Tuesday, January 22, 2013

HILANG FOKUS......

FOKUS......

“The sun’s energy warms the world.
But when you focus it through a magnifying glass it can start a fire.
Focus is so powerful!”
Alan Pariser

Beberapa hari kebelakangan ini saya sedar tentang suatu perkara yang saya harus renungkan. Suatu perkara yang saya harus titik beratkan dan suatu perkara yang harus saya selami iaitu FOKUS. Kebelakangan ini saya rasa terlalu banyak perkara yang saya ingin lakukan dan saya dapati tidak semua mampu saya lakukan dalam satu-satu masa. Disebabkan cuba untuk melakukan semua perkara dalam satu-satu masa, banyak perkara yang saya usahakan hanya siap separuh jalan atau lambat. Saya juga sering hilang FOKUS  dan hanyut dalam perkara-perkara yang remeh dan membuang masa. Bukan sahaja tugasan kerja  di pejabat yang terganggu dan  tertangguh, tetapi juga masa bersama keluarga, masa untuk hobi dan minat serta masa untuk aktif dalam komuniti.

Saya sedar sebenarnya saya telah hilang FOKUS disebabkan mahu melakukan semua perkara dalam satu-satu masa dan sering hanyut dalam perkara yang remeh dan membazir masa.. Ada pendapat mengatakan bahawa orang yang cemerlang adalah mereka FOKUS dalam melaksanakan kerja, teratur menyusun jadual, mengetepikan perkara-perkara yang remeh dan tidak penting dan sentiasa memenuhi ruang waktu dengan perkara yang bermanfaat. 

Atas alasan untuk cuba mendapatkan kembali FOKUS  terhadap kerja, masa yang lebih untuk keluarga, hobi dan masayarakat serta memanfaatkan setiap detik dalam hidup, saya cuba mencari tips atau petua dari bahan bacaan dan juga melayari blog. Rupanya banyak petua dan tips yang boleh kita pelajarai dan amalkan. Disini saya kongsikan beberapa tips yang saya perolehi dan sesuai untuk saya pegang dalam mendapatkan kembali FOKUS terhadap kerja dan juga lebih FOKUS untuk hidup yang penuh bermakna.

1. Menulis senarai tugas harian di pejabat dan pastikan tugasan siap dalam tempoh waktu kerja. Dengan senarai yang ada, seseorang itu akan menyiapkan satu-satu tugas dengan FOKUS dan mengikut keutamaan.

2. Kurangkan menonton TV. bagi saya TV adalah candu. Saya pernah terbaca tentang beberapa orang yang berjaya memberikan tips kejayaan dan salah satu daripadanya elakkan menonton TV dan akan mempunyai lebih masa untuk melakukan perkara-perkara lain.

3. Bangun awal di waktu pagi dan luangkan waktu itu bersama keluarga seperti ke taman, jogging dan bersarapan diluar. Khabarnya waktu pagi iaitu sebelum jam 11 pagi  adalah waktu yang sesuai untuk FOKUS dan bersama keluarga. Saya tidak tahu akan keberkesanannya dan tidak salah kalau ingin mencuba apatah lagi pada hari cuti dan hujung minggu.

4.  Cari ruang untuk bersendiri setiap hari beberapa minit dan renung kembali perkara-perkara yang telah dilakukan.

5. Solat berjamaah di Surau/Masjid di kawasan perumahan. dengan itu, anda akan mempunyai masa untuk hidup bermasyarakat.

6. Manfaatkan waktu cuti atau hujung minggu untuk melakukan apa yang kita minat/hobi. Ini akan memberi ruang untuk kita lebih FOKUS pada kerja pada hari-hari biasa.

7.  Meninggalkan pejabat sebelum jam 7 malam (tetapi pastikan tugasan semua telah disiapkan). Ini kerana FOKUS dan prestasi untuk kerja sudah menurun.Ada pendapat mengatakan manusia hanya FOKUS  pada kerja dalam tempoh 8 jam dan selepas itu FOKUS akan menurun yang mana mungkin disebabkan kepenatan badan atau otak.

Semoga hidup kita semakin FOKUS dan menyebarkan jutaan kebaikan kepada semua.

m@tmin
23.1.2013


Sunday, January 13, 2013

Solat Itu Penawar Penyakit Jiwa.....


Pernahkah anda mengalami keadaan yang hidup anda seolah-olah seperti  hilang arah tuju, hilang punca dan jiwa rasa kekosongan yang amat sangat. Saya percaya ramai yang terperangkap dengan situasi ini. Saya pernah melalui saat-saat  ini dan kadang-kadang situasi ini datang bertandang tidak mengira waktu.

Sejujurnya saya  berpendapat kewujudan situasi negatif ini adalah berpunca dari jiwa yang tidak tenang dan terbelenggu dengan 1001 masalah yang tidak berkesudahan. Apabila jiwa seseorang itu tidak tenang dari dalam maka secara automatik perlakuan fizikal luaran yang ditunjukkan adalah lebih menjurus kepada perkara-perkara negatif.

