Tuesday, September 9, 2014

Tentang Buku : Maharaja Wang

Awal tahun 2006 saya berpeluang mendapatkan Buku Jutawan Di Planet Jupiter hasil air tangan dan idea Azizi Ali. Seorang jutawan dan tidak salah saya katakan beliau juga adalah seorang pakar kewangan di Malaysia. Maklumat yang disampaikan sangat menarik dan penuh dengan tips yang berguna.

Penghujung Ogos 2014 yang lepas, saya tergerak mendapatkan pula Buku Maharaja Wang. Buku yang kedua dari Azizi Ali selepas  8 tahun. Sebuah buku yang sangat berguna dan sarat dengan pandangan serta idea yang bernas dari Azizi Ali. Tetapi untuk membaca buku ini seseorang perlu berlapang dada. Terdapat beberapa saranan dan pandangan beliau mungkin tidak begitu baik buat seorang penasihat kewangan atau ejen insurans. 

Masih sama seperti Buku Jutawan Di Planet Jupiter, Buku Maharaja Wang juga menekankan kepada KONSEP MENYIMPAN atau MEWUJUDKAN DANA SIMPANAN sekurang-kurangnya 3 BULAN GAJI. Sesetengah pandangan atau cadangan beliau dalam buku ini seolah-olah dilihat begitu ekstrem. Sejujurnya  saya kurang bersetuju dengan pendapat beliau berkaitan insurans. Namun terpulang kepada kita untuk menilai dan mengikutnya.  

Pada saya Azizi Ali telah berjaya menyampaikan input dengan berkesan dan tidak sukar untuk difahami bagi pembaca di pelbagai peringkat. Bukan sekadar berdasarkan pengalaman tetapi juga fakta-fakta yang tidak kita ketahui sebelum ini.

Maaf jika ada yang berpendapat membaca buku ini adalah untuk menjadi kaya semata-mata. Membaca buku ini tidak semestinya untuk menjadi kaya, tapi sangat bermakna untuk meningkatkan pengetahuan dalam pengurusan kewangan. Kaya pun tiada guna jika gagal untuk menguruskan kewangan. Sampai masa kaya boleh jadi kayap.....  

4 hari membelek buku ini saya dapat simpulkan sedikit tips untuk dikongsikan dengan rakan-rakan pembaca. 

1. Menyimpan dahulu sebelum melabur.
2. Wujudkan dana simpanan 3 bulan gaji @ lebih.
3. Pendapatan tambahan - Sumber Pendapatan Pelbagai.
4. Jangan terlalu bergantung/percayakan penasihat kewangan 100%.
5. Belajar dan belajar lagi ilmu berkenaan kewangan.

Saya paling terkesan apabila beliau menyatakan  untuk bahagia NIKMATILAH SETIAP SAAT DALAM HIDUP.

Jika rakan-rakan ingin menambah ilmu tentang pengurusan kewangan, dapatkanlah buku ini. Ianya berbaloi. Benar wang bukanlah segala-galanya dalam hidup dan wang tidak boleh membeli bahagia. Tetapi tanpa wang adakah kita boleh hidup? Adakah kita boleh bahagia? Rakan-rakan tahu jawapannya.....

Antara kaya wang dan kebebasan kewangan saya memilih KEBEBASAN KEWANGAN....
InsyaAllah.... fasa 1 akan berjalan lancar.....


Foto dari FB BookPlanet


m@tmin
Opis Ambo
10.9.2014

Tuesday, June 17, 2014

Haiku buat Dia.....


Gugur Kemboja
Memadam Mimpi Indah
Terlerai Duka

Al-Fatihah...

(Damailah..... 13.6.2014)


m@tmin
Sandakan
17.6.2014

Thursday, May 8, 2014

Tentang Buku : Melayu Hilang Di Dunia

Semasa di Pesta Buku Antarabangsa 2014 di PWTC, saya telah berkesempatan bertemu seorang 'lejen' dalam dunia perfileman dan sastera iaitu Abang Khalid Salleh. Tidak mengenali beliau secara dekat, tetapi cukup untuk saya simpulkan yang beliau mudah mesra dan boleh buat lawak. Tiba-tiba terlintas di fikiran antara adegan-adegan lakonan beliau yang saya masih ingat dalam filem JOGHO.Teringat saat bersesak-sesak menonton VCD ini dalam bilik seorang rakan semasa di UM.

