Saturday, December 31, 2011

MUH : POKOK....


LEMBARAN 2012....... semoga perjalanan lebih bermakna......

Tersesat malu bertanya
Tak tahu tak tahu ke mana
Terlalu banyak alasannya
Ku terdiam
Menyusur di kaki lima
Terlihat bayang wajah kelmarin
Tersentuh hati bagai luruh

Chorus
Tanya sama pokok apa sebab goyang
Jawab angin yang goncang
Terbang burung terbang
Patah sayap diduga
Seandainya rebah
Kau masih ada

Terlalu mahu dan mahu
Terlupa apa yang perlu
Terlalu banyak alasannya
Duduk terdiam

Tak mudah namun tak susah
Terserah atas pilihan
Tersentuh hati mula luruh

Ulang Chorus
Kau masih ada
Kau masih ada
Kau masih ada
Kau masih ada

Terlalu mahu dan mahu
Terlupa apa yang perlu
Terlalu banyak alasannya
Duduk terdiam

Tak mudah namun tak susah
Terserah atas pilihan
Tersentuh hati mula luruh
Tanya sama pokok


m@tmin
Jln. Klang Lama


Tuesday, December 27, 2011

Tujuan Hidup....

Sekadar Hiasan

Masih sayup kedengaran di minda sepatah ayat oleh Imam Zaidi (Masjid  Mukim But, Ketereh) semasa khutbah Hari Raya Korban tahun ini. Ianya tentang TUJUAN HIDUP....

"Tujuan Hidup Lebih Aula (utama) Dari Alat untuk Hidup".

Hanya kita sahaja yang tahu apa tujuan hidup kita. Apa pun, semoga hidup kita diberkati Allah S.W.T....Amin....


m@tmin
Jln. Klang Lama
27.12.11


Sunday, December 18, 2011

Dosa Lalu...





Sekadar hiasan.


Dosa Lalu


Jangan sesekali berpaling...
Pada dosa-dosa lalu...


Biarkan  cair bagai salju...
Terbang hilang bagai debu...
Hanyut jauh ke hulu...

Untuk sebuah lembaran baru....




m@tmin
Villa Bestari, Sg. Pusu
20 Sept 2011




Tuesday, December 13, 2011

Kepimpinan & Soljar....

" Apakah pelajaran yang paling bernilai yang diperolehi semasa kamu menjadi Reserve Officer Training Unit (ROTU) ?"

Itulah salah satu soalan temuduga yang saya ingat sewaktu temuduga PTD enam tahun yang lepas... bermacam-macam jawapan yang diberikan namun bukanlah jawapan yang panel temuduga berkenaan kehendaki... buntu....

Akhirnya panel berkenaan memberi jawapan yang beliau kehendaki. Ringkas sahaja, iaitu KEPIMPINAN... 

Kata beliau lagi, kamu beruntung mempunyai pengalaman berbeza dari rakan-rakan kamu yang lain, tidak ramai yang sanggup korbankan hari minggu mereka untuk ROTU. Aspek KEPIMPINAN yang telah  kamu pelajari ini kamu gunakanlah dengan sebaik mungkin andai kamu terpilih nanti... Alhamdulillah........

Hari ini kata-kata itu masih menjadi sebahagian jiwa saya.

Apa yang saya ingin kongsikan bersama teman-teman adalah KEPIMPINAN yang saya perolehi ketika bersama ROTU.

1. Saya diajar untuk menjadi pemimpin yang pada masa yang sama dipimpin. Itulah keutuhan bagi sesebuah platun.
2. Seorang Platun Komander seharusnya  berani. Andai Platun Komander itu takut, platun akan lemah dan misi yang ditugaskan pasti gagal.
3.Seorang Platun Komander mesti mempunyai  kefahaman yang tajam serta mampu memberi arahan yang jelas.
4. Seorang Platun Komander tidak mudah menunding jari dan sanggup menerima tanggungjawab.
5. Seorang Platun Komander harus bijak mewujudkan kerjasama berpasukan.
6. Sebagai Ketua Platun, jangan sesekali meninggalkan anggota platun di belakang walaupun seorang. Harus bergerak bersama-sama dan bersatu.

Apa yang saya pelajari ini telah saya cuba adaptasikan dalam kerja saya seharian. Kadang-kadang ianya tersasar, itulah lumrahnya manusia. Namun peluang untuk terus mencuba belum tertutup, yang penting terus mencuba.
 


Foto kenangan sewaktu Fasa Berundur Khemah Tahunan ROTU UM pada tahun 2003 di Bentong..

Mungkin kegilaan saya pada Ketenteraan bukanlah satu perkara yang saya ingin banggakan. Anda semua ada impian, begitu juga saya. Namun jodoh saya bukan dengan Tentera. Apapun saya sedar hikmahNYA terlalu agung untuk saya pertikaikan.

Berbalik kepada KEPIMPINAN yang saya perkatakan tadi. Sebenarnya filem-filem ketenteraan yang ada dipasaran baik dulu mahupun sekarang boleh dilihat aspek kempimpinan yang saya sebutkan.

Filem terbitan Kerajaan Malaysia seperti Left. Adnan contohnya, lihat sahaja keberanian seorang perwira yang rela darahnya tumpah memipin Rejimen Askar Melayu Diraja  menentang kerakusan matahari timur.

Begitu juga filem perang terbitan negara Uncle Sam. Tidak dinafikan ianya sebahagian dari propaganda negara syok sendiri ini. Apa yang saya nak perkatakan adalah aspek KEPIMPINAN yang ada.


Filem Band Of Brothers : Kisah benar tentang Easy Company yang dipimpin oleh Left. Dick Winter semasa WW II. Keberanian dan kepimpinan  Left. Dick Winter diakui oleh anggota pasukannya. Semasa di medan pertempuran, beliau telah dinaikkan pangkat hingga ke Mejar. Kepimpinan Left. Dick Winter membawa kepada kejayaan pasukannya menumpaskan musuh dan kejayaan paling bermakna adalah ketika menawan Istana Hitler.



Filem We Were Soldier : Satu lagi kisah benar yang difilemkan. Tapi kali ini berlatar belakangkan Perang Vietnam. Sekali lagi lupakan propaganda US yang memang kalah dalam kempen di Vietnam ini. Filem ini mengisahkan tentang seorang pegawai tentera Left. Kol. Hal Moore yang memimpin satu pasukan 7th Cavalry regimen bertempur di Zon Xray (La Drong Valley).

Kata-kata beliau di bawah nyata menyerlahkan KEPIMPINAN seorang pegawai tentera yang hebat.

"I can't promise you that I will bring you all home alive. But this I swear, before you and before Almighty God, that when we go into battle, I will be the first to set foot on the field, and I will be the last to step off, and I will leave no one behind. Dead or alive, we will all come home together. So help me, God. "

Maaf kerana terlalu mengagungkan KEPIMPINAN yang ada dalam tentera. Cuma mahu berkongsi aspek positif yang wujud dalam tentera sambil mengenang saat-saat indah ketika berendam di sungai jam 4 pagi dan juga kegagalan saat membuat Serang Hendap Musuh.

Saya sangat-sangat menghargai pengalaman saat membuat Serang Hendap Musuh yang mana saya lalui pada 2 zaman yang berbeza. Malangnya kedua-dua misi ini GAGAL kerana saya tertidur.

