Thursday, July 18, 2013

Kembara 2 Tanah Suci - Rindu Untuk Kembali


Kebelakangan ini saya sering mengenangkan pengalaman ketika menjalani ibadah umrah  bersama ibu dan  isteri sebulan yang lepas. Masih segar bermain di minda pengalaman-pengalaman manis  bersama jemaah lain  ketika miqat untuk mengerjakan umrah, sikap Mutawif (Hj. Erman) yang menyenangkan, ketenangan semasa di Taman Syurga (Raudhah- Masjid Nabawi), perasaan sewaktu mendaki Jabal Nur yang berketinggian (+/-)800 meter pada jam 11 malam, kesempatan mengerjakan solat hajat di Gua Hira' dan juga Hijir Ismail, suasana semasa mengerjakan tawaf di Baitullah, kesempatan berpijak di 2 bukit Safa dan Marwah, mengunjungi Masjid Quba (Masjid Pertama yang dibina Nabi Muhammad (S.A.W) semasa Hijrah) dan suasana peniaga yang cuba menarik perhatian pelanggan dengan berbahasa Melayu.

Kenangan-kenangan yang berputar ini menguatkan azam saya untuk kembali sekali lagi. InsyaAllah jika tiada aral yang menghalang, saya berazam untuk kembali mengunjungi tanah suci Makkah dan Madinah dalam tempoh 5 tahun lagi. InsyaAllah.

Tetamu Allah.

Jabal Nur yang bercahaya walaupun tiada lampu yang dipasang sepanjang perjalanan.


m@tmin
19.7.2013

Wednesday, July 17, 2013

Ulang Tahun Ke-7

Semalam 17.7.2013 menandakan genaplah 7 tahun saya menyertai bidang kerjaya sekarang ini. Tempoh yang masih terlalu muda dan masih ada 26 tahun lagi perlu diharungi. Dalam tempoh yang muda ini banyak pengalaman pahit atau  manis yang membentuk diri pada hari ini.  Pengalaman bekerja dalam keadaan stress, kadang-kadang rasa tidak dihargai, rasa tidak dihormati, kepuasan berjaya menyelesaikan tugasan, saat-saat sedih bertukar jabatan, hilang arah apabila berhadapan dengan benda baru, gelagat Boss yang memeningkan, semangat setiakawan rakan sekerja dan karenah anak buah yang memerlukan kesabaran. Sebenarnya banyak lagi pengalaman yang ingin dicoretkan dan saya anggap pengalaman inilah yang akan memberikan kekuatan kepada saya untuk menempuh hari-hari mendatang.

Semalam juga saya sempat menatap foto-foto lama semasa kursus Diploma Pegurusan Awam (DPA).  Malahan ramai juga rakan-rakan yang berkongsi foto di FB sempena ulang tahun ke-7 ini. Sesuatu yang manis untuk mengimbas memori persahabatan bersama rakan-rakan Batch 1/2006. Memori bersama 3++ orang rakan seangkatan pastinya yang tidak dapat saya lupakan. Sekurang-kurangnya ketika ingatan saya masih sempurna. hehe

-Selamat Ulang Tahun Batch 1/2006 & Dahsyatians-
 

"If your actions inspire others to dream more, learn more, do more and become more, you are a leade". —John Quincy Adams

m@tmin
Putrajaya
18.7.2013

Friday, June 21, 2013

Top Photos Of The Day (Top POTD) 15.6.2013

Seringkali akan merasa kecewa apabila foto yang dimuatnaikkan ke FB Kelab DSLR/T Malaysia tidak terpilih sebagai Top Photos Of The Day (Top POTD). Namun rasa itu lenyap apabila terpilih walaupun jarang sekali berlaku. Akan mencuba lagi........





Top Photos Of The Day (Top POTD) 15.6.2013

Foto seorang kanak-kanak yang tertidur keletihan selepas mengerjakan umrah. Foto ini dirakamkan secara kandid di satu sudut berhampiran pintu masuk Masjidil Haram, iaitu Pintu Raja Abdul Aziz.

m@tmin
Putrajaya
21.6.2013

Monday, June 17, 2013

Travelog Dua Tanah Suci

Alhamdulillah, dengan izinNYA saya telah diberikan kesempatan untuk sekali lagi mengunjungi Tanah Suci Mekah dan Madinah selepas 28 tahun berlalu. Syukur saya telah diberikan kesempatan untuk membesar di tanah yang penuh berkat ini walaupun hanya selama 6 tahun dan kembali menjejakkan kaki di bumi para anbiya ini.