Alhamdulillah dapat sedikit waktu bersembang dengan beliau dan hasilnya 2 buku tulisan beliau saya beli siap bertandatangan. Boleh diketegorikan antara koleksi buku saya yang paling berharga. Saya ingin ceritakan sedikit tentang buku beliau yang pada saya amat sensitif bagi sesetengah pihak iaitu MELAYU HILANG DI DUNIA. Sepengetahuan saya,  karya yang diterbitkan pada 2011 ini tidaklah pula diharamkan oleh pihak berkuasa. Bagi saya tidak salah untuk beliau meluahkan rasa dan pendapat beliau.

Sejujurnya saya juga sama seperti beliau, bimbang dengan masa depan MELAYU. Sejak akhir-akhir ini banyak pihak yang mempertikaikan tentang MELAYU tanpa pertimbangan yang sewajarnya. Abang Khalid Salleh nyata begitu marahkan pemimpin negara dan ahli-ahli politik di atas kegagalan mempertahankan MELAYU dalam tulisannya ini. Ada benarnya bagi saya. Namun begitu, kegagalan mempertahankan MELAYU tidak boleh diletakkan 100% keatas pemimpin negara dan ahli-ahli politik berkenaan. Sebahagiannya adalah kerana SIKAP ORANG MELAYU itu sendiri.

Cubalah  orang MELAYU selami balik sejarah lampau. InsyaALLAH di situ akan adanya petunjuk. Rujuk balik pepatah-pepatah lama. Ada sindiran yang perlu kita rungkaikan. Berbalik pada buku MELAYU HILANG DI DUNIA. Ada antara isinya yang dilihat berulang-ulang contohnya Waadat antara Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana.

Saya amat percaya, anak-anak MELAYU ramai yang tidak tahu apa itu Waadat antara Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana malah mungkin juga tidak pernah mendengar nama Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana. Seperti saya sarankan tadi, selamilah balik sejarah lampau. Sejarah Waadat antara Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana. Di sini adanya ikatan yang mampu dileraikan dalam meneruskan kelangsungan MELAYU. Pentingnya peranan pemimpin dan juga peranan rakyat. Jika kedua-duanya (pemimpin dan rakyat) gagal dalam memainkan peranannya, selama itulah MELAYU akan terhakis sedikit demi sedikit.

Buku beliau mungkin dilihat RASIS. Tapi itulah hakikatnya apabila berada di MALAYSIA yang mempunyai kepelbagaian kaum. Apabila anda bercakap tentang sesuatu kaum/bangsa, anda akan dilihat RASIS. Kita tidak boleh lari dari hakikat ini. Kepelbagaian kaum boleh menjadi bom jangka kepada negara jika kita pilih untuk bersengketa tetapi akan menjadi indah apabila kita cuba mencari titik persamaan.

Buku ini boleh dijadikan bacaan semua pihak lebih-lebih lagi ahli politik untuk memahami perkara pokok yang ingin diketengahkan iaitu kelangsungan MELAYU. Ianya satu luahan yang tidak boleh dipandang ringan oleh kepimpinan negara. 

Sebelum saya berundur, hidup dalam masyarakat majmuk yang mempunyai pelbagai kaum sebenarnya MEMERLUKAN SATU PERSEFAHAMAN dan TOLAK ANSUR. Rakyat MALAYSIA bukanlah bodoh untuk memahami perkara ini. Peranan pemimpin negara dan parti politik mampu merealisasikan sebuah negara yang aman damai. Tapi dengan syarat, fahami terlebih dahulu konsep ADIL dan HAK KESAMARATAAN dalam konteks negara MALAYSIA. 

Ada boleh bersetuju dan anda boleh saja menolak pendapat penulis buku MELAYU HILANG DI DUNIA ini. Terpulang pada kita semua untuk menilai. 





m@tmin
Jalan Klang Lama
8.5.2014









Tentang Perjuangan....