Serang Hendap Musuh 1 (UM) : Sungai Tong Tahun 2001. Pada ketika itu saya sebagai Platun Komander telah tertidur dan misi pasukan telah gagal. Pagi itu, saya menjadi habuan Mejar Aziz Ghimau.......

Serang Hendap Musuh 2 ( Kursus DPA)  : PULADA Tahun 2007. Pada ketika itu saya bertindak sebagai Sarjan Platun. Semasa misi saya gagal mengkoordinasikan serangan dengan Ketua Platun gara-gara tertidur. Akibatnya, satu platun dilanyak oleh Kapten Mazlan Israel....

Sebelum berundur, kita semua adalah pemimpin, tidak kira terhadap diri sendiri, keluarga mahupun organisasi. Dan dari situlah daya kepimpinan amat diperlukan untuk berjaya. Walau bagaimanapun.... daya KEPIMPINAN bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi... Ianya adalah proses yang berterusan melalui pengalaman mahupun dipelajari.


m@tmin
Jln. Klang Lama
13.12.11


Monday, December 5, 2011

MIMPI (2)

"Antara jalan yang seribu... kamu cuma perlu pilih satu..."
Hakikat hidup bukan sesuatu yang mudah, namun juga bukan sesuatu yang susah.... Semoga sayap terus kembang di angkasa... demi mimpi-mimpi bintang.... amin....

MIMPI (2)

Mimpi ini
Yang terpasak pada hati
Bukan seperti mimpi-mimpi
Yang hadirnya di malam hari....

Mimpi ini
Perjuangannya  warna-warni
Untuk ditempuhi
Menyerah jangan sekali....


m@tmin
Jln. Klang Lama
5 Disember 2011


Saturday, November 19, 2011

Tangis.......

Entah mengapa saya lebih terkesan dengan tangisan Adik Siti Aishah berbanding tangisan PLASTIK AF... mungkin disebabkan adanya ketulusan dan kejujuran.... sebuah perjuangan untuk kejayaan...


Tahniah Adik Siti Aishah..... teruskan berlari mengapai pelangi....


Hampeh.... 


m@tmin
19 Nov. 2011


Friday, November 18, 2011

Garuda Di Kaki Harimau...

Julia Perez pun tidak bisa...
Manohara pun tidak bisa...
Sundel Bolong lagi tidak bisa....
Menghalang semangat harimau
Menusukkan kuku di dada Garuda...
.Mematahkan sayap-sayap Garuda...

Dan... pagi ini .... Garuda hanya ditapak kaki Harimau....
*Tahniah harimau... (MAS 1 - IND 0)
m@tmin (18 Nov. 2011)

Saturday, October 22, 2011

Law Kana Bainana...(Andai Rasulullah SAW Bersama Kita)

Ramadhan yang lepas saya tertarik melihat satu slot rancangan terbitan sebuah negara di asia barat yang telah disiarkan oleh TV9 seingat saya. Rancangannya begitu menarik dan  menggunakan tajuk "Andai Rasulullah SAW Bersama Kita". Setiap kali selepas bersahur saya pasti akan menonton rancangan ini. 

 

Setiap paparan rancangan ini begitu bermakna dan ada satu ketika jiwa saya sebak melihat pengakuan seorang wanita saat beliau ditanya Andai Rasulullah SAW Bersama Kita. (boleh baca tulisan kosmo dibawah).

 

Rancangan ini memberikan ruang untuk saya sedar akan kelemahan yang ada pada saya. Ya kelemahan saya yang kurang memberi perhatian kepada perkara-perkara remeh.

 

Situasi 1- Berhadapan dengan situasi buah epal yang jatuh di pasaraya, mungkin saya akan mengabaikannya dengan anggapan pekerja pasaraya boleh memungutnya. 

 

Situasi 2- Bersembahyang di sebuah surau R & R dan didapati sejadah dalam keadaan tidak tersusun/teratur. Mungkin saya abaikan sejadah itu dengan anggapan pekerja R&R boleh menyusunnya sedangkan itu kerja mereka. 

 

Kedua-dua situasi ini sering saya temui dalam kehidupan seharian dan telah dipaparkan oleh rancangan "Andai Rasulullah SAW Bersama Kita".

 

Saya sedar bahawa saya sering terlepas untuk berbuat kebajikan yang paling mudah. Bukan sekali tetapi banyak kali.

 

Saya juga bertanya dalam hati, apa yang akan saya lakukan atau inginkan "Andai Rasulullah SAW Bersama Kita". Terlalu subjektif............ cukup pada saya andainya diizinkan Allah saya ingin bersua dengan Rasulullah SAW dalam mimpi.... ya dalam mimpi... InsyaAllah...

 

 

KOSMO- Fenomena Law Kana Bainana




SEBIJI buah epal yang masak ranum dilihat berada di atas lantai sebuah pasar raya di Bandar Jeddah, Arab Saudi. Beberapa orang yang lalu lalang berhampiran tempat jualan buah-buahan dan sayur segar itu langsung tidak mengendahkannya.
Kemudian, apabila seorang wanita muda berjubah hitam lengkap berpurdah melalui kawasan tersebut, dia pantas mengangkat buah epal yang berada di lantai lalu diletakkan semula di tempat asalnya.
Tindakan wanita itu ternyata mengundang sekuntum senyuman buat seorang lelaki yang bersembunyi sambil memerhatikan situasi tersebut melalui kamera tersembunyi di satu sudut pasar raya itu.
Tanpa menunggu lebih lama, lelaki yang mempunyai lesung pipit di pipi itu bergerak untuk menemui wanita tersebut. Ucapan tahniah tidak lekang diucapkan kerana kelakuan baik yang ditunjukkan wanita berkenaan.
“Terima kasih saudari kerana mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW yang sudah pasti tidak akan suka seandainya nikmat atau rezeki dibiarkan terjatuh di lantai begitu sahaja.
“Soalan saya, seandainya Rasulullah SAW ada di hadapan saudari selama seminit, apakah yang mahu saudari ucapkan kepada Baginda?” demikian pertanyaan yang dilontar pengacara berkenaan sekali gus menusuk hingga ke lubuk hati paling dalam bagi sesiapa yang mendengarnya.
Tiada jawapan yang keluar dari bibir wanita itu melainkan mutiara jernih yang mengalir dari kelopak matanya. Sejurus menghela nafas, dia pantas mengungkapkan: “Ia satu soalan yang sukar. Duduk bersama Baginda adalah impian semua orang. Andainya ia berlaku, saya ingin meminta kepadanya agar membawa saya jauh dari dunia ini.”
Itu antara pengisian rancangan televisyen bertajuk Law Kana Bainana (Andai Rasulullah SAW Bersama Kita) yang dicetuskan oleh Ahmad Al Shugairi, 38, merangkap pengacara untuk program yang menjadi fenomena di Semenanjung Tanah Arab dan di serata dunia.
Program berbentuk dakwah itu bertujuan mengajak umat manusia untuk mengenali keperibadian mulia Nabi Muhammad SAW yang dilahirkan sebagai pembawa rahmat bagi sekalian alam.
Terbahagi kepada beberapa segmen, ternyata program itu mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan terutama bagi golongan muda yang semakin melupakan keagungan insan bernama Muhammad bin Abdullah itu.
Bagaimanapun, inisiatif yang diambil Ahmad bagi menerbitkan rancangan sedemikian membuktikan bahawa sebenarnya segala amalan dan sunnah Nabi SAW masih menjadi ikutan serta pegangan sebahagian umat Islam di dunia ini.
Antara segmen yang terdapat dalam rancangan itu seperti rakaman kamera tersembunyi untuk mengetahui tindakan seseorang individu dalam pelbagai situasi, temu bual dengan pelbagai tokoh dalam bidang tertentu termasuk yang bukan Islam mengenai pandangan mereka terhadap Nabi SAW dan penceritaan sirah-sirah Nabawiyah secara tidak langsung memberi kesan yang mendalam kepada penonton.

