blog ini boleh memberi pemahaman yang lebih baik.

Dakwaan INTERLOK karya yang bersifat perkauman  serta menghina kaum-kaum tertentu nyata telah disanggah oleh mereka yang bergelar Prof, Dr. dan juga penggiat seni sastera negara. Tulisan Dr. Mawar mungkin boleh mengulas dengan lebih akademik lagi. Klik Sini.

Mereka-mereka yang mendakwa karya ini bersifat perkauman sepatutnya membaca dan menghadam karya ini dalam aspek yang lebih luas dan mendalam.Bukan hanya sekadar membaca tanpa memahami maksud sebenar disebalik baris-baris kata. Ingatlah karya ini walaupun bukanlah buku sejarah tetapi elemen sejarah adalah kuat mengikat karya ini kerana berlatarkan zaman awal 1990 an hingga kemerdekaan 1957. Novel ini memberi gambaran sebenar hidup masyarakat sebelum ini serta keadaan perpaduan kaum yang wujud dan nyata berbeza pada hari ini.
Berapa banyak lagi kebenaran yang hendak kita sembunyikan daripada generasi muda kini? Tidak cukupkah lagi generasi sekarang ini yang sudah luntur jati diri dan terhakis semangat patriotik? Jangan kerana sikap kurang cerdik sesetengah mereka ini maka hakikat sebenar yang pernah wujud sebelum ini hendak dihapuskan. Janganlah nanti kerana buta sejarah generasi akan datang menyalahkan generasi sekarang ini kerana keputusan-keputusan dan tindakan yang kurang cerdik.

Kepada ahli politik... tidak semua perkara boleh dipolitikkan. Janganlah nanti ada mereka-mereka yang akan rasa bersalah kerana telah memberikan amanah  kepada orang yang salah. Masih teringat dengan serangkap puisi yang diperolehi semasa menonton filem Memphis Belle.. " Janganlah nanti, masa depan menjadi hampa dan masa lalu menjadi sia-sia"...

* Hanya pernah sekali membaca novel ini, tanpa disangka buku ini popular rupanya... hehe

07.01.11
PUTRAJAYA

Friday, December 31, 2010

2011


Selamat Menyambut Tahun Baru 2011...
Semoga hidup lebih bermakna dan diberkati....



m@tmin
1-1-2011

Sunday, October 31, 2010

Better Late Then Never

Tertarik dengan ulasan Mamat Khalid tentang Subjek Sejarah dalam ruangan Bersama Selebriti di Berita Minggu.

"Beritahu mereka sejarah yang sebenar! Bagaimana asimilasi pembentukan sosiobudaya dari Srivijaya hingga ke alaf baru. Sekarang tiada siapa pun ketahui akan sejarah betapa besarnya institusi Raja-raja Melayu yang mula-mula mendakap agama Islam lalu menurunkan nikmat itu ke seluruh rumpun bangsa. Tiada kesedaran akan peristiwa itu.

Kebesaran kerajaan Melaka yang menjadi tumpuan hingga ke benua Eropah. Terapkan pengetahuan pedih bagaimana anak bangsa disembelih dan dirobek dada oleh kuasa luar yang menapak atas kelemahan perpaduan yang terjadi.


Kita jeritkan semula bagaimana kezaliman Bintang Tiga bermaharajalela ingin menukar perlembagaan negara ke arah komunisme. Mereka bukan ‘cool’ seperti mana yang cuba diceritakan oleh sesetengah golongan.

Pelajar dan masyarakat harus disedarkan dengan kegagahan perjuangan pahlawan-pahlawan dulu." 


#  Masih terkenangkan tentang peristiwa di pejabat tidak lama dulu, seorang anak muda dari Johor tidak kenal siapa itu Si Bongkok Tanjung Puteri. Juga kecewa dengan remaja sekarang ini yang lebih mengingati tarikh lahir artis berbanding tarikh penubuhan Malaysia..

# Tahniah kepada kerajaan kerana sedar dan bertindak walaupun sedikit terlewat.. apa2 pun Better Late Then Never..

Jumpa lagi...

Friday, October 29, 2010

Erti Kemerdekaan...

Sedang asyik mengemas ruang kerja tiba2 terlihat sebuah puisi Tun Mahatihr. masih terbayang pengalaman pertama kali mempersembahkan puisi di hadapan khalayak sempena Forum Kemerdekaan Sidang D semasa di INTAN Bukit Kiara....

Masih terbayang saat itu...