Perasaan yang sukar untuk digambarkan apabila berada di Tanah Suci ini. Banyak perkara yang dialami dan alhamdulillah saya dan keluarga selamat pergi dan pulang. Semasa di Mekah, Masjidilharam sedang dalam proses pembesaran menyebabkan berlaku sedikit kesesakan semasa tawaf dan saie. Kecekapan Syarikat Andalusia banyak memudahkan kami sekeluarga menjalani ibadat umrah dan berkesempatan melawat tempat-tempat bersejarah yang sinonim dengan kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

Sepanjang 12 hari berada di 2 Tanah Suci ini, saya sempat merakamkan lebih kurang 1000 keping foto. Saya lebih suka membiarkan foto yang tidak seberapa ini menceritakan kembara saya dan saya doakan sahabat-sahabat semua diberikan kemudahan dan kesempatan untuk mengunjungi Tanah Suci mekah dan Madinah ini. Amin.






Baitullah
 Pintu Masuk Masjidil Haram (Raja Abd Aziz)

 Menara Masjid Nabawi

 Masjid Nabawi pada waktu subuh

 Makam Nabi Muhammad S.A.W

 Perkuburan Al-Baqi (Bersebelahan Masjid nabawi)

 Makam Syaidina Hamzah (Di Jabal Uhud)

 Jabal Rahmah

 Jabal Thur (tempat persembunyian Rasulullah dan Abu Bakar semasa Hijrah)

 Sebahagian daripada Banjaran Jabal Uhud

Halaman pintu masuk ke Masjid Nabawi


Semoga perjalanan ini akan memberi seribu rahmat buat saya dan keluarga serta bukanlah yang terakhir untuk kami.. Amin...

m@tmin
Putrajaya
17.6.2013

Wednesday, May 15, 2013

Doa seorang GURU....


Selain doa dari Ibu dan Bapa, saya yakin DOA dari GURU juga menjadi sebahagian daripada kekuatan untuk saya berada di tempat yang saya duduki sekarang ini. Jasa dan doa seorang GURU ternyata tidak terkira nilainya. Saya tidak mampu membalasnya dengan wang mahupun harta. Hanya doa untuk kesejahteraan mampu saya berikan kepada GURU-GURU yang banyak membantu saya.

Saya ingin berkongsi sekeping foto yang penuh makna. Foto yang memaparkan doa seorang GURU kepada saya dalam mengejar kegemilangan. 14 tahun yang lepas,  Cikgu Zamri Abd Rahman telah menitipkan doa ini di dalam majalah sekolah saya dan titipan ini akan saya simpan untuk selamanya. Terima kasih cikgu.

Terima kasih kepada semua GURU-GURU yang telah mendidik saya dan SELAMAT HARI GURU kepada semua GURU-GURU di seluruh dunia.

m@tmin
Putrajaya
16.5.2013

Monday, April 29, 2013

Di Sebalik Jalur Pelangi.... (Edisi PRU13)


Jumaat lepas saya berkesempatan mengerjakan solat Jumaat di salah sebuah masjid di Shah Alam. Intipati khutbah yang disampaikan oleh tuan imam lebih kepada perpaduan. Saya tertarik dengan kata-kata tuan imam tentang warna pelangi dan perbezaan fahaman dalam politik.

Dalam kehangatan suasana PRU13, tuan imam menekankan supaya semua pihak berlapang dada dalam berpolitik. Kematangan seseorang individu samada bakal YB mahupun penyokong kuat parti amat penting. Perbezaan pastinya wujud kerana sokongan terhadap parti yang berbeza.

Saya berpendapat, tidak kira apa sahaja pendapat yang digenggam, paparkanlah  sikap dengan penuh berhemah, lontarkanlah kata-kata dengan lembut dan berlapanglah dalam perdebatan. Jangan sesekali dibalas keji dengan keji, cacian dengan cacian dan keburukan dengan keburukan. Sesungguhya KEBAIKAN itu akan hanya terbit dari alunan sikap dan kata-kata yang terpuji.

Perbezaan yang wujud bukanlah bermakna perlunya berlaku perpecahan. Andai perbezaan itu dipacu selaras dengan prinsip-prinsip ISLAM, pastinya PERBEZAAN itu menjadi PEMANGKIN kepada sebuah PERPADUAN.

Saya kongsikan kata-kata tuan imam yang masih saya ingat hingga hari ini.

"Jadikanlah PERBEZAAN itu seperti WARNA PELANGI. Sesungguhnya PERBEZAAN WARNA itulah yang menjadikan PELANGI ITU INDAH dipandang".

m@tmin
Putrajaya
29.4.2013

Thursday, April 11, 2013

Dekat tapi jauh....


Aneh rasanya....
Apabila dekat tetapi jauh
Berpaut erat melingkari....
Pada sejalur rasa
Pada keping-keping kenangan...

Aneh rasanya....
Apabila dekat tetapi jauh
Diselubungi sang hitam.... 
Pada hati yang putih
Pada jiwa yang bersih...

Aneh rasanya...
Dekat tetapi jauh
Jauh tetapi dekat
Bersimpang siur kekalutan
Dalam ruang yang kosong...

Akan tiba satu masa
Munculnya rasa
Harus kembali pada fitrahNYA....
Sebelum terlewat....
 
 m@tmin
Jln. Klang Lama
11.4.2013