POPULARITI Ahmad menyebabkan dia sentiasa menjadi tumpuan lensa wartawan.



Pintu hati terbuka
Ironinya, Ahmad sendiri mengakui bahawa dia bukanlah seorang sheikh atau pendakwah yang memiliki ilmu agama yang luas dalam mengajak manusia mengenali Rasulullah SAW. Namun, rasa cinta yang menggunung tinggi terhadap Baginda SAW merupakan faktor utama dia berbuat demikian.
“Saya bukan seorang sheikh. Tetapi, apabila mula belajar untuk mengenali ketokohan Rasul Junjungan, saya terus jatuh cinta kepada Baginda dan berusaha mempelajari sirah-sirah yang menceritakan tentang keistimewaan Nabi Muhammad SAW,” ujar Ahmad ketika ditemu bual oleh akhbar The New York Times pada tahun 2009.
Menyingkap latar belakang Ahmad yang berasal dari Arab Saudi, dia pernah melalui zaman gelap sebagai seorang anak muda yang lalai daripada melakukan tuntutan agama.
Dilahirkan pada tahun 1973 dalam sebuah keluarga kosmopolitan yang kaya, Ahmad kemudian melanjutkan pengajian di sebuah kolej di Long Beach, California pada usia 17 tahun.
Bertitik tolak dari situlah, dia mula mengabaikan suruhan agama seperti tidak bersolat dan tidak berpuasa. Sama seperti anak muda lain, Ahmad lebih gemar menghabiskan masa dengan acara hiburan dan keseronokan. Merokok, berseronok dengan wanita dan meminum arak antara perilaku negatif yang pernah dilakukan pemuda itu.

AHMAD turun ke padang sendiri untuk rakaman dengan orang ramai.



Cuma, apabila mengambil keputusan untuk berkahwin pada usia 22 tahun, Ahmad berusaha menjalani kehidupan menurut ajaran Islam yang sebenar. Dia turut menyesali kehidupan bebas yang dilalui ketika remaja.
Rentetan itu, Ahmad bertindak kembali ke Arab Saudi di samping mahu menguruskan perniagaan milik bapanya. Namun, isterinya tidak mahu mengikut corak hidup Ahmad yang mula berubah ke arah lebih Islamik dan ia membuatkan pasangan itu mengakhiri perkahwinan mereka dengan perceraian.
Di sana, Ahmad mula belajar dengan seorang ulama bernama, Adnan al-Zahrani yang mendedahkan kepadanya tentang idea bahawa kekuatan Islam datang daripada kepelbagaian dan keterbukaan dengan cara-cara pemikiran yang baharu.
Buat kali pertama, Ahmad menemui satu cara untuk mengimbangi gelodak jiwanya yang berperang dengan kehidupan sendiri di Amerika Syarikat dan Arab Saudi.
Di Jeddah, Ahmad kemudian membuka sebuah kafe yang dinamakan Al-Andalusia untuk golongan muda mempelajari lebih lanjut tentang Islam menerusi koleksi buku-buku Islamik yang disediakan di kafe tersebut.
Sebelum menerbitkan rancangan Law Kana Bainana, Ahmad telah berjaya menarik perhatian dan menjadi inspirasi kepada ribuan pemuda pemudi di tanah Arab melalui program televisyen bertajuk Khawater (Pemikiran) sejak tahun 2004 hingga 2010.
Rancangan tersebut memberi tumpuan tentang bagaimana kehidupan Muslim pada masa dahulu dan zaman sekarang. Ia kemudian diiktiraf sebagai program paling berjaya di dunia Arab yang disiarkan sepanjang bulan Ramadan pada setiap tahun.

LOGO rancangan Law Kana Bainana yang menjadi fenomena di Tanah Arab.



“Orang Islam dahulu kala merupakan cendiakawan dalam pelbagai bidang termasuk sains, perubatan, astronomi dan matematik. Justeru, kita harus bangkit kembali untuk memastikan kegemilangan Islam akan terus berkekalan pada masa akan datang,” tutur Ahmad kepada Rahima al-Balushi, wartawan akhbar Times of Oman.
Bagi wartawan The New York Times, Robert F. Worth yang pernah menemu bual Ahmad, dia menganggap lelaki itu seorang bintang generasi baharu yang dikenali sebagai sheikh satelit.
“Menerusi beberapa rancangan televisyen yang diterbitkannya, Ahmad banyak membantu masyarakat dunia dalam meningkatkan pemahaman sebenar terhadap Islam yang sering dipandang serong.
“Pendekatan dakwah yang digunakan Ahmad sangat berhemah dan mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang didekatinya,” kata Robert.


m@tmin
Jalan Klang Lama

Monday, October 10, 2011






















Sekali lagi melalui satu hari yang tidak memberangsangkan. Benar-benar menawan minda dan jiwa bagaikan rantai yang membelenggu. Rohani dan jasmani begitu sendat dengan pelbagai perkara. Cuba untuk berfikiran positif dan artikel dari Blog Ini diharapkan mampu menyedarkan minda untuk terus berjuang.

"Put The Glass Down.." akan dipraktikkan hari ini tepat jam 5 petang....  semoga berjaya...

m@tmin


Sunday, October 2, 2011

Karipap-Karipap Cinta (Selepas tengok filem) - Tidak menarik & Merugikan


Tak rugi ke langgan cerita ni (Karipap-Karipap Cinta) kat Astro First?
Satu soalan yang telah dilontarkan oleh isteri saya sewaktu menekan butang langganan...

Soalan itu tidak saya jawab sehingga selesai menonton....

 "Satu cerita yang tidak menarik dan benar-benar merugikan RM 15 termasuk  + caj servis, dapat bil nanti bagitahu abang" kata saya dan isteri saya hanya melontarkan senyum sambil mempertikaikan kenapa watak Sarah sedemikian rupa.

"Entahlah" balas saya sambil pasang DVD Leftenan Adnan....


m@tmin
3 Okt 2011

Monday, September 26, 2011

Ceritera apa lagi kawan?



















Ceritera apa lagi kawan?
Mahu kau siulkan pada alam...

Ceritera apa lagi kawan?
Mahu kau dendangkan pada isi hutan...

Ceritera apa lagi kawan?
Mahu kau laungkan pada insan....

Ceritera apa lagi kawan?
Andai terlindung sebuah kebenaran...


m@tmin
PPUM
26 Sept 2011

Thursday, September 22, 2011

Kembara Sekeping Hati...