Ramai diluar sana tercari-cari apakah penawar bagi mengubati jiwa yang tidak tenang, mengisi ruang jiwa yang kosong dan mengelakkan dari masalah. Dalam dunia yang moden sekarang ini saya tertanya-tanya  wujudkah penawar sedemikian? Berapa kosnya? Yang palig penting apakah iannya berkesan ?

Sedar atau tidak, sebenarnya penawar untuk penyakit-penyakit jiwa ini begitu hampir dengan kita. Malangnya kelemahan semulajadi manusia yang sering lupa dan tidak sedar membuatkan penawar ini jauh walau hakikatnya begitu dekat dengan kita. Apakah penawar itu? Jawapannya adalah SOLAT .

Kenapa SOLAT ? Bila seseorang muslim itu sedang dalam kekosongan jiwa, tidak tenang dan tenteram ianya perlu kembali kepada PENCIPTA iaitu ALLAH. Bagaimana caranya? Berwuduk dan mendirikan SOLAT. Kerana SOLAT itu seolah-olah kita berhadapan  dengan ALLAH dan semasa SOLAT diidirikan jiwa sesorang itu akan hanya menumpukan 100% kepada ALLAH.

Sesungguhnya rahsia SOLAT itu amat besar dan hanya dapat kita capai dengan mengerjakan SOLAT. InsyaALLah... dengan mendirikan SOLAT jiwa akan tenteram dan jiwa yang kosong akan terisi dengan penuh makna.  Dengan SOLAT, masalah yang membelenggu akan ditunjukkan jalan penyelesaian kerana semasa dalam SOLAT seseorang itu dapat memohon bantuan daripada ALLAH.. Percayalah ALLAH itu Maha Adil pada umatnya.

p.s : Tulisan ini adalah sebagai peringatan untuk diri saya sendiri  dalam mendirikan SOLAT 5 WAKTU dan semoga mampu mengalirkan kebaikan kepada semua. Ingatlah SOLAT itu adalah penawar bagi penyakit jiwa....

 m@tmin
14.1.2013












Tuesday, January 8, 2013

Liga Super 2013 : Pahang VS Johor Darul Takzim (8.1.2013)


Sepanjang 90 minit menyaksikan perlawanan Liga Super 2013 anatara Pahang vs Johor Darul Takzim yang berakhir dengan kemenangan kepada Pahang 3-2 menewaskan skuad Harimau Selatan, ada beberapa pengajaran yang saya perolehi.

1. Jangan yakin sangat.
2. Jangan sesekali berputus asa.
3. Kemenangan hanya ditentukan selepas wisel penamat.
4. Permainan bola adalah permainan berpasukan bukan individu. Ramai bintang yang berkerlipan belum tentu menyinar di bawah lampu limpah Stadium Darul Makmur.
5. Tiada jalan pintas untuk berjaya.

 Bila dikaitkan dengan kehidupan, ternyata untuk mencapai sesebuah kejayaan kita perlu keyakinan yang amat tinggi, jangan berputus asa sehingga ke garis penamat dan tiada jalan singkat untuk berjaya. Jatuh/gagal/kecewa berkali-kali bukanya penamat bagi sebuah perjuangan. Seseorang yang berjaya bangkit dari kekalahan/kegagalan/kekecewaan itulah kejayaan yang sebenar.

# Kebangkitan yang menarik Tok gajah.......

(seluruh rakyat Cik Siti Wan Kembang pastinya tersenyum girang walaupun hakikatnya Kelantan belum lagi menempuh perlawanan pertama Liga Super)

# Gomo Kelate Gomo....


m@tmin
9.1.2013

Monday, December 31, 2012

HARI-HARI TERAKHIR TAHUN 2012...


Alhamdulillah, 2012 bakal tiba ke penghujung dan lembaran baru 2013 bakal menjelma. Seperti biasa, penghujung tahun bakal menjadi medan untuk umat manusia bermuhasabah diri dan menilai pencapaian sepanjang tahun 2012. Seperti biasa juga ramai yang akan menanam azam dan impian baru.

Banyak status fb dan blog yang saya baca mengulas tentang pencapaian sepanjang tahun serta mula menyenaraikan azam dan impian untuk tahun 2013.  Bagi saya, individu yang menanam azam dan impian adalah individu yang berjiwa besar. Saya tertarik dengan beberapa orang kenalan dan penulis blog yang  telah menyenaraikan azam dan impian untuk tahun 2013. Antara azam dan impian yang menarik bagi saya adalah Mencapai Kebebasan Kewangan. Beberapa bulan kebelakangan ini saya lebih tertarik meneroka blog-blog pelaburan hartanah dan kebanyakan mereka ini menetapkan sasaran untuk Mencapai Kebebasan Kewangan. Satu azam dan impian yang bagi saya bukan sesuatu yang mudah kerana ianya mungkin mengambil masa setahun atau mungkin juga bertahun-tahun.