"Perjuangan kamu hari ini, belum tentu mereka akan mengerti. Walau peritnya terpaut duri, walau sakitnya tersandung kaki. Biar saja dihujung nanti, mereka sedar manisnya mimpi".




Pic : Brader Aie punya air tangan.


m@tmin_SOLJAR
Opis ambo
3.5.2014

Saturday, March 15, 2014

Tentang Buku : Jajahan Bonda

Jajahan Bonda, sebuah kisah masyarakat yang saya anggap amat dekat dengan diri saya. Sarat dengan mesej kekeluargaan, keindahan hidup bermasyarakat dan ketabahan mengejar mimpi. Jajahan Bonda wujud  dari sikap tidak berputus asa dan telah sebati dalam diri penghuninya. Sikap inilah yang menjadi teras pada  novel ini.

Karya kedua garapan Md Nizar Parman yang saya miliki selepas novel Silir Daksina nyata tidak mengecewakan saya. Saya akui, kejutan di bahagian akhir menyebakkan sedikit perasaan. Tidak saya jangkakan.

Watak-watak yang digarapkan pula adalah watak yang sentiasa ada disekeliling kita. Saya percaya kewujudan watak-watak sebegini dalam masyarakat banyak mempengaruhi diri kita.

Semaun, seorang yang tidak berpelajaran  namun mempunyai visi dan cita-cita yang besar.

Mahanum, seorang yang tabah.

Kodin, watak yang jarang ada dikalangan anak muda kita iaitu seorang yang bercita-cita menjadi petani moden walaupun mempunyai ijazah.

Pak Long, watak negatif yang sering ada dalam masyarakat kita.

Mahali, contoh seorang yang tidak kuat dan mudah berputus asa.

(sekadar menamakan beberapa watak utama)

Terima kasih kepada penulis kerana telah membawa saya kembali ke 'kampung halaman' saya dan bukanlah satu kerugian memiliki novel sebegini berbanding novel yang berpaksikan cinta 2 insan semata-mata.



 m@tmin
Jln. Klang Lama
16.3.2014


Friday, February 28, 2014

Tentang Buku : Sang Pemimpi

Beberapa hari yang lepas saya berkesempatan membelek Sang Pemimpi karya Andrea Hirata. Karya kedua dalam Tetralogi Laskar Pelangi. Karya yang telah lama diterbitkan, namun baru kini berkesempatan menghayatinya.

Satu karya yang jujur tentang anak-anak Belitong. Karya yang memaparkan perjuangan dalam mengejar mimpi. Jika rakan-rakan mahu mengerti tentang persahabatan sejati, kekeluargaan dan cita-cita, hadamlah buku ini. Jika rakan-rakan sedang mencari karya yang jujur, dapatkanlah buku ini.

Anda tidak akan jumpa Tengku Adam atau Ariana Rose dalam karya ini, hanya Watak  Ikal, Arai, Jimbron dan Bang Zaitun yang berjuang mencapai mimpi. Saya tidak mahu memaparkan sinopsis Sang Pemimpi, rakan-rakan boleh gunakan pakcik 'google' untuk membaca sinopsisnya. Saya yakin anda tidak akan kecewa apabila karya ini berada ditangan.

"tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati" Arai.


m@tmin
27.2.2014
A'Famosa Resort, Melaka


Thursday, February 13, 2014

Leftenan Adnan - 14.2.1942

ADNAN - 14.2.1942

Hei anak muda...

Ada kisah yang ingin aku tuturkan
Tentang pemuda bernama Adnan
Lahirnya di Sungai Ramal
Gugurnya di Pasir Panjang

Hei anak muda...

Tumpah darahnya penuh keberanian
Dari jasad yang berjiwa kental
Walau terkubur tanpa tanda
Terpahat namanya pada tugu sejarah

Hei anak muda...

Adnan telah tinggalkan cintanya pada nusa
Untuk kamu teruskan
Untuk kamu laungkan
Untuk kamu pertahankan

Hei anak muda...

Hari ini... ayuh semua
Bangkitkan Adnan dalam dirimu
Bangkitkan semangatnya dalam perjuanganmu
Menjulang tinggi lambang merdeka....

m@tmin_SOLJAR
14.2.2014