    Foto dipetik dari sini

Kembara sekeping Hati
Yang kotor pada sucinya
Yang hitam pada putihnya
Yang busuk pada harumnya


Jangan sesekali berpaling
Kembara akan berakhir
Ketika sujud diterima, dan...
Saat rahmat menjejak bumi



m@tmin
20 September 2011
Surau Villa Bistari, Sungai Pusu

Monday, September 19, 2011

PEMERGIAN ABADI...

Saat menjalani pemeriksaan kesihatan di PPUM, saya dikejutkan dengan khabar pemergian seorang teman semasa belajar di MML. Sahabat saya Wan Mohd Khairi telah meninggal dunia selepas terlibat dengan kemalangan pada pagi ini di Kuala Lipis. Itulah kuasa Allah, siapa kita untuk mempertikaikannya. Sampai masa kita juga akan PERGI... ya apabila sampai masanya. Semoga kita BERSEDIA sebagaimana janji-janjiNYA.

Puisi ini didedikasikan buat sahabat  (Wan Mohd Khairi),

Pemergian Abadi

Bersendiri di sepanjang lorong sepi
Tanpa cahaya yang menyinari
Gelap... dan ketika itu
Hanya tangis duka simpati
Hanya doa yang mengiringi
Buat mu sahabat
Untuk sebuah PEMERGIAN ABADI...
Damailah......

Al-Fatihah.....

m@tmin
PPUM
20 September 2011

Friday, September 16, 2011

Hikmah...





Hilang kata2 apabila melihat gambar ini. Gambar yang dirakamkan pada suatu hari yang penuh garis-garis pelangi. Tanpa dirancang dan tanpa direncana, inilah hasilnya (gambar atas). Sebuah kisah HANGAT ketika menyusur saat2 kedewasaan berlegar di minda. Dan pada hari itu, saya  bersyukur akan hikmah yang langsung tidak saya sedari dari dulu.

Teringat kata-kata seorang  sahabat " Apabila yang dinginkan tidak menjadi nyata, Ada hikmah yang terlepas dari pandangan mata". Hikmah yang dulu tidak saya sedari akhirnya membawa seribu pengertian yang jauh tertanam pada hati.


m@tmin
17 Sept. 2011
Jln. Klang Lama

Tuesday, September 13, 2011

Karipap-Karipap Cinta - (satu ulasan yang berat sebelah)

Hari ini saya mahu mengulas tentang sebuah filem arahan Othman Hafsham iaitu Karipap-Karipap Cinta karya Nazri M. Anuar. Saya mengenali saudara Nazri M. Anuar semasa mengikuti kursus penulisan novel oleh Puan Nisah Haron Anjuran Astaka Villa Akasara (AVA). Seorang penulis yang bagus dan punyai pandangan yang tersendiri. Penulis adalah penulis kedua yang berjaya membuatkan saya ketawa semasa membaca novel selain daripada saudara Baharuddin Bekri.


Ulasan saya ini pastinya berat sebelah kerana saya hanya membaca novel berkenaan tetapi tidak menonton filem ini. Khabarnya filem ini hanya mampu mengutip RM 190,000.00 sahaja (tidak balik modal langsung). Rujuk Sini dan Sini.

Saya langsung tidak menjangkakan filem ini akan mencatat kerugian yang teruk. Ini kerana novel yang ditulis begitu bagus dan menghiburkan. Malangnya apabila diadaptasikan ke wayang gambar ianya menghadapi kegagalan.


Saya tidak mahu mengulas kenapa filem ini gagal tetapi hanya mahu mengulas kenapa saya tidak menonton filem ini. Ulasan saya ini berat sebelah kerana hanya bersandarkan kepada pemerhatian saya ketika membaca novel sahaja. Maaf, filem ini belum mampu menarik minat saya untuk menontonnya.

1. Watak Sarah

Watak Sarah dalam Novel adalah lulusan Al- Azhar yang masih mengekalkan identiti sebagai bekas pelajar islam yang menutup aurat dan berpegang teguh dengan agama.


Tetapi dalam filem watak Sarah hanya memakai selendang dan berjambul (macam mak datin). Saya langsung tidak faham kenapa pengarah membenarkan watak Sarah hanya memakai selendang sedangkan Sarah adalah lulusan Al-Azhar. Ianya telah membunuh filem ini. Apakah pengarah mahu mengambarkan bahawa lulusan Al-Azhar tidak semuanya akan bertudung litup atau menutup aurat?

Keinginan saya untuk menonton filem ini mati apabila melihat Sarah hanya berselendang sekaligus menyebabkan watak Sarah di dalam Novel & Filem adalah berbeza. Yang jelas watak Sarah dalam filem bukan Sarah yang Asli.....

Watak Sarah adalah watak penting dan jika Sarah dalam filem memakai selendang dan berjambul kenapa Ali perlu mengaku belajar di Al- Azhar sedangkan Sarah dilihat sudah bebas dan moden serta tidak menutup aurat? Langsung tak faham…..

Watak Sarah yang mana sahabat-sahabat mahu lihat?

Yang ini ?




 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Atau yang ini?




2. Watak Ali
Gambit…. Boleh blah…

Langsung tak sesuai… kenapa tidak Pekin? Rasanya lebih sesuai berbanding Gambit. Watak Ali tidak dapat digambarkan sepenuhnya oleh Gambit....

Itu dua sebab mengapa saya tidak teruja hendak menonton filem ini. Mungkin juga inilah antara sebab mengapa filem ini gagal....
*x boleh bagi bintang sebab tak tengok...................
14 Sept 2011

Sunday, August 21, 2011

Pensel Merah & Buku Bergaris...


Gambar dari sini 

26 tahun dahulu, seorang kanak-kanak telah menerima  sebatang pensel & sebuah buku pemberian dari makciknya. Sebatang pensel berwarna merah dan sebuah buku yang bergaris... harga pada ketika itu lebih kurang RM 0.30. Pemberian untuk mengelakkan buku makciknya dari menjadi mangsa seorang budak yang baru mengenal pensel.

Suatu pagi, kanak-kanak itu merenung serumpun pokok pisang yang berhadapan rumahnya. Suatu tempat yang menarik untuk memesrai pensel merah & buku bergaris ini. Di bawah redup pokok pisang dan beralaskan juga daun pisang, maka budak itu mula menulis & kadang-kadang hanya menconteng.. dari saat itu pantang ada kertas kosong pastinya akan menjadi mangsa contengan...

26 tahun berlalu, kanak-kanak itu terus menulis & kadang-kadang menconteng tapi bukan lagi di bawah pokok pisang. Kini kanak-kanak itu menulis & kadang-kadang menconteng menggunakan pen berdakwat hitam, di bawah sebuah bangunan berwarna hijau. 

Sempena Aidilfitri 2011, kanak-kanak itu mahu menghadiahkan sebuah beg tangan kepada makciknya, harganya nyata berbeza dengan pemberiannya 26 tahun dahulu. Namun nilai RM 0.30 lebih besar maknanya kepada kanak-kanak itu. Dan kanak-kanak itu mahu makciknya senyum sepertimana dia pernah tersenyum saat teruja menerima pensel merah & buku bergaris sebagai teman.