Namun demikian ianya bukanlah sesuatu yang mustahil. Gantungkan apa sahaja azam dan impian walau setinggi gunung, kerana manusia yang tiada azam dan impian adalah manusia yang telah mati. Saya sering mengingatkan diri bahawa dalam merealisasikan azam dan impian, prinsip-prinsip berikut harus dipegang.

Perancangan yang rapi, Usaha, Disiplin, Ketabahan Hati, Semangat tinggi dan yang paling penting Memanjatkan Doa pada Allah. InsyaAllah akan dipermudah dan dimakbulkanNYA.

Sejujurnya banyak azam dan impian saya sepanjang tahun 2012 tidak tercapai. Banyak faktor yang mempengaruhinya dan ianya bukanlah sesuatu yang kekecewaan yang perlu dipendam di lubuk hati.  Untuk tahun 2013 saya cuba menyenaraikan azam dan impian yang saya cuba capai. Saya cukup keberatan untuk menyenaraikannya di sini. Cukup saya nyatakan yang saya ingin menjadi HambaNYA Yang Terbaik dan Insan Yang Terbaik untuk keluarga dan mereka disekeliling saya. InsyaAllah.....

2013... lembaran baru sebuah perjalanan.....

m@tmin
31.12.12





Thursday, December 27, 2012

Fotografi Potret - Sekeping Foto 1001 Cerita

Dalam bidang fotografi, Genre Potret adalah antara genre yang diminati oleh ramai jurufoto profesional mahupun amatur. Dengan peralatan kamera yang kamera yang sedia ada,  fotografi potret manusia menjadi pilihan saya. Fotografi potret pada saya mampu memaparkan seribu satu perasaan yang berbeza-beza. Samada foto itu dirakam secara spontan ataupun penggayaan model, seringkali foto yang dihasilkan memaparkan impak yang berbeza. 

Untuk memahami fotografi potret mungkin laman ini mampu memberikan sedikit kefahaman kepada rakan pembaca.


Berikut adalah foto potret yang sempat saya rakamkan menggunakan Kamera Olympus E520 & E-PL 1. 



" sekeping foto seribu satu cerita"

m@tmin
27.12.12





Saturday, December 15, 2012

RAJAGOPAL/FAM VS Lee Min Hu


Kata orang-orang tua :

"Kadang-kadang dalam hidup ini kita kena mengaku kesilapan yang telah kita buat. Dengan itu akan ada ruang untuk kita sentiasa memperbaiki diri. Bukan hanya mengalihkan kesilapan atau kegagalan itu kepada kesalahan orang lain". 

m@tmin
16.12.12



Friday, December 14, 2012

Morning Glory - Sisi Positif Di Tempat Kerja



Sejujurnya saya mengaku tahap kesihatan juga antara faktor yang boleh menjejaskan kehidupan seharian lebih-lebih lagi pada pekerjaan. Apabila dikhabarkan ujian darah perlu dilakukan kerana disyaki deman denggi, ianya bukanlah sesuatu yang cool. Alhamdulillah keputusannya negatif.

Dan pagi ini deman semakin pulih. Saya memilih untuk berehat dan menonton saluran HBO. Saya tertarik dengan sebuah filem arahan Roger Mitchell iaitu Morning Glory yang sedang ditayangkan. Para pelakonnya bukanlah pelakon yang terkenal kecuali Harisson Ford. Morning Glory adalah kisah seorang wanita bernama Becky Fuller yang mempunyai impian untuk menjadi penerbit di Syarikat Penerbitan Today. Memulakan langkah pertama sebagai penerbit di  IBS, dia bergelut dengan karenah kakitangan dan sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak atasan.

Cabaran demi cabaran yang diterima ternyata Becky Fuller tidak berputus asa. Dan usaha Becky Fuller ini berbaloi. Rancangan Daybreak membuat perubahan besar-besaran dan berhasil menarik ramai penonton sekurang-kurangnya 1.5 juta penonton yang disasarkan pengurusan atasan.

Filem ini membuka pandangan saya terhadap beberapa perkara positif yang boleh diterapkan dalam tempat kerja seharian.

1. Seorang ketua perlu sentiasa menjadi pendorong.
2. Menghargai individu di persekitaran kerja.
3. Perlu sentiasa berubah dengan idea-idea yang segar.
4. Mereka yang bermasalah perlu dikenalpasti dan diberikan suntikan semangat untuk berubah. 
5. Jika mereka yang bermasalah ini masih tidah berubah, buang barah ini dari ruang kerja. 
6. Suka dengan tugasan yang diamanahkan.
7. Menghargai detik-detik bersama dalam laksanakan tugasan.
8. Sentiasa berikan yang terbaik.
9. Sentiasa berusaha.

Banyak lagi sisi positif yang boleh dituliskan, namun cukup 9 perkara ini yang saya tidak nafikan ianya tidak semudah menulis disini berbanding melaksanakan. Ianya sesuatu yang memerlukan keberanian, kesungguhan, ketabahan dan keikhlasan. Tidak mustahil si kerdil yang lemah boleh bertukar menjadi gergasi yang gagah. Dengan memulakan langkah yang pertama biarlah masa yang membuktikannya.

 m@tmin
15.12.12