Dan jatuhnya hanya beberapa hari
lalu terbelenggu 400 tahun
suatu tempoh yang amat payah dan panjang
pengabdian dan kehilangan yakin diri
50 tahun kita berdiri menebus maruah
merdeka mentafsir diri sendiri dan bangga pada apa yang ada
masih mahukan harga itu diperjudikan?
Kita tidak akan mempertaruhkan nasib itu
di tangan kita masih panas
keringat, tulang belulang dan tenaga fikir
menghayun langkah membina wawasan
waspada harimau di matahari terbenam
tidak akan hilang belangnya
mengisytiharkan dirinya yam tuan tunggal sejagat
yang lemah longlai
yang gagah gergasi
akan meruntuhkan segala sempadan rimba
atas nama membina perkampungan dunia
mahukah kita biarkan
mereka menginjak-injak dan menghancurkan taman kecil permai ini?
Rimba tanpa sempadan
atas nama “kebaikan” menyelinap menusuk matafikir
hidupan dunia ketiga terpaku takjub dengan slogan
‘kasih alam
ketelusan hukum
keadilan timbangan
kesatuan warga dunia
kebebasan mutlak’
lalu beraraklah anak-anak bumi ini meraikan kesatuan alam
dengan sorak sorai
‘runtuhkan sempadan!
runtuhkan sempadan!
runtuhkan korupsi
runtuhkan kolisi’
dan di belakang mereka tidak melihat
bayang-bayang belenggu halimunan
yang lebih ganas daripada segala yang ganas
kita pun akan kehilangan harga dan erti diri
mengapa diundang mereka
dan mereka tiba-tiba berada di depan pintu rumah kita?
Kita telah bangun dengan segala kepayahan
membuka belantara dan mempertahankan warisan
kita tafsir merdeka mengikut acuan sendiri
merdeka kita dengan fikiran
dan kita pertahankannya dengan fikiran
dunia sudah melihat kita
dunia sudah menghormati kita
Timur dan Selatan mengharapkan kita
mereka datang berbondong-bondong mencari bumi ini
perlindungan dan erti hidup
mengapa kita sendiri masih belum mahu melihat
dengan tangan masih terbelenggu ke belakang
dan hanya sesekali menjulangnya
mengikut rentak genderang dunia matahari terbenam?
Bijak pandai pernah berpesan
‘mereka yang tidak belajar dari sejarah mereka didera
dengan mengulangi kesalahan-kesalahan mereka berkali-kali’
sejarah mengajar kita betapa kukuh sesuatu bangsa
akan tetap kecundang bila ditikam dari belakang
mengapa kita mula halalkan sejarah hitam berulang?
Nasib kita genggam
dengan tangan sendiri dan segala kudrat kurniaan
kita jalin kekuatan sulaman kasih bangsa
kita didihkan dia dengan tradisi semangat juang
maruah bangsa kita julang ke mercu alam
kita bangunkan suatu tamadun cinta damai
di sini kita ajar anak-anak kita erti sayang
di sini kita tawarkan dunia menaja kemanusiaan
dan bukan alat peperangan
dunia belajar erti merdeka sejati
mempelajari dan menerima segala perbezaan
merdeka menafsir hidup tanpa paksaan kuasa
Di sini kita yakin segalanya boleh
Di sini kita yakin segalanya boleh
Itulah erti kemerdekaan
Perjuangan ini mesti diteruskan.
DR. MAHATHIR MOHAMAD

(Puisi : The best word in the best order) Samuel Taylor

Friday, October 8, 2010

MENCARI PERSAMAAN DALAM PERBEZAAN...

Rumah Terbuka Apartmen Mutiara 3 Sept. 2010
(Bukannya susah mencari persamaan dalam perbezaan)

Akhir-akhir ini, banyak pihak yang berbicara tentang Hak Sama Rata tanpa mengambil kira di mana sebenarnya bumi yang dipijak. Tanpa sedar rupa-rupanya ramai yang buta sejarah dan tidak pernah mengambil iktibar dari peristiwa yang pernah berlaku.

Entah sama ada tidak tahu atau sengaja melupakan usaha pemimpin-pemimpin terdahulu dalam membentuk sebuah negara merdeka, PERLEMBAGAAN yang telah dirangka adalah untuk menjaga Hak Bumiputera Tanpa Mengabaikan Kaum-Kaum Lain. Bukannya susah untuk memahami apa yang terkandung dalam PERLEMBAGAAN ini, namun disebabkan adanya agenda tersendiri oleh pihak-pihak tertentu maka kebenaran seolah-olah ditutup.

Ada yang menuntut hak sama rata sedangkan dalam masa yang sama turut perjuangkan perkara yang sebaliknya. Contoh yang jelas adalah BAHASA. Masing-masing menuntut untuk menggunakan Bahasa Sendiri sedangkan Bahasa Rasmi di Malaysia adalah BAHASA MELAYU. Akibatnya ramai yang mengaku warganegara Malaysia tetapi langsung tidak faham dan bertutur dalam Bahasa Melayu.

Sebenarnya bukanlah susah mencari persamaan dalam  perbezaan yang wujud, yang penting sikap bertolak ansur, memahami sejarah, saling menghormati dan semangat patriotik yang tinggi  menjadi asas dalam mewujudkan kerukunan antara kaum yang wujud.

Sekadar berkongsi dengan semua. Jumpa lagi.....

m@tmin
9 Sept 2010