26 tahun yang berlalu, namun saat itu masih melekat pada hati.....

m@tmin
Jln. Klang Lama





Friday, August 12, 2011

Hanya untuk satu hari.....


Aku bermohon...
Hanya untuk satu hari...
Jauh dari belenggumu...
Jauh dari kemelutmu...
Untuk sebuah janji....

Dan seperti sebelumnya...
Engkau tetap mendatang...
Bersama gundah...
Bersama resah...
Walaupun jauh aku berlari....

m@tmin
Jalan klang Lama / 13 Ogos 2011

AWAN...



Aku ini awan putih
Lembutnya bagai kapas
Membalut kedamaian
Untuk sebuah kehidupan

Aku ini awan hitam
Hadir bersama petanda
Menjerut resah jiwa-jiwa kehidupan
Melayangkan khabar duka

Aku ini awan
Putih atau hitam
Tersurat untuk direnungi
Tersirat untuk difahami

m@tmin
Sandakan - 22 Julai 2011



Sunday, August 7, 2011

Satu hari untuk diri...

Satu Hari Untuk Diri

Hanya satu hari,
Yang diperlukan untuk diri,
Melunaskan janji-janji,

Hanya satu hari,
Untuk bangkit lagi,
Mengejar mimpi-mimpi,

Hanya satu hari...
Hanya satu hari...
Ya...
.
.
.
.
Hanya satu hari...

m@tmin
Gua Musang
6 Ogos 2011

Friday, August 5, 2011

Kartini...


"Tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali jika kamu tahu apa yang dicari.."

1. Kata-kata ini sentiasa melekat di jiwa, dan kadang-kadang ianya seringkali dijadikan pegangan dalam mengusahakan sesuatu. Dan kata-kata ini saya perolehi dari Komik Kartini karya Tembakau (saudara Azhar).

2. Pada awalnya komik ini diterbitkan secara bersiri dalam Majalah Lanun (sekarang sudah lingkup). Kalau tidak silap pada pertengahan 90 an.

3. Karya Kartini adalah  sebuah komik yang memaparkan tentang kisah remaja yang dirasakan sangat dekat dengan diri pada ketika itu. Tentang Ariyon yang mengejar cita-cita dan dalam masa yang sama mengejar cinta seorang gadis bernama Kartini.

4. Berdasarkan maklumbalas dari Tembakau.. karya kartini adalah sebuah kisah benar dan hingga hari ini mereka hidup dalam sebuah cinta yang berbeza. Maknanya cinta mereka tidak bersatu.


5. Komik ini membawa saya kembali ketika zaman persekolahan dulu, ya ketika belajar di MML & SMKAF. Zaman remaja yang penuh dengan eksperimen, penuh suka dan duka, dan pastinya penuh keGATALan... Babak ariyon menjadi pilot kapal terbang kertas dan juga aksi terlampau ketika memikat Kartini jelas gila-gila... dan tak pernah dibuat oleh saya mahupun rakan-rakan di sekolah.

6. Watak utama dalam karya ini memang nakal & gila-gila secara tidak langsung mengembalikan memori saya ketika ponteng kelas, merokok di belakang sekolah, lepak di rumah sewa sambil main terup bersama-sama rakan yang seJIWA.. (kini antara mereka ada yang menjadi kaunselor, ustaz, guru, tauke restoran, tauke stesen minyak dan tauke surat khabar).

7. Dalam masa yang sama kisah cinta yang dipaparkan mengembalikan memori saya ketika hanyut dalam cinta monyet.. cinta yang pada ketika itu hanya bergantung dengan surat-surat yang diletakkan bedak sebagai pewangi... kadang-kadang lirik lagu menjadi kata-kata indah dalam coretan surat. Berbeza dengan zaman ini SMS, FB, Twitter menjadi perantara.

8. Namun demikian cinta monyet ini hanya berlalu begitu saja. Tiada apa yang dapat dibanggakan kecuali pengalaman budak-budak pra-matang dalam mencari cinta. Pengalaman melihat rakan-rakan yang bergaduh kerana perempuan. (isk.. tak gentlemen langsung)...

9. Penceritaan karya ini memang melucukan dan sarat dengan falsafah bagi seorang remaja yang mencari diri.  Malangnya pengakhiran kisah Kartini ini berakhir dengan sebuah kekecewaan.

10. Apa-apa pun... karya Kartini ini memberi saya satu pengajaran yang berguna. Di sini saya sedar untuk mendapatkan sesuatu kita perlu berusaha dan jangan pernah ragu-ragu dan kadang-kadang apa yang paling kita hendak itulah yang kita tidak akan dapat.

11. Itulah hakikat sebuah kehidupan. Sedang kita berusaha seringkali keraguan menjadi bayang-bayang ngeri, dan kadang-kadang kemanisan yang kita mahu sering dibayangi dengan kepahitan. Karya ini benar-benar melekat dengan diri saya. Terima kasih Bro Tembakau....

*cuba stail Dr. M menulis blog.. ok tak?


m@tmin
Jln. Klang lama
6 Ogos 2011

 











Friday, July 29, 2011

Seorang Gadis Yang Digagalkan Untuk Sebuah Kejayaan

Tiga tahun lepas saya pernah menjadi ketua panel penemuduga untuk jawatan N17. Salah seorang calon yang hadir adalah seorang gadis yang baru menamatkan pengajian peringkat diploma dalam bidang sains. Gadis ini menarik perhatian saya kerana mempunyai keyakinan semasa bercakap dan berdasarkan sijil2 yang disertakan dia adalah seorang yang cemerlang dalam pelajaran. Keputusan peringkat diploma boleh dikatakan bagus, 3.6 purata gred. Berdasarkan keputusan ini saya yakin dia boleh menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Saya bertanya kenapa dia memohon jawatan N17 ini. Jawabnya dia ingin membantu keluarganya yang miskin. Lagipun dia mempunyai bilangan  adik beradik yang ramai. Saya bertanya adakah dia berminat untuk menyambung pelajaran dan jawabnya ya, tetapi masalah keluarganya yang susah menyebabkan dia mahu bekerja terlebih dahulu. Terlintas di fikiran saya selalunya remaja bila bekerja, maka pelajaran diletakkan di belakang (kebanyakkannya). Lama kelamaan keinginan belajar akan mati dalam jiwa remaja. Ini juga berdasarkan pengalaman dan pemerhatian saya selama ini.

Pada ketika itu, saya membuat satu keputusan yang saya rasakan adalah tepat dan betul. Saya menyatakan bahawa jawatan ini bukan untuk dia. Dia masih mempunyai potensi yang tinggi untuk berjaya dan jalannya adalah dengan meneruskan pengajian diperingkat ijazah. Pastinya dia mempunyai peluang yang cerah untuk mendapatkan tempat di IPTA. Pada ketika itu, saya lihat air mata mengalir dari wajahnya. Dia merayu untuk mendapatkan kerja ini. Saya bertegas, jika dia mahu membantu keluarganya maka kejarlah peluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Kerana dari situ akan terbentang jalan yang luas untuk berjaya dan membantu keluargannya.

Akhirnya, dia melangkah keluar dengan hampa. Saya memahami kekecewaan gadis ini. Tapi saya percaya inilah jalan yang terbaik untuk dia harungi. Saya pernah berada dalam situasi yang sama sepertinya. Hidup dalam kesusahan dan nyaris-nyaris melupakan pelajaran. Nasib saya baik, akhirnya pelajaranlah yang menyuluh jalan saya. Selepas itu saya merenung kembali keputusan saya itu. Saya tertanya-tanya adakah saya telah menutup peluang gadis ini? Saya hanya membisu dan biarkan soalan tanpa sebuah jawapan. Kadang-kadang sesuatu persoalan adalah lebih baik tanpa jawapan.

Dan pada hari itu saya belajar suatu perkara. Apa yang kita putuskan tentang sesuatu perkara kadang-kadang melibatkan masa depan seseorang. Andai itu yang kita yakin terbaik untuknya, buatlah keputusan tanpa ragu-ragu.. Pada hari itu juga saya mendoakan gadis ini supaya dipermudahkan jalan-jalannya dan semoga dia dapat memeluk sebuah kejayaan yang amat bermakna. Ya sebuah kejayaan yang bukan sahaja diimpikan olehnya tetapi juga semua orang. Saya YAKIN... itulah yang terbaik untuknya.

Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya apakah nasib gadis itu?  Namun dalam hati saya tertanam keyakinan bahawa itu adalah keputusan yang terbaik untuknya. Ya saya yakin. Walaupun ketika ini hanya Allah sahaja yang tahu kedudukan gadis ini, saya tetap yakin dia sekarang sedang mendaki tangga-tangga kejayaan....



m@tmin
Jln Klang lama
30 Julai 2011







Tuesday, July 12, 2011

Fortaleza De Malaca... kita masih lupa....lupa..lupa dan lupa........


Di sini, 
Namanya "Fortaleza De Malaca"
Ya maksudnya "Kota Yang Pertama Di Melaka"
Sebuah kota yang terbina 
Di atas keruntuhan sebuah bangsa...
Dan... kita telah LUPA...


Sisa-sisa ini
Bagaikan tiada apa-apa
Sedangkan padanya 
Untuk kita renungi...
Dan kita masih LUPA...
 
  Bongkah ini 
Pernah menjadi saksi
Bangsa yang berdaulat
Runtuh kerana kuasa, harta dan wanita
Juga masih kita LUPA....


Kota ini
Tegaknya berdiri
Mengangkat maruah si penjajah
Lalu menghenyak maruah peribumi
Dan kita terus ALPA...



Kita terus LUPA...


LUPA......



Semoga aku tidak LUPA....
(brader ni selalu berada di tenpat ini, namanya Daniel... tanyakanlah dia tentang sejarah kota ini, anda pastinya terkejut dengan fakta-fakta yang tidak pernah tercatat dalam buku teks sekolah anda...)


Sisa-sisa ini
Lukanya meninggalkan parut
Yang tidak pernah akan hilang
Kita LUPA...
Bumi ini pernah....
Jatuhnya hanya SEHARI..
Tapi terpasung BERATUS TAHUN.....

Semoga aku tidak LUPA....
Semoga aku tidak LUPA....
Semoga aku tidak LUPA....
Semoga aku tidak LUPA....
Semoga aku tidak LUPA....

m@tmin
11 Julai 2011 
PPUM

Saturday, July 9, 2011

Cara untuk maju...


"Cara yang terbaik untuk memajukan diri adalah dengan menghargai orang lain"

Kadang-kadang kita sering menganggap cara yang pantas untuk memajukan diri adalah dengan menjatuhkan orang lain. Bersaing dengan cara mengampu serta mengadu domba untuk mengejar pangkat dan harta. Malangnya kita lupa.  Mereka yang menggunakan cara ini selalunya akan hidup dengan CACIAN dan KUTUKAN. Hidup dibelenggu SUMPAHAN oleh khalayak di sekelilingnya.  Samada diketahuinya atau tidak,  ternyata ianya bukanlah sesuatu yang COOL.

m@tmin
10 Julai 2011
KL

Friday, June 24, 2011

SATU Atau SAKU






Aku toleh kiri...
Ada satu
Aku toleh kanan...
Ada satu
Aku pandang depan...
Ada satu
Aku pusing belakang...
Ada satu

Di mana- mana...
Ada satu
Semua telunjuk...
Gendangkan satu

Uhhh...
Aku lemas dengan satu
Pabila mereka syairkan satu
Hipokrasi tahap satu
Juga agenda yang satu
Untuk mengisi kantung SAKU....

Hotel Residen UNITEN
24 Jun 2011


Monday, June 20, 2011

AKU LUPA...

Dipinjamkan dari blog http://rajabeloot.blogspot.com/

LUPA

Seringkali
 Kealpaan mengocak jiwa,
Mengukir garis-garis hitam,
Pada jiwa dunia,

Aduh...
 Begitu mudah...
 Kita lupa pada janjiNYA,
Sebuah janji yang abadi....

Opis aku
20 Jun 2011 (5.50 pm)



Monday, May 23, 2011

Khabar Duka Dari Kaki Bukit...


Suatu pagi saya disapa khabar yang buruk dari kaki bukit. Sebuah khabar yang membawa duka. Sebuah khabar yang mengukir perit. Sebuah khabar yang mengundang tangis. Juga sebuah khabar yang meruntun simpati.

Saya tidak mahu mengulas lanjut berkenaan pusat jagaan yang dikhabarkan tiada CF oleh PBT, juga kenyataan menteri berkenaan pusat tersebut tidak berdaftar dengan kementeriannya. Bukanlah masa yang sesuai untuk semua ini.

Sekali lagi kita disentap dengan khabar duka ini.  Dendam alam semakin nyata, namun kita masih belum sedar. Tragedi ini sekali lagi menelanjangkan kelemahan kita dalam melindungi alam sekitar dan juga kelemahan agensi2 yang bertanggung jawab. Sudah terhantuk baru tergadah....... orang kita....

Namun pagi ini paparan akhbar tentang peristiwa ini masih berlegar di minda. Wajah anak-anak kecil yang masih trauma dengan kejadian tersebut serta tangisan pemergian oleh ahli keluarga nyata mengundang sebak dalam jiwa. Namun saya percaya ALLAH itu maha mengetahui segala aturannya.

16 jiwa telah terkorban dan begitulah selalunya kata-kata orang tua, orang yang baik selalunya terlebih dahulu dijemput Ilahi. Mereka adalah antara anak-anak yang belajar ilmu agama dan ada antaranya bercita-cita untuk menjadi ustaz. Ada juga antara mereka adalah kakitangan yang menguruskan pusat pengajian ini.  Alangkah murninya perjuangan mereka ini.

Saya hanya sekadar mampu untuk turut sama menangisi pemergian mereka. Hanya doa semoga roh mereka ditempatkan dikalangan hamba-hamba ALLAH yang dirahmati dan diredhai dapat dihulurkan. Kepada keluarga mangsa, semoga ketabahan milik kalian. Yakinlah, sampai suatu masa mereka tetap akan pergi jua.

Jauh di sudut hati saya bertanya, bilakah masanya pula untuk saya? Adakah akan berakhir dengan tragedi? Atau akan tiba masanya perlahan-lahan. Ya ALLAH... ampunilah dosa hamba MU ini, kurniakan keinsafan buat diri ini agar sentiasa patuh pada perintahMU.

Al Fatihah buat mereka yang terlibat dan semoga roh mereka dirahmati ALLAH.. amin....

MATMIN
23 Mei 2011





Monday, May 16, 2011

Terima Kasih Cikgu....

Suatu ketika saya ingin terbang, tapi malangnya tiada sayap. Saya yakin saya boleh terbang jika diberikan sayap. Lalu mereka membantu saya untuk terbang. Dari awal mereka menjadi sayap-sayap saya. Perlahan-lahan mereka bersama saya & sampai masanya saya mampu terbang tinggi, tetapi bukan lagi bersama mereka. Kini saya terbang bersama doa & ilmu yang mereka curahkan... TERIMA KASIH CIKGU, GURU, USTAZ & USTAZAH...

Matmin
 
 

Sunday, May 8, 2011

MAMA

Saya mengenali seorang wanita yang sangat tabah. Tabah mengharungi hari-hari tanpa sedikit pun keluhan dari bibinya. Hanya airmatanya sahaja yang menjadi paparan emosi jiwanya. Ketabahannya sangat agung buat saya. Dia telah ditinggalkan oleh suami bersama enam anak yang masih kecil. Apatah lagi dia juga tidak mempunyai sedikit harta untuk menjadi bekalan buatnya.

Pelbagai kerja yang terpaksa dilakukannya demi sesuap nasi, demi pelajaran anak-anaknya. Bukan setakat menjual kuih, tetapi juga menoreh getah sebagai sumber pendapatan. Di atas tanah sekangkang kera, dia tabah menanam padi. Pernah juga menjadi buruh di kilang tembakau dan pernah menjadi pengasuh yang mungkin memberikan sedikit keringanan kepadanya dari hujan dan panas.

Dia juga tanpa segan meohon kerja sebagai pembantu kedai makan demi keluarga. Saya tahu dia sudah banyak menderita bukan sahaja fizikal tapi juga hatinya. Terguris dengan sikap bekas suaminya, karenah anak-anaknya yang sedang membesar serta terluka dengan kata-kata masyarakat sekeliling. 
Begitulah dia mengharungi tahun-tahun derita yang mencengkam jiwa.

Namun kini, mungkin doanya telah didengari oleh tuhan. Hari ini dia tidak lagi perlu turun ke sawah, tidak lagi perlu menyelinap di antara pohon-pohon getah dan tidak lagi bergelumang dengan daun-daun tembakau. Cuma hanya membuat kuih untuk jualan bagi mengisi ruang yang ada dan sekadar  memenuhi tempahan penduduk setempat.

Hari ini dia tersenyum bagaikan kembang sekuntum bunga. Hari ini senyumanya telah memadam  titik-titik hitam yang telah lama mewarnai jiwanya. Perihnya telah berbalas, airmatanya penuh kegembiraan. Pengorbanannya begitu berbaloi. Penatnya juga telah hilang. Anak-anaknya kini ada yang telah  menjawat jawatan pegawai tadbir dan juga menjadi guru. Hatinya kembang tatkala anak keempatnya melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir.

Begitulah Kuasa ALLAH Maha Agung. Susah akan dibalas senang dan kesabaran akan dibalas setimpalnya....

Saya begitu mengenali dia. Dialah ibu saya yang saya panggil MAMA. 

Buat MAMA saya ucapkan SELAMAT HARI IBU.....


matmin
8 Mei 2011









Wednesday, May 4, 2011

Cinta 2 Musim


Cinta 2 Musim

Hanya 2 musim,
Kita menganyam mimpi bersama,
Dan pabila mendonggak,
Kita melihat pada angkasa yang sama,
Tapi malangnya,
Kita memandang bintang yang berbeza...


7 April 2011
Sandakan, Sabah

Friday, April 22, 2011

PUISI : MIMPI

Salah satu babak dalam Aku & Sesuatu


MIMPI
 
Hadirnya hanya dalam mimpi,
Perginya juga dalam mimpi,
Aku bosan dengan mimpi,
Kerana bersatu cuma dalam mimpi.


5 April 2011
Sandakan, Sabah

Sunday, April 10, 2011

Puisi : Aku Benci Mesyuarat Itu...


Ruangan yang kecil itu...
Fikiranku tepu...
Otakku beku...
Melihat mereka membisu...
Menyimpan rasa terbuku...

Siapakah yang keliru...
Aku, mereka atau NAKHODA itu...
Mencari hala tuju....
Matlamat yang satu...
Malangnya menyimpang seribu batu...


M@TMIN
JALAN KLANG LAMA
5 JUN 2010

Thursday, April 7, 2011

Puisi : Manusia Apakah Itu?


Manusia apakah itu?

Mahukan penghormatan
Dari mereka yang dihina

Mahukan harta
Dari mereka yang kedana

Manusia apakah itu?


Opis aku
2 September 2010

***Ralat dengan sikap mereka yang tidak memahami apa itu rendah diri.... nenek saya kata "Humble'.

Wednesday, April 6, 2011

Hantu Kak Limah Dan KPI Menteri

Semalam bersembang dengan Hantu kak Limah.  Katanya Menteri RTM tidak mencapai KPI.

Katanya lagi, menteri berkenaan gagal dalam menguatkuasakan garis panduan kepada artis. Terlalu ramai artis kita yang suka dedah sana sini separuh bogel tapi tiada tindakan dari pihak berwajib.

Juga kerana menipu rakyat tentang Sukan Yg Terbaik Hanya Di RTM. Apa yang RTM siarkan? cuba kau cakap pada aku.....
Aku : Susah- susah Kak Limah  aje yang jadi Menteri.

Hantu Kak Limah : uisshhh taknaklah aku, nanti sapa nak kacau Husin & Abi Hurairah. Lagipun aku seronok tgk usop lari sambil tolak "wilcha" wheelchair.

Aku : ermmmmmm (dalam hati sempat juga Kak Limah ambil tahu pasal KPI menteri..)....
m@tmin
2 April 011

Saturday, April 2, 2011

Taman Kita...


Dahulu...
Itulah taman kita
Ribuan mawar menguntum senyum
Harum kasih semerbak
Walau luka tertusuk durinya
Tegar melukis kanvas perjuangan

Namun awan,
Tetap berarak pergi

Dan...
Penghuni taman silih berganti
Tidak akan pernah sunyi
Menzahirkan sebuah perpisahan
Hakikatnya tetap bersatu
Meskipun terasing di penjuru kenangan


7 Oktober 2010
PUTRAJAYA

*** Puisi ini memang ada kaitan dengan gambar di atas.  Disiarkan semula dalam blog Menyusur Minda.

Friday, April 1, 2011

Ikhlaskah kita?

Gambar diambil dari Masjid Sultan Mizan Putrajaya dan kata-kata diperolehi dari Majalah Al-Islam .

Ikhlaskah kita dalam hidup ini? 

Sekadar melontar peringatan kepada diri yang sering mengharapkan balasan yang baik dariNYA tetapi sering alpa dan tergelincir dari landasan yang telah dikurniakanNYA. Sering terdetik di minda untuk menunjuk-nunjuk dan sering juga mengharapkan balasan atas sesuatu yang dilakukan. Terasa hitamnya jiwa, bagaikan jelaga yang membelenggu kaca.  

Alangkah ruginya, apa yang dilakukan tidak diberkati. Saya memohon keampunan dariNYA...
Semoga hidup lebih bererti.

  m@tmin
30/03/2011





Wednesday, March 30, 2011

STRESS...

 Mencari Konklusi

Entri ini bukanlah mahu mengupas berkenaan isu STRESS sebagaimana tajuk entri ini. Cuma sekadar berkongsi sebuah SITUASI saat saya disapa STRESS....

Situasi 1 : Minggu lepas mengisi borang Audit Stress. Berita baiknya dapat markah 55/100 & berita buruknya telah tergolong dalam kumpulan yang mempunyai tahap stress yang paling tinggi.

Situasi 2 : 28 Mac 2011
9.00 pg - Mendengar ceramah berfikiran positif dari Dr. Azizan. Tahap motivasi begitu tinggi,   yeargh... saya hebat luarbiasa....

5.30 ptg - Punch out dari pejabat dan kereta telah melepasi pagar JPM... ketika itu nyanyian burung begitu merdu, bunga raya yang gugur bagaikan sakura....alangkah indah saat itu...

5.40 ptg - PA bos telefon suruh masuk balik  pejabat segera.... URGENT...... dan nyanyian burung tidak lagi merdu... menyusuri jalan bagaikan menuju tanah perkuburan.... (MORAL DOWN)...

Situasi 3 : 29 Mac 2011
Jemm palo otak....

***Pesan seorang ustaz, Ayat suci Al-Quran adalah terapi yang bagus bagi mengurangkan stress...
      Kenapa hanya mengurangkan? Tanya saya.
      Kerana jika tiada stress anda bukan lagi manusia, jawab ustaz itu.
      Ermmmm saya terdiam dan hanya mampu mengangguk....

    m@tmin
30 Mac 2011








Saturday, March 19, 2011

Apa yang dicari?


Berbicara tentang pencarian dalam hidup, apa sebenarnya yang dicari? Entah kenapa sehari dua ini diri banyak memikirkan tentang makna hidup, tentang apa yang dicari dalam hidup. Lantas teringatkan rangkap kata yang tertulis dalam Komik Kartini... "Tidak akan kamu merasa gundah walau sekali jika kamu tahu apa yang dicari".....

Dahulu kata-kata ini banyak menjadi pegangan dan kini nampaknya kata-kata ini kembali semula tersemat dihati... Apa yang perlu semangat harus disegarkan kembali, matlamat biar jelas dan disiplin perlu seiringan... semoga jalan dipermudahkanNYA.... amin.....

*** Ariyon, Sahak & Ujang.. sebenarnya kita berkongsi cerita yang sama hehehe........ 

    m@tmin
20 Mac 2011






Sunday, March 6, 2011

Tabik Soljar...

Dalam menyambut ulang tahun kelahiran, hati merasa bangga kerana pada tarikh yang sama adalah ulang tahun bagi penubuhan Tentera Darat Malaysia. Mungkin sebab inilah jiwa ketenteraan dalam diri begitu tebal walaupun gagal untuk menjadi pegawai tentera. (cita-cita masa sekolah). Namun demikian masih lagi boleh berbangga dengan tauliah sebagai Leftenan Muda (Wataniah).  Disebabkan kekangan kerja, masa tidak mengizinkan saya untuk aktif lagi dalam Rejimen Askar Wataniah. (gantung but).

 Kenangan bersama rakan- rakan  ROTU UM Batch 22

78 tahun dahulu Pasukan Askar Melayu telah ditubuhkan dengan kekuatan hanya 25 anggota. Kini kekuatan Pasukan Askar Melayu telah berkembang dan megah dengan kekuatan 25 Batalion. Pada awal penubuhannya, pihak British tidak  menaruh keyakinan terhadap kebolehan Askar Melayu. Tapi semua keraguan itu berjaya dihapuskan semasa Perang Dunia ke-2.

# Sejarah Rejimen Asikar Melayu Diraja (RAMD) Klik Sini.

Benteng terakhir pihak British di Singapura iaitu Bukit Chandu menyaksikan keperwiraan Askar Melayu. Pertempuran ini turut diakui oleh Jepun antara satu pertempuran yang begitu hebat dan memerlukan jepun menghantar ketumbukan yang lebih ramai. 

Berikut adalah antara perwira negara  yang telah gugur semasa mempertahankan negara iaitu Leftenan Adnan Saidi,Leftenan Ahmad Nordin, Leftenan Abbas Muhd Said, Leftenan Abdullah Saad, Leftenan Ibrahim Sidek, Leftenan Muhammad Ariffin Hj Sulaiman, Leftenan Abdul Wahid Mat Kidam dan Leftenan Muhd Isa. Manakala pegawai Askar Melayu yang mati diseksa ialah Leftenan Yazid Ahmad dan Leftenan Noordin Muhd Shaari.

Keberanian Askar Melayu bukan sahaja terkenal semasa perang Dunia Ke2, malah di seluruh dunia. Masih ingatkah lagi kita pada Peristiwa Pasar Bakhara Somalia? Filem Black Hawk Down telah menafikan dan menyelewengkan fakta tentang sumbangan Askar Melayu dalam misi menyelamat tentera Rangers Amerika ini. Peristiwa Pasar Bakhara mempamerkan kebodohan dan risikan yang lemah dari tentera Amerika. Bukan itu sahaja, kerana terlalu yakin dan bangga mereka terperangkap dalam perancangan yang tidak menjadi.

Seorang perwira kita telah gugur dalam misi menyelamat Tentera Amerika yang bodoh sombong ini iaitu Koperal  Mat Aznan. Sumbangan tentera kita dalam misi Pengaman PBB yang lain seperti di Bosnia dan Lubnan mempamerkan semangat juang yang tinggi dan tidak pernah terhakis bermula dari penubuhannya sebelum Perang Dunia Ke-2 hinggalah pada hari ini.

 Kata-kata yang terukir pada Tugu Negara

Kini setelah 78 tahun berlalu, Tentera Darat Malaysia semakin kuat dan moden. Bukan sahaja mempunyai angkatan udaranya sendiri tetapi perolehan moden seperti Kereta Kebal PT91M(Pendekar), Pelancar Roket Berganda (Astros 2 & 3) dan penggunaan kenderaan Humwee yang memudahkan susun atur pergerakan yang lebih pantas banyak meningkatkan kekuatan dan keupayaan Tentera Darat.

Dengan sambutan setiap tahun iaitu pada 1 Mac, semoga Tentera Darat akan terus maju dan gagah sebagai benteng yang mempertahankan negara dari segala ancaman luar mahupun dari dalam. Ketabahan dan keteguhan yang ada pada tentera-tentera kita pastinya akan membawa Tantera Darat ke satu tahap yang tinggi dan digeruni.

Tabik kepada anda semua Soljar...... GEMPUR WIRA................

Kenangan bersama rakan PTD Batch 1/2006 semasa di PULADA

Al-Fatihah buat wira bangsa yang telah gugur demi mempertahankan negara...

m@tmin
* Semangat perjuangan harmoni.........